Rakyat Malaysia pastinya sudah sedia maklum mengenai pengelasan klasifikasi pendapatan dalam negara yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kumpulan terendah 40% atau bottom 40% (B40), kumpulan pertengahan 40% atau middle 40% (M40) dan kumpulan tertinggi 20% atau top 20% (T20).
Klasifikasi yang diperkenalkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan dikendalikan dua kali setiap lima tahun ternyata telah memberikan pelbagai perspektif dan impak dari segi sosio-ekonomi rakyat di Malaysia.
Mengambil contoh, segala perlakuan sumbang dan gejala sosial yang buruk pasti saja akan dikaitkan dengan golongan B40 kerana ia berkait secara langsung dengan isu kemiskinan sekaligus menjadikan mereka ini sebagai sasaran cemuhan dan dikatakan mempunyai ‘sisi gelap’ yang tersendiri.
Segala yang buruk, puncanya daripada B40?
Saban hari kita dihidangkan di media sosial dengan isu-isu meleweh seperti kes ‘cop’ parking di flat murah, isu rempit, keadaan kediaman seperti flat PPRT yang dipenuhi sampah sarap dan pelbagai lagi. Nampak remeh, namun ia sedikit sebanyak sudah menjadi barah dalam masyarakat.
Namun, tidak bermakna golongan ‘kayangan’ tidak mempunyai mentaliti seperti ini kerana setiap komuniti mempunyai isu sosial mereka yang tersendiri.
Bagaimana kasta gaji dan mentaliti B40 ini terjadi?
Masyarakat sering dimomokkan dengan idea bahawa kemiskinan adalah penyumbang kepada peningkatan gejala sosial kerana keterbatasan masyarakat untuk mendapat pendidikan, perumahan, kesihatan, kesejahteraan dan hidup yang lebih berkualiti berbanding dua golongan yang lain.
Kemiskinan adalah kemiskinan. Keperluan untuk mendapatkan wang bagi meneruskan hidup adalah lebih penting sehingga ada yang mengambil keputusan untuk mencuri dan menyamun, justeru meningkatnya gejala sosial dan jenayah dalam negara.
Golongan B40 perlu mencari duit untuk menyara perut sehingga tibanya gaji yang akan datang, berbanding golongan M40 dan T20 yang berupaya menyimpan dana untuk melancong pada hujung tahun, sekadar contoh.
“Sudahlah miskin, pemalas pula” . Jadi siapa yang salah?
Sikap menuding jari itu perlu ada agar pihak bertanggungjawab seperti pihak kerajaan dapat mula mengambil langkah yang lebih efektif dalam menangani isu ini. Sebagai contoh, pemberian gaji yang lebih bermaruah kepada golongan pekerja berpendapatan rendah dan juga isu kenaikan harga barang dalam negara.
Kaji semula trend penghijrahan dan giatkan pembukaan lebih banyak peluang atau kegiatan ekonomi di desa misalnya, dan hapuskan persepsi bahawa desa itu adalah satu lambang kepada kemunduran dan kemiskinan.
Hidup di ibu kota yang maju dengan gaji RM4,000 juga sudah tergolong miskin bandar, ramai yang kecundang dalam persaingan kehidupan dan melakukan pekerjaan untuk menampung kehidupan yang bergerak pantas.
Mulakan advokasi dan pendidikan awam yang berterusan agar ia sedikit sebanyak merubah pandangan rakyat selain sikap golongan B40 itu sendiri yang sering terkait dengan notasi-notasi negatif ini.
Rasa kesepunyaan itu akan hadir, ‘dark side’ mentaliti B40 ini jua akan terhapus apabila seseorang itu bertindak untuk “mengubah dirinya sendiri ke arah yang lebih baik sebelum bercita-cita untuk mengubah dunia” – Leo Tolstoy
Hentikan gelaran-gelaran negatif. B40, M40 atau T20 juga ada yang ‘ satu busuk dalam setandan pisang’.
Apa pendapat anda? Kongsikan kepada kami.
Nota : Intipati #KolumnisNara adalah pendapat peribadi penulis. Tiada kaitan dengan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.