KKM Keluarkan Senarai Tiga Produk Kosmetik Beracun

Trending

KKM Keluarkan Senarai Tiga Produk Kosmetik Beracun

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan senarai baru produk kosmetik beracun yang dijual di pasaran Malaysia. KKM mengklasifikasikan produk tersebut beracun kerana mengandungi racun berjadual jenis merkuri, hydroquinone dan tretinoin yang boleh menjejaskan kesihatan.

Advertisement

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM mengesan tiga produk iaitu GG Pinky Day Cream For Skin, Tati Therapy Cream 1 dan Tati Therapy Cream 2 mengandungi tiga jenis racun berjadual itu.

GG Pinky Day Cream For Skin dan Tati Therapy Cream 1 dikesan mengandungi merkuri manakala Tati Therapy Cream 2 dikesan mengandungi hydroquinone serta tretinoin.

Produk kosmetik yang dicampur dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana racun itu menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau yang belum dilahirkan manakala kemudaratan pendedahan kepada merkuri juga boleh dialami orang sekeliling terutama bayi dan kanak-kanak apabila produk kosmetik mengandungi merkuri yang disapu pada kulit itu meruap dan dihidu.

Penggunaan produk mengandungi merkuri juga boleh menyebabkan ruam, rengsa dan perubahan lain pada kulit.

Produk kosmetik yang dicampur dengan hydroquinone pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit juga akan menjadi hipersensitif. Kesan penggunaan bahan ini boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Bahan tretinoin yang biasanya dipromosi untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Produk mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ketiga tiga produk kosmetik ini telah diberi amaran oleh KKM untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Jika pemilik enggan menarik balik produk ini dari pasaran, mereka akan didakwa melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Comments are closed.

Loading...