Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan tentang bekalan Pakaian Pelindung Diri (PPE) sekadar boleh menampung kegunaan untuk dua minggu akan datang. Ini adalah amat kritikal, memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dianjak masuk ke fasa ketiga bermula 15 April hingga 28 April ini.
Petugas perubatan akan mengalami keadaan yang sukar apabila PPE tidak mencukupi untuk digunakan. Oleh itu, KKM sedang dalam usaha untuk mendapatan bekalan lagi agar tugas pihak perubatan terutamanya, dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sejak Malaysia menerima serangan wabak COVID-19, penggunaan PPE telah meningkat secara mendadak antara dua hingga 10 kali ganda berbanding sebelum wabak ini datang.
KKM memperoleh bekalan PPE adalah melalui secara pukal untuk diagihkan, memperoleh PPE secara di peringkat negeri dan menerima sumbangan yang didermakan oleh pihak NGO. Mereka perlu menggunakan PPE yang berbeza setiap hari.
Ini berlainan dengan alat bantuan pernafasan, PPE perlu diganti setiap hari dan hanya terhad untuk sekali penggunaan sahaja.
Sebelum ini, KKM mengatakan tidak menghadapi kekurangan terhadap bekalan topeng muka dan PPE. Dari segi penghantaran bekalan ini ke seluruh kawasan, pada mulanya menghadapi kesukaran namun dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
KKM telah menerima pelbagai sumbangan PPE dari pihak persendirian seperti pereka fesyen tempatan, Datuk Radzuan Radziwil dan isteri pelawak Atu Zero, Shafeeqa Johari yang telah menjahit sendiri pakaian tersebut.
Difahamkan juga, Briged Penjahit COVID-19 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut menjadi penyumbang dan mampu menyiapkan 70 sut PPE dalam masa sehari. Diharapkan lanjutan tempoh PKP ini mampu memberikan kesan yang positif terhadap kadar kesembuhan pesakit positif COVID-19 dan penurunan dalam angka pesakit yang disahkan positif jangkitan di Malaysia.