Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad sebelum ini ada berkongsi pengalaman mengikuti jemaah tabligh selama tiga hari. Walaupun hanya untuk tempoh masa yang singkat, Nabil menyifatkan apa yang dilaluinya sangat indah.
Terbaru, Nabil yang dihubungi Harian Metro berkata, dia sangat bersyukur perubahan dirinya yang lebih Islamik dengan imej berjambang diterima baik orang ramai.
Alhamdulillah, ramai yang boleh terima. Kita ini suka sangat buruk sangka dengan Allah. Lalu Dia tunjukkan semua elok saja dengan saya, malah layanan mereka lebih baik.
Saya betul-betul tak sangka sebenarnya. Apabila begini, saya buat untuk diri saya saja, tak ambil kisah kalau ada orang yang nak terima atau sebaliknya. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.
Ujar pengacara ini juga, sebelum ini dia pernah beranggapan ada pihak tidak suka dengan penampilannya terutama apabila membabitkan kerjaya.
Kawan-kawan saya rupa-rupanya ada yang menyertai tabligh. Mereka kadang-kadang lepak dengan saya, penampilan pun lebih kurang seperti saya. Mereka juga tak tinggal solat dan tahu mengenai cerita agama dan sebagainya. Kemudian saya tanya mereka belajar agama di mana.
Tambah Nabil, dia turut menceritakan pengalaman sepanjang menyertai tabligh dengan isteri, Zira Ayub, yang kini bertudung. Sebagai suami, dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk isteri tersayang.
Bukan setakat kongsi, malah saya turut mendoakan dia. Apabila Allah berkehendak, semua perkara akan jadi. Doakan dia juga terus istiqamah dalam bertudung.
Nak istiqamah ini susah. Kena minta tolong dengan orang. Kalau diri sendiri kata ‘aku dah boleh ni atau dah jadi ni’, ia takkan menjadi. Kena minta juga doa ramai barulah jadi, insya-Allah.
Mengakui susah untuk beristiqamah, Nabil memohon doa orang ramai supaya perubahan yang dialami mereka kekal.