Pelawak, Azlee telah berkongsi keadaan terkini mengenai rakan baiknya iaitu Yassin.
Menurut Oh!Bulan, Azlee atau nama lengkapnya Muhammad Azlee Jaafar berkata, Yassin pada ketika ini berada dalam keadaan yang baik dan sihat sejahtera.
Isteri maklumkan perkembangan Yassin
Alhamdulillah, Yassin sihat. Saya tak adalah hubungi dia tetapi dia ada hubungi isteri dia.
Menurut isterinya, dia berada dalam keadaan yang sihat. Doakan yang baik-baik.
Pada masa yang sama, Azlee akui cemburu dengan rakan baiknya yang berpeluang untuk menjalani ibadah puasa di tempat yang lebih baik.
Sebenarnya, saya pun sedih sebab berpuasa di sini, tapi dia dapat buka puasa ‘di sana’, betapa untungnya. Itu adalah satu rahmat yang Allah berikan buat Yassin.
Pada saya ketika ini Yassin tengah menambah ilmu dan kita sebagai Hamba memang kena menambahkan ilmu kepada Allah.
Jadi mungkin bila dia balik nanti mana tahu dia mengajar kita pula kan?
Akan ada berita gembira
Dalam pada itu, pelawak itu turut mendedahkan akan adanya berita gembira mengenai Yassin dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Susulan itu, Azlee meminta agar orang ramai mendoakan yang terbaik buat rakan baiknya itu.
Kami ahli Senario kalau boleh nak sentiasa jaga aib kawan-kawan dan saya rasa korang semua dah tahu dah dia ada di mana.
Apa yang saya boleh katakan ialah kita akan dapat berita gembira dan mungkin akan dapat bersama kembali dengan Yassin beberapa minggu saja lagi.
Pada saya, di mana pun dia berada, doakan yang baik-baik dan semoga dia akan kembali semula bersama kami.
Pelawak itu turut berkongsi bahawa Senario bakal mengadakan satu konsert besar bertempat di Stadium Merdeka dan dia berharap agar kesemua ahli kumpulan dapat turut serta memeriahkan puluhan ribu pengunjung yang hadir.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.
Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November tahun lalu.