Jika anda fikir daging premium wagyu hanya dari Jepun, fikir semula, kerana di Kuala Selangor, Malaysia, sebuah ladang lembu tempatan sedang meletakkan negara kita dalam peta pasaran daging premium.
Kenali Colla Cattle Farm, rumah kepada ‘Mygyu’ iaitu wagyu versi Malaysia.
Dalam video Instagram oleh halaman makanan Zestie, pemilik ladang menerangkan lanjut mengenai maksud ‘Mygyu’.
Wa bermaksud Jepun dan gyu bermaksud lembu, jadi wagyu adalah lembu Jepun. Kami ada Mygyu, lembu Malaysia!
Lembu ini bukan biasa-biasa. Dolah, lembu hitam berusia enam tahun yang pertama dilahirkan di ladang ini, dianggap “warganegara Malaysia” oleh pemiliknya. Dolah juga bapa kepada Ali, anak lembu sembilan bulan yang sudah seberat lebih 280kg.
Harga lembu seperti Dolah antara RM30,000 hingga RM50,000, harga yang tinggi tapi ladang ini sudah membuktikan keberkesanannya dengan menghasilkan lebih 80 lembu premium dalam enam tahun.
Difahmkan, daging wagyu Mygyu dijual di 167 outlet di seluruh Malaysia dan permintaan terus meningkat.
Ladang ini juga mempunyai bilik penyembelihan halal khas, di mana lembu disembelih secara manual mengikut syarat halal, kemudian diproses dengan sistem automatik untuk kelancaran. Pada 2020, mereka memecah rekod dengan menyembelih 799 lembu dalam 96 jam secara halal.
Makanan lembu pula bukan sekadar rumput biasa. Ladang menghasilkan makanan ternakan sendiri menggunakan campuran 13 bahan mentah untuk memastikan kesihatan lembu dan kualiti daging terjamin.
Yang menarik, pemilik ladang ini asalnya seorang akauntan bertauliah, bukan dari latar belakang pertanian. Dari spreadsheet ke penternakan lembu, beliau berjaya mengubah ladang sederhana menjadi pengeluar wagyu yang terkenal di Malaysia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.