Kisah Seram Tandas Tingkat 3 Sebuah Universiti Swasta Di Sri Iskandar, Perak

Trending

Kisah Seram Tandas Tingkat 3 Sebuah Universiti Swasta Di Sri Iskandar, Perak

Kami ingin kongsikan suatu kejadian dalam hidup seorang individu di tandas sebuah universiti swasta di, Perak. Kisah ini berlaku dalam pertengahan semester pertama beliau berada di U**.

Jom baca..

Advertisement

Pada suatu malam, ada sorang kawan aku bagi cadangan untuk ulangkaji pelajaran di perpustakaan. Lagi pula peperiksaan akhir dah dekat. Elok benar lah jika ulangkaji bersungguh sekarang.

Waktu tu malam, pukul 8. Aku berempat bersama kawan-kawan pergi la ke perpustakaan U**.

Kalau korang nak tahu, perpustakaan U** ini tersangat la besar (takde la sangat), tapi memang besar dan unik. Walaupun bila waktu dekat peperiksaan akhir.

Ramai orang akan ke perpustakaan tapi masih akan ada jugak meja-meja kosong. Di tingkat atas kadang-kadang kosong tiada orang. Boleh bayang sendiri la betapa besarnya perpustakaan U** ni.

Memang sangat selesa belajar di perpustakaan ini, sebab suasananya tenang dan sejuk.

Untuk orang-orang yang bising, suka berbincang bising-bising atau yang suka mengajar kawan-kawannya, akan ada beberapa bilik khas yang perlu ditempah.

Ok sambung cerita tadi…

Pukul 8 malam, aku tinggal di asrama Village 4. Agak jauh la dari Village 4 ke perpustakaan. Nasib baik ada sorang kawan aku namanya Afiq. Dia anak orang kaya. Ayah dia bagi sebijik kereta MyVi untuk kegunaan belajar di U**.

Kami naik kereta MyVi menuju ke perpustakaan. Akhirnya sampai juga. Ini adalah kali pertama kami masuk untuk ulangkaji secara berkumpulan.

Dipendekkan cerita..

Kami ulangkaji di tingkat 3, sengaja kami pergi di tingkat atas walaupun kat bawah masih banyak kosong. Sedang sibuk mengulangkaji waktu tu dah pukul 9.45 malam. Tiba-tiba perut aku buat hal.

Banyak kali jugak la kentut.

Kali pertama kentut, kawan-kawan aku pandang aku lain macam (mungkin dalam hati diorang cakap aku tak senonoh kot). Kali kedua aku kentut lagi, kawan aku tutup hidung “Owohhh busuk err natang”.

Kawan aku tu orang Terengganu. Orang Terengganu kebanyakan cakap lepas je. “gi kentut jauh, cilakak natang ni”.

Lepas tu kentut lagi, kentut dan kentut. Aku pun cakap “errr mintak maaf…bila kita nak balik ni? aku sakit perut..”

Seorang kawan aku cakap, “mungkin lewat kot…pukul 12 lah kita balik….kau sakit perut nak berak ke? pergi la tandas kat sana tu ha”.

Sambil menunjukkan satu papan tanda tandas di hujung tingkat itu (Takde la hujung, tapi agak jauh la dari meja kami). Aku pun apa lagi, dengan laju aku berjalan ke tandas tersebut.

Masuk je tandas, sempat lagi dalam hati aku berkata “woww, cantik juga tandas ni, bersih dan selesa”

Sedang aku melabur, tiba-tiba aku terdengar bunyi seakan-akan orang perempuan menangis.

Sayup-sayup je bunyinya. Makin lama, makin dekat.

“Eeeeiikkkk”…..”Pammm”

Bunyi pintu tandas terbuka dan tertutup dan waktu tu aku dengar jelas suara seorang perempuan menangis. Menangis teresak-esak, macam orang baru putus cinta.

Aku pun dalam hati “apa minah ni masuk tandas laki??? ke aku yang salah tandas?”

Bunyi tangisannya makin dekat dan lepas tu alangkah terkejut aku, terlihat kaki seorang perempuan yang sangat pucat, lalu depan kubikel tandas aku.

Paling menakutkan aku adalah, perempuan tu terapung!!! kakinya tak menyentuh lantai!

Aku hanya nampak kaki dan kainnya sahaja.

Aku terkejut dan cuba diamkan diri. Aku tak nak dia tahu aku ada dalam kubikel tandas tu. Dia hanya lalu dan pergi ke kubikel yang paling hujung. Aku pulak di kubikel paling depan selepas masuk tandas.

Usah cakap la betapa takutnya aku masa tu tapi aku diam je.

Aku bangun dan sedia nak keluar dari tandas. Perempuan tu masih menangis.

Waktu tu aku memang pikir nak lari keluar je. Tengah-tengah aku pakai seluar, tiba-tiba aku dengar bunyi dia mengetuk pintu kubikel tandas di hujung sekali.

“tuk,,,, tuk,,, tuk”…..dia ketuk lagi “tuk ,,, tuk,,, tuk”

Agak perlahan ketukannya dan dia pun bersuara dengan suara yang lembut macam perempuan ayu “ada orang takk?”. Memang seram la jugak dengar suara dia bajet ayu tu.

Lepas tu “eeiikkkkkkk”, bunyi pintu kubikel tandas terbuka.

Bunyi lagi ketukan pintu kubikel tandas. Tapi kali ni lagi dekat sama juga dia tanya.

“ada orang takkk?” “eiiiikkkkkk”, pintu terbuka.

Dan bunyi lagi ketukan pintu makin dekat. Seolah-olah dia ketuk pintu satu per satu bermula dari kubikel paling hujung. Waktu tu aku dah cuak, mungkin sekarang dah pintu yang ketiga.

Seterusnya yang keempat adalah kubikel tandas aku!!!

Badan aku sejuk, pucat dan aku tak tahu nak buat apa. Aku dah siap pakai seluar, aku bersedia nak cabut lari. Tangan aku dah sedia pada pemegang pintu tu.

Dan bunyi pintu tandas ketiga tu terbuka “eiiiiiikkkkkk”

Kali ni aku nampak kaki terapung tu lalu depan pintu tandas aku dan berhenti depan pintu tandas aku!!

“ahhh sudah”

Lepas tu, kedengaran macam dia cuba untuk tolak pintu aku tapi tak dapat buka.

“ketakkk,, ketakk,”

Tangan aku pada tombol pintu sedia untuk lari.

Tapi kaki aku jauh dari pintu. Kiranya aku berdiri agak condong la. Sebabnya, aku takut dia tarik kaki aku. Tak lama lepas tu, senyap. Dia dah tak ketuk pintu.

Oleh kerana aku berdiri secara condong, muka aku memang menghadap ke lantai dekat dengan lubang bawah pintu tu. Dalam tak sampai satu minit, aku nampak macam rambut bawah lantai tu.

Rambut tu masuk dalam kubikel tandas aku. Makin lama, makin dalam.

Apabila aku melihat kepala perempuan ‘freehair’ yang mukanya pucat itu masuk dalam lubang bawah pintu tu, mukanya sangat menakutkan.

Secara spontan aku terus bukak pintu. Aku lompat melepasi tubuh badan hantu tu dan keluar dari tandas. Aku lihat di luar tandas tu iaitu di perpustakaan tadi semuanya gelap gelita.

Ahhh sudah gangguan apa lagi ini.

Tanpa pikir panjang, aku terus berlari ke arah tangga dan turun tangga tersebut. Sambil aku turun, sempat lagi aku maki kawan-kawan aku dalam hati “cilaka budak2 ni tinggalkan aku”.

Tengah-tengah aku turun tangga, bunyi la tangisan perempuan tu lagi dari jauh.

Sambil dia berkata “awakkk, awakkk kat mana “.

Sambil menangis, seolah-olah mencari aku dan makin lama bunyi tangisan tu makin kuat.

Aku berhenti seketika dan lihat di atas melalui celah-celah tangga tu.

Aku dapat lihat dia juga lihat aku. Dia dah perasan aku ada di tangga.

“tunggu saya awakkk”

Sambil menangis aku pun dengan pantas berlari turun. Sampai je di bawah, aku berlari ke arah pintu perpustakaan untuk keluar.

Sampai je di pintu, alamak pintu pulak terkunci.

Keadaan waktu tu gelap gelita, tiada orang dan gelap. Aku hanya boleh dengar tangisan perempuan tu je. Aku tak tahu nak buat apa. Aku terduduk di depan pintu tu sambil tenangkan diri aku dan cuba kawal pernafasan aku.

Aku nampak perempuan tu dari jauh, dia menangis. Dia menuju ke arah aku dengan laju. Makin dekat, aku jerit “arggghhhhhh!!!!!!, jangan ganggu aku!!!!”

Aku jerit sambil pejam mata. Dah tak sanggup tengok perempuan tu lagi.

Keadaan jadi gelap gelita. Tiba-tiba aku sedar, berada di atas katil hospital.

Aku tengok sekeliling adalah kawan-kawan aku yang ulangkaji sama-sama malam tu. Mereka duduk sekeliling aku.

“alhamdulillah kau dah sedar”

Aku tanya mereka dengan suara tak bermaya aku..

“aku nampak perempuan. Apa dah jadi sebenarnya? aku mimpi ke? kita ada belajar kat perpustakaan ke?”

Seorang kawan aku cakap..

“sabar……ya memang kita ulangkaji kat perpustakaan dan kau sakit perut. Kau pergi tandas.”

Dia terus sambung cerita lagi.

Waktu tu dalam dekat pukul 10, kau tahu tak sebenarnya perpustakaan U** ini tutup pukul 10 malam.

Waktu kau pergi je masuk tandas, dalam sepuluh minit lepas tu lampu perpustakaan berkelip-kelip.

Sekejap terbuka sekejap tertutup. Dari jauh kami nampak pak guard dah tutup suis.

Kami pandang lah pak guard tu dengan muka hairan.

Dia pun jerit, ‘perpustakaan dah nak tutup’

Kami faham la perpustakaan nak tutup. Dengan laju kami kemas-kemas barang, turun, dan keluar. Keluar je dari perpustakaan baru kami teringat kau dalam tandas.

Aku masuk balik, cakap kat pak guard yang kau masih dalam tandas.

Pak guard pun benarkan aku naik balik panggil kau. Aku naik atas balik, aku cuba buka pintu tandas, tapi berkunci.

Aku panggil la kau. Banyak kali aku panggil kau tapi kau langsung tak jawab dan tak bukak pintu tu. Pak guard pulak dari tadi suruh cepat.

Lepas tu pak guard tu tak habis-habis ON OFF lampu dengan suis kawalan jauh tanpa wayar tu. Geram pulak aku.

Tak lama lepas tu, aku terima SMS dari telefon nombor kau ‘minta maaf, lupa bagitahu, aku dah balik asrama’.

Tanpa pikir panjang, aku terus keluar dari perpustakaan tu.

Memang aku rasa pelik jugak, biasanya kau CALL je aku, kali ni kau SMS.

Kami pun balik dan terus balik asrama.

Kami dah tak sabar nak maki kau sebab tinggalkan kami tak bagitahu. Sampai asrama, tengok kau tiada. Kami main ‘game’ sampai pukul 2 pagi.

Kau masih tiada.

Hari ni pagi tadi baru kami tahu kau sebenarnya masih dalam perpustakaan selepas Pak Guard jumpa kau terbaring tak sedarkan diri depan pintu perpustakaan.

Badan kau panas sangat. Doktor cakap kau demam panas.

Cuba cerita kat kami, apa dah jadi pada kau malam tu?

Aku pun cerita segalanya pada mereka, tapi mereka tak percaya.

Beberapa hari selepas tu, ada yang sanggup cuba masuk tandas tu pukul 10 malam tapi tiada apa-apa yang berlaku. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku seorang sahaja yang diganggu.

Sejak dari tu, sampailah dah graduasi aku dah tak pernah guna tandas perpustakaan di tingkat 3 tu.

Sumber : Bekas Pelajar

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...