Baru-baru ini tular mengenai satu stesen minyak di Salor, Kelantan yang didakwa sudah lama ditutup, sering dilihat beroperasi di waktu malam.
Ia menyebabkan seorang warganet menulis memberi peringatan bahawa orang ramai yang lalu di sekitar kawasan itu perlu berhati-hati dan tidak berhenti di situ walaupun melihat manusia di situ dan lampu stesen menyala.
Apakah latar belakang sebenar stesen minyak itu? Mengapakah ia ditutup?
“Tutup sejak dua tahun lepas kerana pemiliknya bankrap.”
Walaupun begitu, tandas dan surau di stesen minyak ini masih berada dalam keadaan baik kerana dijaga oleh seorang lelaki.
Sekitar Ogos 2019, seorang pengguna Facebook telah merakamkan kelibat satu makhluk di stesen tersebut.
Dapatkah anda lihat? Kami fokuskan untuk pemerhatian anda.
“Orang luar nampak macam buka, tapi sebenarnya tutup.”
“Ada yang masukkan minyak di situ pukul 12.00 malam sebab banyak kereta beratur.”
“Isi minyak semasa Raya, ada staf tapi langsung tidak bercakap, hanya mengangguk dan tersenyum sinis.”
“Isi minyak RM 50, selepas itu tangki kosong.”
Menurut penduduk tempatan, terdapat satu binaan seperti pondok bersebelahan stesen minyak tersebut, yang dibelakangnya terdapat perkuburan lama.
Ianya terkenal dengan satu kisah pada Jun 2005, di mana seorang pemuda singgah di situ untuk membeli sate pada pukul 2.00 pagi dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Waktu itu, gerai sate itu kelihatan meriah dengan lampu warna warni, dan ramai orang. Pemuda itu makan mi berkuah di situ sebelum menempah sebungkus sate untuk dibawa pulang ke rumahnya di Pasir Mas dalam perjalanan balik. Dia membayar wang sebanyak RM 17 kepada juruwang di situ.
Apabila segala urusan pemuda tersebut selesai di Kota Bharu, beliau pun bergegas pulang dan tempat pertama sewaktu pulang ke Pasir Mas ialah untuk singgah di restoran itu bagi mendapatkan sate enak yang telah ditempahnya.
Alangkah terkejutnya, apabila beliau mendapati restoran itu tidak lagi wujud di situ. Agak hairan dengan kejadian itu, beliau berjalan mundar-mandir memerhatikan keadaan sekeliling tetapi apa yang dapat diperhatikannya ialah tempat tersebut merupakan sebuah tanah perkuburan.
Manakala wang tunai berjumlah RM 17 yang telah dibayarnya semasa tempahan itu dibuat dapat dilihatnya di atas sebuah batu nisan di tanah perkuburan itu.
Setelah pemuda tersebut sampai di rumah dan merasa agak ganjil dengan apa yang dimakannya, beliau lalu memuntahkan isi perutnya maka keluarlah cacing
yang menjijikkan dengan banyaknya.
Menurut cerita penduduk Salor, memang terdapat gerai sate di situ satu ketika dulu, tetapi peniaga sate itu sudah lama meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di belakang ‘kedai sate’ tersebut.
Kedudukan ‘kedai sate’ itu boleh diperhatikan menggunakan Google Street View, betul-betul bersebelahan dengan stesen minyak yang diperkatakan.
Ia juga boleh diperhatikan melalui video di bawah:
Disebabkan sudah terlalu kerap kejadian orang luar datang ke stesen ini untuk mengisi minyak kerana lampu menyala dan kelihatan ada orang di dalamnya, penduduk Salor telah memberi peringatan kepada orang ramai yang lalu di lebuhraya Pasir Mas-Salor untuk tidak datang ke stesen tersebut bagi mengisi minyak.
Menurut mereka, jika lampu terpasang dan terdapat orang di kaunter, orang itu sebenarnya bukan manusia.
Hanya terdapat dua stesen minyak masih beroperasi di Salor, iaitu BHP dan Petron, bukan Caltex.
Jadi elakkan ke Caltex Salor. – amazingnara.com