Kisah Penculikan Dan Pembunuhan Canny Ong Pada Tahun 2003-Pt 4

Trending

Kisah Penculikan Dan Pembunuhan Canny Ong Pada Tahun 2003-Pt 4

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4

Bagi pihak polis, rekonstruksi yang dijalankan dengan Najib secara terperinci membuktikan yang dia telah membunuh Canny Ong. Najib kini perlu berdepan dengan undang-undang. Pada 15 September 2003, Ahmad Najib Aris dibawa ke Mahkamah Tinggi Petaling Jaya, atas pertuduhan membunuh Ong Lay Kian, pada pagi 14 Jun 2003.

Advertisement

Ramai pemerhati berkumpul di luar mahkamah kerana semuanya ingin menyaksikan sendiri seorang lelaki yang dituduh terlibat dalam salah satu kes pembunuhan paling kejam di Malaysia.

Ketua Pendakwaraya, Dato’ Salehuddin Saidin masih teringat tekanan yang dihadapi oleh pasukannya untuk memastikan keadilan ditegakkan.

 photo 2_7.jpg

Saya diberi kepercayaan untuk mengendalikan kes itu dengan betul, dan orang ramai juga menjangkakan satu proses pendakwaan tahap tinggi. Mereka tidak mahu kami lepaskan tertuduh dengan mudah.

Buat kali pertama, ahli keluarga dan rakan-rakan Canny bersemuka dengan lelaki yang mengaku telah membunuh wanita itu. Noreen Natasya menceritakan:

Saat itu terukir dalam minda saya sampai kini kerana dia menoleh ke belakang bila mereka panggil nama saya, dan dia tersenyum.

Dia kelihatan seperti orang yang sakit jiwa. Bagi saya, sangat menjelikkan kerana dia tersenyum jahat.

Jadi memang saya tahu dalam hati saya dialah yang membunuh Canny dan saya menggunakan seluruh kekuatan saya untuk tidak pandang ke tempat lain kerana saya tahu dia orang terakhir yang dilihat oleh Canny.

 photo 3_4.png

Walaupun terdapat pengakuan dari Najib, pasukan peguambela yang diketuai oleh Hanif Khatri Abdulla mensasarkan untuk Najib dibebaskan.

Jadi Najib mengaku tidak bersalah.

Mahkamah terkejut dengan pengakuan terbaru itu. Bagi pihak pendakwaraya, itu bukan berita baik kerana mereka bergantung pada bukti berdasarkan keadaan. Salehuddin menceritakan:

Waktu kami mula mengumpulkan bukti, tiada bukti secara terus. Tiada siapa yang menyaksikan insiden itu, tiada siapa melihat tertuduh melakukan jenayah tersebut.

Hanif Khatri bersama pasukannya yang terdiri dari enam orang peguam bertekad untuk mengeksploit sebarang kelemahan yang berkemungkinan dalam kes pihak pendakwaraya. Kata Hanif:

Apa yang kita lihat mungkin bukan sebenarnya apa yang kita dapat lihat, atau apa yang diperlihatkan. Oleh sebab itu, siapa-siapa saja yang dituduh perlu dipertahankan, walau betapa kejam maklumat yang bakal kita ketahui.

 photo 4_2.png

Pihak peguambela memulakan pembelaan dengan cuba mencabar rakaman CCTV yang merupakan satu elemen penting dalam kes pihak pendakwaraya. Hanif Khatri menyatakan:

Imej individu dalam gambar CCTV itu sukar dikenal pasti untuk kita padankan dengan Ahmad Najib atau sesiapa pun, kerana ia kabur.

Terdapat beberapa salinan gambar tersebut yang menunjukkan individu itu memandang ke arah kamera. Ia juga sudah diperbesarkan beberapa kali kepada saiz tertentu, tapi ia masih sangat kabur.

Apa yang sangat penting bagi pihak pendakwaan ialah t-shirt dan seluar jeans dengan kesan tompokan darah yang dirampas dari rumah Najib. Namun Hanif telah menemui cara untuk mempersoalkan kesahihan jeans itu sebagai bukti.

 photo 5_4.png

Kata Hanif Khatri:

Saksi pihak pendakwaan iaitu pegawai penyiasat polis mengesahkan tiada ujian dilaksanakan untuk memadankan seluar jeans tersebut dengan Ahmad Najib, malah dia juga tidak memeriksa saiz jeans tersebut. Dia tidak menguji sama ada seluar tersebut padan dengan saiz pinggang Ahmad Najib.

Bagaimanapun, pihak pendakwaraya tampil dengan bukti yang lebih sukar dicabar. Ujian DNA mengesahkan yang darah yang ditemui pada jaket, t-shirt dan seluar jeans merupakan darah Canny Ong, malah kesan air mani yang diambil dari badan Canny juga sukar dicabar. Salehuddin menerangkan:

Selepas dianalisa, profil DNA air mani tersebut didapati kepunyaan Najib.

Ini ialah satu bukti yang sangat kukuh. Tetapi Hanif dan pasukannya mempunyai satu strategi lain. Hanif menyatakan kepada mahkamah yang Canny ialah pemegang tali pinggang hitam dalam seni pertahanan diri Taekwan-do. Hanif mempersoalkan mengapa Canny tidak melawan atau cuba melepaskan diri.

Itulah salah satu teka-teki yang sukar dijelaskan oleh mereka yang terlibat dalam penyiasatan kes tersebut. Menurut Abu Bakar Mustaffa:

Kita tidak boleh katakan mangsa patut lawan dia (Najib), ada masa lari, ada peluang lari, macam mana dia nak lari?

Memang senang cakap dia boleh lari, tapi dia nak lari macam mana? (Masa itu) pukul 1.00 – 2.00 pagi dan dia tak tahu dia berada di mana, dan dia dah kena tikam.

Taktik Hanif sebenarnya ialah satu strategi pembelaan yang tipikal (biasa) untuk cuba terus mencipta keraguan, tetapi ahli kriminologi, Dr. Geshina Ayu, menolak spekulasi ini.

 photo 6_5.jpg

Anda fikir, “jika saya berada dalam situasi ini, sudah tentu saya akan melarikan diri, sudah pasti saya akan meminta tolong”. Tetapi anda tidak berada dalam situasi sebegitu.

Anda boleh membayangkan apa saja, tetapi realiti dan imaginasi ialah dua perkara berbeza.

Bukti-bukti kukuh yang ditampilkan oleh pihak pendakwaraya telah menetapkan nasib Najib. Antara bukti yang paling kukuh ialah kain jenis Muslin yang digunakan untuk mengikat tangan Canny.

Najib bekerja sebagai penyelia (pembersihan kabin pesawat) dan mereka menggunakan sejenis kain khas untuk membersihkan cermin tingkap. Ujar Salehuddin:

Saya syak bahawa suspek menggunakan kain yang sama (digunakan untuk mencuci tingkap) untuk mengikat leher atau pergelangan tangan Canny.

Ujian forensik mengesahkan kain Muslin yang digunakan untuk mengikat mulut dan pergelangan tangan Canny ialah kain yang sama ditemui di tempat kerja najib.

Pihak pendakwaan dengan konsisten telah membentangkan bukti-bukti forensik yang kukuh.

Kini, tiba giliran Najib untuk mempertahankan dirinya. Seluruh Malaysia ingin tahu bagaimana dia akan pertahankan dirinya.

Pada 4 Ogos 2004, salah satu dari antara perbicaraan jenayah paling dramatik di Malaysia telah sampai ke penghujungnya. Ahmad Najib Aris telah dituduh membunuh Canny Ong. Pihak pendakwaan telah membentangkan kes yang kukuh terhadapnya.

 photo 7_3.jpg
Pasukan pembelaan yang diketuai oleh Hanif Khatri Abdulla berada dalam kedudukan yang sukar.

Kami berenam terpaksa duduk dan membuat penilaian apakah pilihan sedia ada yang terbaik untuk Ahmad Najib.

Selepas enam minggu membuat penilaian, mereka membentangkan pilihan yang ada kepada Ahmad Najib.

Dia mempunyai hak yang tidak boleh dipertikaikan, tentang apa pilihan yang ingin diambilnya. Malah, dia boleh menolak nasihat kami.

Kami beritahu dia, sangat penting untuk dia membuat keputusan dengan sukarela kerana nyawanya menjadi pertaruhan.

Setelah mempertimbangkan nasihat pasukan peguamnya, Ahmad Najib pun membuat keputusan. Dia memilih untuk berdiam diri.

 photo 7_2.png
 photo 8_3.png
Terdapat beberapa drama di mahkamah sebelum ini, tetapi ia tidak seperti drama yang timbul selepas Najib membuat keputusan tersebut. Hanif berkata:

Apa yang Najib kata ialah, “tidak, saya tidak akan membuat kenyataan bersumpah. Saya tidak akan berkata apa-apa mengenai sumpah.

Saya tidak mahu bersoal jawab dengan pihak pendakwaan.

Saya tidak akan mengatakan apa-apa dari kamar tertuduh bagi mempertahankan diri dari pertuduhan ini.”

Pihak pendakwaan menterjemahkan keputusan mengejutkan oleh Najib sama seperti satu pengakuan bersalah. Kata Salehuddin:

Apa yang mereka lakukan ialah untuk berdiam diri, dan langsung tidak akan memberi kenyataan balas dengan memanggil saksi. Mereka tidak akan panggil sesiapa.

Mereka hanya ingin tutup kes, dan tidak mempertikaikan bukti-bukti yang ada.

Jadi saya balas bahawa jika mereka tidak mempertikaikan bukti-bukti, maka ia membawa kepada pensabitan (bersalah).

Hanif mempertahankan nasihat yang diberi kepada kliennya.

Adakah ia (mendiamkan diri) bermakna dia mengatakan apa jua yang diputuskan oleh hakim itu betul? Jawapannya tidak. Ia tidak bermakna begitu.

Jika ia bermakna begitu, maka hak untuk berdiam diri bukanlah satu pilihan yang sah di sisi undang-undang.

Pada akhir perbicaraan, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah mempersembahkan kes yang kukuh terhadap Ahmad Najib Aris yang membuat keputusan mengejutkan untuk berdiam diri sebagai pilihan mempertahankan dirinya.

Pada bulan Februari 2005, Ahmad Najib Aris disabitkan bersalah dan dihukum mati.

Bagi ahli keluarga dan kawan-kawan Canny, keputusan itu memberikan satu bentuk pengakhiran kepada kes itu, namun tidak memadai untuk melenyapkan rasa kehilangan yang dialami oleh Noreen Natasya.

Bila keputusan dibacakan, kami rasa macam sekurang-kurangnya ada satu penutup kepada episod ini. Tetapi apa sekalipun ia tidak menghilangkan rasa kesakitan yang dialami kerana kehilangan sahabat baik saya.

Kata Pearley:

Gantung dia atau tidak, tidak akan dapat mengembalikan Canny.

Sebenarnya, saya tak faham kenapa dia bunuh Canny. Apa yang telah Canny lakukan (padanya)?

Sehingga ke hari ini, masih terdapat teori konspirasi yang berlegar mendakwa Najib tidak membunuh Canny dan kononnya pembunuh sebenar masih bebas. Tetapi Dr Geshina amat yakin bahawa pelaku yang sebenar telah pun disabitkan.

Sekiranya dia tidak ditangkap, dia mungkin akan mengulangi melakukan jenayah yang sama. Jenis pembunuh psikopatik begini akan membunuh semula apabila keghairahan peribadi yang berkait dengan jenayah tersebut (pembunuhan Canny) terpadam.

Jadi saya bersyukur dia berjaya ditangkap sebelum wanita lain pula menjadi mangsanya.

Tuan Haji Abu Bakar Mustaffa juga yakin yang Najib bersalah. Apatah lagi, beliau mempunyai maklumat yang Ahmad Najib pernah melakukan jenayah lain sebelum Canny.

Ada maklumat mengatakan bahawa Najib ada kaitan dengan beberapa kes rogol lain. Kes-kes ini ada tidak kurang dari tiga.

Namun Abu Bakar tidak dapat meneruskan penyiasatan kes-kes tersebut kerana mangsa-mangsa yang terlibat enggan bekerjasama.

Antara mangsa-mangsa tersebut sudah berumahtangga pada masa itu, dan ada yang tidak mahu perkara itu dibangkitkan.

Jadi ia senyap sebegitu saja.

Selepas enam tahun menunggu hukuman mati dan dua rayuan ditolak, masih ada satu peluang untuk Ahmad Najib iaitu pengampunan dari Sultan.

Najib diberi peluang untuk menulis surat rayuan kepada Sultan Selangor untuk mengelakkan hukuman mati. Bagaimanapun, dalam suratnya, Najib menulis bahawa jika Sultan tidak memberi pengampunan kepadanya, Najib memberitahu dia akan menerima keputusan Sultan. Menurut Dr. Geshina:

Kalau rayuan dia ditolak, ke mana dia hendak pergi? Dia dah tak boleh ke mana-mana.

Jadi bila keadaan berakhir begitu, dia sudah tiba ke penghujung jalan. Dia fikir, “kenapa tidak bunuh saya saja?”

Tetapi buat mereka yang bertuah mengenali Canny Ong, semangat dan kehidupannya terus memberikan inspirasi, inspirasi yang gagal dipadamkan oleh Najib.

 photo 9_2.jpg

Canny melanjutkan pelajaran di sebuah university di Hawaii, AS, sebelum bertemu dengan Brendan di Los Angeles. Mereka berkahwin di Malaysia pada tahun 2001 sebelum tinggal di San Diego.

Brendan akhirnya telah meneruskan kehidupan dan telah berkahwin semula sekitar tahun 2014.

 photo 10_3.png

Noreen Natasya memberitahu:

Walaupun hingga ke hari ini, Canny masih memberikan saya inspirasi. Jika saya tak tahu bagaimana untuk menghadapi sesuatu masalah, saya akan tanya diri saya, “bagaimana Canny akan laluinya?” Dia berikan saya banyak kekuatan.

Ya, saya sangat merinduinya. Ia sesuatu yang sukar.

Manakala Pearley pula berkata:

Dia seorang anak perempuan yang baik. Kami berdua sangat rapat.

Anda tahu, bila anda kehilangan seseorang, kekesalan anda yang paling dirasakan ialah: anda rasa anda tak cukup berbuat baik kepada orang itu (semasa masih ada).

Saya nyalakan lilin untuk dia setiap hari. Saya selalu fikir tentangnya seolah-olah dia masih hidup.

Kadangkala saya berpura-pura yang dia masih berada di Amerika.

 photo 11_3.png

Rayuan Ahmad Najib Aris untuk mendapat pengampunan dari Sultan Selangor telah ditolak.

Selepas menghabiskan 11 tahun sebagai banduan akhir, Najib telah digantung pada pagi Jumaat minggu lepas (23 September).

Jurucakap Penjara Kajang berkata, Ahmad Najib, 40, digantung pada kira-kira pukul  6.00 pagi dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Kantan di Kajang.

Najib dibenarkan untuk bertemu ahli keluarganya untuk kali terakhir pada Khamis.

Bekas peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menerangkan Najib sebagai seorang ‘muslim yang baik’ sewaktu di penjara. Dia dikatakan sering menjadi imam solat berjemaah dan mengajar banduan lain tentang agama. Hanif memberitahu The Star:

Sekurang-kurangnya, sewaktu di penjara, dia lebih baik dari ramai yang berada di luar sana.

 photo Untitled_4.png
-amazingnara.com

Sumber: CI Asia: The Murder Investigation of Canny Ong | The Star

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...