Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3
Nurul Huda Abdul Ghani ialah seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tinggal di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada tahun 2004.
Merupakan anak bongsu dalam keluarga, dia seorang kanak-kanak yang manja dan disayangi oleh ibu bapa dan adik-beradiknya. Oleh itu, Nurul dikenali dalam keluarga dengan panggilan ‘Manja’. Dia merupakan murid yang bakal menduduki tahun empat Sekolah Kebangsaan Tiram Duku, Tanjung Kupang, Gelang Patah dan anak Ketua Umno Cawangan Kampung Pekajang, Abdul Ghani Juni yang juga merupakan kerani di sekolah Nurul Huda belajar.
Cerita abang Nurul Huda, Amer Effendi, yang ketika itu berusia 26 tahun:
Dia paling disayangi bapa saya. Dia sangat rapat dengan bapa. Malah, kami semua manjakan dia kerana dia anak bongsu.
Dia juga seorang kanak-kanak yang pintar, suka bertanya dan mempuyai sikap ingin tahu terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.
Kerana itu, sekolah melantiknya menjadi pengawas.
Malam 16 Januari 2004, ibu Nurul Huda mendapati anak kecil itu berperangai agak ganjil dari biasa.
Rozita Abu Bakar, ibu saudara Nurul Huda (ketika itu berusia 30 tahun), berkata kanak-kanak itu telah meminta ibunya membeli kain putih untuk pakaian seragam pengawas sedangkan seragam pengawas sekolahnya sepatutnya berwarna merah.
Rozita menceritakan yang ibu Nurul Huda, Zainon Abu Bakar, ada bercakap tentang permintaan Nurul Huda:
Dia memang serius waktu minta dibelikan kain putih itu. Mungkin kerana dia dapat rasakan apa yang bakal berlaku kepadanya.
Keesokannya, pada 17 Januari 2004, Nurul Huda telah mencapai basikal dan bercadang mengayuh untuk membeli ikan dan telur untuk keluarganya di sebuah kedai yang terletak 500 meter dari rumah mereka. Cerita kakak Nurul, Norasihkin Gani:
Hari kejadian adalah hari pertama dia ditinggalkan oleh mak dan abah yang keluar berniaga kerana masa itu adalah hari pertama saya dan kakak berada di rumah selepas tamat pengajian. Nurul kata nak tinggal dengan kakak.
Kami nak masak untuk mak dan abah masa itu, jadi Nurul tolong belikan ikan dan telur. Dia keluarkan basikal yang tak pernah dibawa keluar dari rumah. Basikal yang baru dibeli abah.
Kedai sangat dekat jadi kami benarkan kerana kampung itu yang kami tahu adalah aman dan tenang.
Dia keluar dari rumah, dan pada ketika itu pada jam menunjukkan pukul 9.30 pagi.
Bagaimanapun, sehingga jam 12.45 tengahari, kanak-kanak itu masih tidak pulang ke rumah.
Bimbang dengan keselamatannya, abang, bapa dan ibu Nurul Huda telah membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Tanjung Kupang. Norasihkin bercerita:
Abang Long (Amer) naik motor pergi ke balai. Jauhlah juga. Nak telefon masa tu mana kami ada telefon bimbit. Telefon awam pula rosak.
Mereka kemudiannya bersama dua anggota polis membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan untuk mencari Nurul Huda.
Terdapat satu Stesen Janakuasa Tenaga Nasional berhad (TNB) kira-kira 100 meter dari rumah mereka. Kata Norasihkin:
Stesen TNB masa itu baru wujud dan berada di tengah-tengah, antara rumah dengan kedai.
Jadi susah tentu polis mesasarkan untuk bertanya kepada pengawal keselamatan di stesen itu mengenai Nurul Huda, yang sepatutnya berbasikal melalui jalan di hadapan stesen untuk ke kedai.
Namun apabila persoalan mengenai Nurul Huda diajukan kepada pengawal itu, dia bersikap mencurigakan dan tidak memberi kerjasama, sehingga menimbulkan syak.
Ketika ini, Amer Effendi dan dua orang anggota polis tersebut telah memanjat pagar stesen dan masuk ke dalam kawasan tersebut. Norasihkin menambah:
Jam 10.00 pagi tak balik-balik, kami semua sudah mula cari keliling kampung. Jiran semua tolong cari.
Jam 12.00 tengahari kami dah terpacak depan stesen dan tak bergerak-gerak dari depan pagar. Sebab semuanya tergerak hati Nurul ada di dalam stesen TNB itu.
Cuma yang mengambil masa, kami semua tidak dibenarkan masuk. Pagar sangat tinggi.
Kami panggil nama Nurul dari luar sementara tunggu polis datang . Bila nak panjat pengawal tak bagi. Kena ada polis baru boleh masuk.
Dah sampai polis pun tak boleh masuk. Jadi semua panjat ramai-ramai.
Pengawal keselamatan itu, Mohd Abbas Danus Baksan (ketika itu berusia 47 tahun), berang dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.
Percubaan Abbas bagaimanapun dipatahkan oleh Lans Koperal Peter Andrew Fletcher, dan Abbas diserahkan kepada rakan setugas, Lans Koperal Rusli Alias (ketika itu 38 tahun).
Rusli telah memegang Abbas bagi mengelakkannya melepaskan diri.
Peter dan abang Nurul Huda, Amer Efendi telah masuk ke dalam stesen tersebut.
Di tandas stesen tersebut, Peter dan Amer menemui sesuatu yang mengejutkan mereka berdua.
Pada dinding tandas tersebut, Nurul Huda telah ditemui duduk tersandar dalam keadaan mencangkung, tanpa seurat benang.
Mulut Nurul Huda telah disumbat dengan kain, manakala tangannya dilihat memegang dagu dan lehernya dalam keadaan separuh sedar. Lehernya berbekas merah manakala dada anak kecil itu terdapat kesan calar.
Basikal biru yang digunakan oleh Nurul Huda turut berada dalam tandas itu. Cerita Amer Effendi:
Waktu saya keluarkan kain itu dari mulutnya, mulutnya tetap terbuka dan saya lihat lidahnya kaku dan biru.
Saya pakaikan dia baju yang saya temui di sebelahnya dan angkat dia ke katil kayu di luar tandas.
Peter telah menjerit memberitahu Rusli yang mereka telah menemui Nurul Huda dalam tandas stesen tersebut. Norasihkin mengimbas kembali:
Ya Allah. Ya Allah. Jumpa Nurul terus terdengar azan Zohor. Allah saja yang tahu perasan kami.
Ketika ini, Abbas berang dan cuba melepaskan diri. Namun Rusli telah mengilas tangan Abbas ke belakang dan bergelut dengan lelaki itu.
Orang kampung yang juga berang pada masa itu telah masuk ke dalam kawasan stesen tanpa disedari anggota polis dan cuba untuk membelasah lelaki itu.
Rusli yang cuba menyelamatkan Abbas dari dibelasah orang ramai, turut terkena tumbukan dalam kejadian itu.
Amer yang tidak dapat mengawal perasaan juga ketika itu ingin membelasah Abbas, bagaimanapun, dia ditenangkan oleh Rusli dan Peter.
Amer kemudiannya memangku Nurul untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Gelang Patah dengan menggunakan van salah seorang rakannya bersama ibu bapa mereka. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.30 petang.
Ketika saya memangkunya dalam perjalanan untuk ke klinik kesihatan, Nurul masih bernyawa dengan keadaan separuh sedar. Matanya layu separuh terbuka dan suhu badannya masih panas. Mulutnya terbuka dan kelihatan lidahnya hampir lebam.
Amer cuba untuk memberi bantuan pernafasan kepada Nurul Huda dalam perjalanan ke klinik.
Nurul tidak sedar dan tidak bergerak dalam van itu. Kami berdoa dan berharap yang dia masih hidup.
Bila tiba di klinik, Amer mendakwa Nurul lewat menerima rawatan.
Adik saya dibaringkan pada satu katil bergerak dan dibawa masuk dalam klinik. Setelah memeriksa nadi Nurul, staf klinik mengesahkan adik saya telah meninggal dunia.
Saya tak tahu apa telah terjadi selepas itu.
Nurul Huda dipercayai telah dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelaki termasuk Abbas, dan telah dicekik oleh salah seorang dari mereka.
Sehubungan itu, polis menahan reman pengawal keselamatan Mohd Abbas yang berasal dari Kelantan itu dan selepas disoal siasat, polis menahan seorang lagi rakannya di rumahnya di Kampung Pekajang.
Pada masa itu, identiti rakannya itu belum dikenali. Dia merupakan seorang penganggur berusia 27 tahun, dan polis mula mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki.
Siasatan polis mendapati Abbas mempunyai lapan rekod jenayah dalam kes samun dan curi di Pasir Gudang, Skudai, Jinjang, Selangor dan Sungei Way, Petaling Jaya. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara pada masa itu, Deputi Superintendan Ahmad Zamri Awang, berkata:
Kita juga masih menyiasat punca kematian Nurul Huda dan kita akan mendakwa mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan membunuh mangsa.
–amazingnara.com
P/S: Bersambung ke Bahagian 2.
Sumber: Norasihkin Gani, NSTP, variasi artikel di Internet