Kisah Pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin Pada Tahun 2007-Pt 1

Trending

Kisah Pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin Pada Tahun 2007-Pt 1

Pada tahun 2007, Nurin Jazlin Jazimin, 8, ialah anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil, 35, dan Norazian Bistaman, 35.

Nurin mempunyai seorang rakan baik, Nurul Aina Mohd Nooh, 8. Kedua-duanya ialah pelajar Darjah Dua di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, Kuala Lumpur.

Advertisement

Nurul Aina memberitahu dia sangat mengagumi rambut Nurin:

Rambutnya panjang dan bersinar. Nurin selalu pergi ke pasar malam untuk beli klip rambut warna-warni dengan ibu bapanya, tetapi biasanya dia beli klip warna hitam dan putih.

Pada malam 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin telah keluar dari rumah untuk ke pasar malam yang terletak di Wangsa Maju. Dia keluar pada pukul 8.30 malam untuk membeli barang kegemarannya—klip rambut.

Nurazian memberitahu yang Nurin biasanya keluar ke pasar malam dengan kakaknya, Nurin Jazshira, yang berusia sembilan tahun.
nurin
Namun malam itu, Nurazian membenarkan Nurin pergi seorang diri kerana jarak pasar malam dengan flat mereka sangat dekat. Norazian tidak memikirkan ada perkara buruk akan berlaku.

Bila dia tidak pulang, saya cari dia tetapi tidak jumpa. Peniaga-peniaga pasar malam juga tidak nampak dia malam itu.

Norazian mencari Nurin sehingga ke Setapak. Dia risau kerana Nurin mempunyai masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.
4

Tolong cari anak saya dan bawa dia pulang ke rumah.

Dia perlu makan ubat setiap hari, jika tidak badan dia akan membengkak. Dah tiga hari dia hilang dan dia belum makan ubat lagi.

“Tak nak!”

Sementara itu, Jazimin sukar tidur malam sejak Nurin hilang. Dia juga sangat dirindui dua lagi adik perempuannya, Nurin Jazrina, 6 dan Nurin Jazlisa, setahun setengah.

Jazimin telah membuat laporan polis dan mereka yang mengetahui lokasi Nurin diminta untuk menghubungi balai polis terdekat.

Pada mulanya, Jazimin percaya terdapat kemungkinan Nurin mengikut seseorang yang dia kenali. Namun begitu, seminggu selepas kehilangan Nurin pada 30 Ogos 2007, polis mendedahkan mereka menerima maklumat dari seorang sepupu Nurin yang tinggal berdekatan rumah mereka.

Sepupu Nurin bercerita, pada malam 20 Ogos, dia juga berada di pasar malam dan terlihat seorang lelaki, dipercayai berusia awal 20-an, berdiri di luar sebuah van putih kemudian menarik Nurin masuk ke dalam van itu.

Nurin dilihat meronta untuk melepaskan diri dan mengatakan , “tak nak, tak nak” berulang kali sebelum diseret masuk ke van itu oleh lelaki tersebut.

Ketua Balai Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran memberitahu mereka sedang menyiasat maklumat tersebut.

Sementara itu, lebih seratus orang dari pasukan polis, Dewan Bandaraya, Rela dan Rukun tetangga menyetai pencarian Nurin. Kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintenden Zainuddin Ahmad:

Buat masa ini kami tiada petunjuk mengenai Nurin. Tetapi kami akan memeriksa di setiap sudut termasuk rumah, tapak pembinaan, rumah tinggal, bangunan dan semak.

Kami berharap orang ramai akan membantu kami dengan memberi maklumat. Kes kehilangan Nurin disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

Sejak kehilangan Nurin juga, Jazimin memberitahu dia dan isterinya telah menerima lebih dari 100 SMS tetapi mesej-mesej itu tidak banyak membantu.

Sesetengah SMS itu mengkritik saya dan isteri saya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong telah mengedarkan 500 risalah kepada pekerja warga asing dari Indonesia untuk membantu mengesan Nurin.

Setakat ini, polis, orang ramai dan pemandu teksi masih belum berjaya mengesan Nurin.

Kami berharap dengan bantuan pekerja warga Indonesia ini, kami akan dapat sedikit berita tentang Nurin.

Di samping itu juga, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengedarkan 20,000 helai poster ke 142 buah cawangannya di seluruh negara untuk membantu mengesan Nurin.

Pada masa itu, pelbagai pihak mengumumkan akan memberi ganjaran kepada individu yang dapat memberi maklumat mengenai Nurin sehingga dia ditemui. Antaranya Ali Maju Restaurant Sdn Bhd, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Teo Ng Lock dan Pemuda UMNO Wangsa Maju, ketiga-tiganya menjanjikan RM 5,000. Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula menjanjikan RM 3,000 menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran RM 18,000.

Restoran Ali Maju juga telah mencetak 10,000 pamplet dan 50 kain rentang untuk diedarkan kepada orang ramai.

Pandangan Jarak Jauh

Berita kehilangan Nurin menghiasi dada akhbar dan disebar secara meluas melalui media elektronik serta blog-blog di Internet.
3

Pada hari ke-13 kehilangan Nurin, seorang wartawan telah membantu Jazimin mendapatkan bantuan pakar forensik hipnosis, Dr. Sazali Ahmad untuk mengesan lokasinya menggunakan ‘pandangan jarak jauh’ atau remote-viewing.

Remote-viewing ialah sejenis teknik saintifik yang dibangunkan oleh pasukan perisik tentera Amerika Syarikat untuk mengumpulkan maklumat mengenai sasaran, contohnya lokasi sebenar sasaran dan apa yang sedang dilakukan oleh sasaran itu.

Ia kaedah sains forensik yang diterima dan telah lama dipraktikkan terutama di kalangan badan perisikan bagi mengesan dan mengumpul seberapa banyak maklumat mengenai orang hilang dan juga suspek kes tertentu.

Teknik ini dibangunkan dengan mengkaji corak pemikiran individu-individu yang mempunyai kebolehan psikik semulajadi di sana.

Dr Sazali Ahmad mempunyai sebuah akademi yang melatih mereka yang berminat untuk mengamalkan teknik remote-viewing.

Empat orang termasuk ibu Nurin, sepupunya yang merupakan saksi yang nampak Nurin dibawa menaiki sebuah van putih, rakan Nurin,  serta seorang pelajar dari Simfoni Minda melakukan remote-viewing mengesan Nurin.

Pada malam itu, ketika melakukan kaedah itu ke atas Nurazian (ibu Nurin), beliau memasuki alam separuh sedar dan menemui Nurin, yang dilihatnya berada di dalam sebuah bilik gelap, berbaring dalam keadaan merengkok.

Pada ketika itu Dr Sazali mengarahkan ibu Nurin agar keluar dari tempat Nurin berada itu dan melihat ke sekitar kawasan bagi mengesan di mana kedudukan Nurin.

Tetapi hati seorang ibu apabila melihat anaknya sendirian dalam keadaan yang lemah sebegitu, takut untuk melepaskannya dari pandangan dan gagal mengesan lokasi kedudukan Nurin.

Ujian yang dilakukan ke atas sepupu Nurin juga mendapatkan jawapan yang hampir sama, di mana beliau nampak Nurin terbaring dalam keadaan merengkok di dalam sebuah bilik gelap. Ketika itu dia hanya melihat Nurin sendirian.

Ketika Dr Sazali mengarahkannya keluar dari tempat di mana Nurin berada itu bagi mengenal pasti lokasi dia disembunyikan, beliau hanya menyatakan ternampak satu jalan yang seperti biasa dia lihat, terdapat banyak pokok, ada bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan.

Bagaimanapun dia gagal mengesan nama jalan yang dilaluinya ketika berada di alam bawah sedar itu.

Sementara itu ujian ketiga ke atas seorang pelajar Simfoni Minda (akademi milik Dr. Sazali Ahmad), agak jelas klunya.

Hampir sama dengan sepupu Nurin itu, dia menyatakan dia seolah-olah nampak ada jalan yang banyak pokok dan ada premis kedai.

Nurin yang dilihat ketika itu dijaga oleh dua lelaki – seorang berbadan tegap dan seorang lagi agak kurus yang diyakininya orang Malaysia.

Katanya ketika itu dia melihat tangan Nurin diikat,  berada dalam keadaan demam dan kesakitan.

Berdasarkan maklumat itu, bersama polis, usaha mengesan dijalankan di Jalan Klang Lama pada dua malam berikutnya – namun hanya menemui sebuah van berwarna putih yang akhirnya disahkan tiada kaitan dengan kes kehilangan Nurin.

Keadah remote viewing seterusnya turut dijalankan, namun pada hari-hari berikutnya, Dr Sazali mendapati tenaga Nurin untuk membolehkan interaksi minda dijalankan semakin lemah dan keadaan Nurin ketika itu tidak bermaya akibat kesakitan yang ditanggungnya.

Kata Dr. Sazali:

Baik dipercepatkan usaha mencari. Keadaan Nurin semakin lemah.

Ramadan Tiba

Bulan puasa tahun itu, keluarga Jazimin menyambut kehadiran Ramadan tanpa Nurin. Ia kini disambut dengan rasa pilu dan penuh kerinduan terhadapnya.

Mereka teringat yang Nurin sangat gemarkan Roti John dan lauk sambal petai sebagai juadah untuk berbuka puasa. Walaupun menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi, Nurin sangat gemar berpuasa dan hanya akan meninggalkan puasa ketika sakit.

Keluarga kanak-kanak itu begitu mengharapkan kepulangan anaknya terutama menjelang tarikh kelahiran Nurin Jazlin pada 11 September.

Norazian berkata, terlalu banyak impian anak keduanya itu untuk menyambut ulang tahun kelahiran tahun itu . Sebelum kehilangan Nurin Jazlin, dia pernah menyuarakan keinginan untuk mengadakan sambutan ulang tahun berbeza dengan tahun sebelumnya .

Dia sibuk meminta saya memasak laksa Penang dan menjemput rakan lain untuk meraikan hari jadinya selain mengatakan dia sendiri akan memilih kek yang akan dipotong pada majlis itu.

Nurazian juga telah menyediakan dua pasang baju kebaya yang masih baru, ditempah khas di kampung Jazimin di Selama, Perak sebagai baju raya Nurin.

Katanya, dia sekeluarga dihujani ratusan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan yang mengutuk dirinya tidak pandai menjaga anak daripada individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di atas kehilangan Nurin yang mesra dipanggil Kak Ngah.

SMS terbaru yang saya terima ialah daripada seorang individu yang mengaku seorang penyiasat persendirian yang menyatakan ingin membantu mencari anak saya tetapi bertanyakan upah yang boleh diberikan jika berjaya menemukan Nurin Jazlin.

Mereka juga menerima maklumat yang Nurin dilihat berada di beberapa lokasi, antaranya Seremban dan Rawang. Bagaimanapun, kesemua maklumat itu palsu.

Harapan kami ialah sesiapa yang ambil Nurin pulangkan segera dan biarlah kami sambut Hari Raya dengan gembira. Tolong kasihani kami dan jangan pedihkan lagi luka di hati.

Setelah 25 hari kehilangannya, ganjaran kepada individu yang memberi maklumat sehingga Nurin dijumpai telah meningkat kepada RM 26,000.

Kanak-kanak Dalam Beg

Pada Isnin, 17 September 2007, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui disumbat dalam satu beg sukan yang ditinggalkan di tangga sebuah lot kedai di PJS1/48, Petaling Utama.

beg

Mayat itu ditemui oleh penyelia sebuah syarikat pengedar buku, Chen Yan Fang, 32, dalam beg sukan berwarna hitam dan biru pada pukul 8.30 pagi di luar premis kedainya. Pada mulanya, Chen menyangka beg itu milik salah seorang staf syarikatnya yang baru balik ke Petaling Jaya dari perjalanan ke Singapura.

Jack Yeoh Huat Lip, 51, pengurus am syarikat itu sampai ke situ setengah jam kemudian setelah Chen menelefonnya dan memberitahu beg itu bukan miliknya. Apabila dia membuka beg itu, dia terkejut kerana terlihat sepasang kaki. Dia terus menelefon polis.

Kami kerja separuh hari pada Sabtu dan semalam (Ahad) pejabat kami ditutup. Penyelia paling akhir tinggalkan pejabat pukul 1.00 petang Sabtu tetapi masa itu dia tak nampak beg itu di situ.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohd mengesahkan melalui bedah siasat bahawa sebiji timun dan sebiji terung ditemui dalam alat sulit pada mayat kanak-kanak itu. Katanya:

Dia (kanak-kanak itu) pasti telah mengalami kesakitan teramat sebelum meninggal dunia.

Terdapat kesan lebam pada leher kanak-kanak itu, memberi bayangan dia mungkin telah dicekik. Kanak-kanak itu, dipercayai berusia lapan hingga sembilan tahun.

Polis percaya kanak-kanak itu yang identitinya belum dikenal pasti, telah meninggal dunia lebih dari enam jam sebelum mayatnya ditemui.

Polis meminta mereka yang kehilangan anak perempuan menghubungi ibu pejabat mereka.

Disebabkan Nurin Jazlin ialah antara kanak-kanak perempuan yang telah dilaporkan hilang, pada hari ke-26 kehilangannya, Jazimin dan Nurazian telah dipanggil ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat pengecaman.

1

Pasangan itu merasa sangat bimbang semasa dipanggil, namun dilihat menarik nafas lega sewaktu keluar dari bilik mayat. Mereka berdua pasti mayat kanak-kanak itu bukan mayat anak mereka berdasarkan raut wajah, warna kulit dan ciri-ciri fizikal kanak-kanak itu.

Saya bersyukur kanak-kanak itu bukan Nurin. Saya percaya dia masih hidup dan akan ditemui.

Bagaimanapun, sampel darah mereka berdua diambil untuk menjalani ujian perbandingan DNA.

Walaupun tiada petunjuk mengenai lokasi anak saya, saya percaya kami akan disatukan semula. Saya akan terus mencari Nurin sehingga dia ditemui.

Kami berdebar-debar tetapi kuatkan semangat untuk datang buat pengecaman. Saya kenal anak saya. Saya lihat sekali saja dan tahu itu bukan dia.

Jazimin merayu orang ramai supaya membantu mencari Nurin.

Telefon saya atau polis. Saya merayu.

Pada 21 September 2007, Jazimin dan Nurazian dipanggil semula ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman kedua mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg sukan di lot sebuah kedai di Petaling Utama itu.

Mereka berdua ditemani abang-abang Jazimin, Jazlan dan Jasni.

Sekali lagi, pasangan itu mengesahkan mayat kanak-kanak itu bukanlah anak kedua mereka. Mereka meninggalkan hospital pada 4.00 petang.

Bagaimanapun sebelum itu, jam 2.00 petang yang sama, pihak polis telah mengadakan sidang media bahawa mayat kanak-kanak itu ialah Nurin Jazlin berdasarkan padanan pada ujian DNA.
2

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohd mengesahkan dalam sidang media tersebut yang mayat kanak-kanak yang ditemui dengan kedaaan kaki mengerekot dalam beg sebelum ini ialah Nurin, juga berdasarkan bukti rekod pergigian Nurin yang dibuat di sekolahnya.

Terdapat kekeliruan yang berlaku pada waktu ini, tetapi apa yang pasti, Jazimin masih tidak percaya mayat itu ialah Nurin dan menuntut ujian DNA kedua dijalankan.

Saya ayah Nurin… Saya lebih mengenali anak saya dari semua orang. Dalam hati saya berkata mayat itu bukan anak saya.

Jika polis suruh saya ambil mayat tersebut, saya akan terima, saya akan mandikan dan akan mengebumikannya.

Tetapi saya hendak polis teruskan usaha mencari Nurin kerana saya tahu Nurin masih berada di luar sana dalam keadaan selamat.

Jazimin juga berkata beliau pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan keadaan gigi dan parut yang dipunyai oleh Nurin.

Nurin, katanya, mempunyai kedudukan gigi yang rapat dan mempunyai parut akibat luka di pangkal pehanya.

Norazian yang kelihatan sugul ketika ditemui pemberita berkata beliau rela menerima sebarang keputusan pihak berkuasa. Katanya dengan linangan air mata:

Apa lagi yang boleh saya kata. Keputusan DNA menunjukkan itu anak saya. Saya reda dengan kehendak Ilahi.

Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam.

Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami.

Norazian berkata sekiranya Nurin Jazlin selamat ditemui, perayaan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini adalah yang paling bermakna dalam hidupnya.

Malah pakaian raya untuk Nurin Jazlin sudahpun disiapkan dan saya tetap akan menunggu kepulangannya.

Nota: bersambung ke Bahagian 2amazingnara.com

Sumber: BERNAMA, The Star, Berita Harian, Utusan Malaysia, In Memory of Nurin Jazlin

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...