Kisah Pembunuhan Noritta Samsuddin Di Sri Hartamas Pada Tahun 2003 – Pt 1

Trending

Kisah Pembunuhan Noritta Samsuddin Di  Sri Hartamas Pada Tahun 2003 – Pt 1

Seorang peragawati fesyen sambilan, Noritta Samsudin, 22, ditemui mati dalam keadaan bogel dengan leher dijerut sarung bantal manakala tangan serta kaki diikat dengan wayar seterika di rumah sewanya di Kondominium Puncak Prima, Sri Hartamas.

Advertisement

Mayat eksekutif pengurusan projek di sebuah syarikat pembinaan di Petaling Jaya, Selangor itu ditemui terbaring di atas katil biliknya oleh dua rakan serumah kira-kira pukul 4 pagi.

Kedua-dua mereka yang baru pulang hairan melihat keadaan rumah yang gelap dan terkejut apabila mendapati Noritta berkeadaan bogel terlentang di atas katil dengan kepala ditutupi selimut manakala tangan dan kakinya diikat ke belakang sebaik sahaja membuka pintu biliknya.

Polis mengesyaki gadis itu dirogol sebelum dibunuh dan perbuatan kejam itu dipercayai dilakukan oleh individu yang dikenalinya kerana cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Kamaruddin Mat Desa mengatakan, polis bergegas ke kondominium berkenaan setelah dimaklumkan mengenai pembunuhan tersebut.

Siasatan awal mendapati Noritta mungkin mati disebabkan sesak nafas kerana selain dijerut mulut mangsa juga disumbat dengan sehelai kain.

Pihak polis yang memeriksa tempat kejadian mendapati tiada kesan rumah mangsa dipecah masuk kerana tidak ada barang-barang berharga di rumahnya dilaporkan hilang kecuali telefon bimbit miliknya.

Kes pembunuhan ini disiasat dari semua sudut sementara menunggu hasil laporan bedah siasat serta ujian DNA. Seorang lelaki dicari, mempunyai ketinggian kira-kira 171 sentimeter, berkulit gelap dan berambut panjang.

Suasana sedih menyelubungi bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila ramai sahabat handai dan rakan setugas Noritta menziarahi mayatnya selepas selesai dibedah siasat pada hari tersebut.

Beberapa orang rakan Noritta yang enggan dikenali ketika itu menyifatkan mangsa seorang yang periang dan sering mendapat perhatian kerana kecantikannya.

Noritta yang juga bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), sering dijemput untuk menjadi peragawati sambilan dalam beberapa pertunjukan fesyen di ibu negara.

Seorang pegawai dari Syarikat Transpro (M) Sdn. Bhd. iaitu majikan mangsa berkata, Noritta sebelum ini mengadu tidak beberapa sihat dan telah mengambil cuti sakit sejak beberapa hari sebelum kejadian.

Mayat Noritta kemudian dibawa ke kampung halamannya di Kampung Surau, Utan Aji, Perlis, untuk dikebumikan.

Hanif Basree Abdul Rahman

Seorang saksi menafikan di Mahkamah Tinggi bahawa dia sengaja mereka cerita melihat tertuduh, Hanif Basree Abdul Rahman bersama Noritta Samsudin setengah jam sebelum peragawati sambilan itu ditemui mati bagi mengelakkan dirinya daripada didakwa sebagai pembunuh.

Suzaki Supok, 24, pengawal keselamatan di Kondominium Puncak Prima Galleria berkata, dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam V. Sithambaram bahawa dia cuba `mencari jalan keluar’ dengan menimbulkan perkara itu.

Suzaki juga menafikan bahawa dia ditahan reman kerana merupakan salah seorang daripada suspek kes pembunuhan tersebut.

Saksi pendakwa ke-10 itu memberitahu bahawa apa yang dilihat pada pukul 1 pagi, 5 Disember adalah benar dan bukan dibantu oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Shahrul Lalli Masduki untuk menimbulkannya.

Kondominium Puncak Prima Galleria

Bagaimanapun, katanya, dia mengakui tidak memberitahu perkara itu kepada pihak polis sejurus selepas mayat Noritta ditemui kerana fikirannya bercelaru.

Menurutnya, dia hanya mengingati perkara itu sehari sebelum dia ditahan reman walaupun dia telah memberi keterangan kepada pihak polis pada hari kejadian.

Saksi itu menyatakan bahawa dia nampak Hanif Basree dan Noritta lalu di hadapan pondok pengawal untuk bertemu dengan rakan mereka di hadapan kondominium itu pada pukul 1 pagi, 5 Disember iaitu kira-kira setengah jam sebelum Allahyarham dipercayai mati.

Hanif Basree, 36, didakwa membunuh Noritta, 22, di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini.

Jurutera itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Selain Sithambaram, dia diwakili oleh barisan peguam Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah.

Menjelaskan lebih lanjut, Suzaki berkata, selepas teringat apa yang dilihatnya pada pukul 1 pagi, 5 Disember dia terus memberitahu ketuanya, A. Sivasanggaran yang kemudian menelefon Inspektor V. Vijayan.

Dalam keterangannya, Suzaki berkata, pihak polis tidak ada mendesaknya untuk mengingatkan kembali apa yang berlaku pada 5 Disember apabila dia cuma mengingati perkara-perkara yang berlaku pada 4 Disember.

Saksi tersebut bagaimanapun menyatakan `tidak nampak’ apabila peguam itu menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak melihat tertuduh pada pagi hari kejadian itu tetapi berubah fikiran selepas didesak berulang kali oleh pihak polis.

Selain itu, pengawal keselamatan itu menafikan bahawa semasa ditahan, Shahrul Lalli atau lain-lain anggota polis telah memberitahunya yang pihak polis ada menjumpai kesan air mani Hanif Basree di kemaluan Noritta.

Menjawab satu soalan peguam itu, Suzaki berkata, memang benar dia ada melihat Noritta dan tertuduh sampai di kondominium itu kira-kira pukul 2 pagi pada 4 Disember sebelum keluar kira-kira pukul 3.30 pagi dengan menaiki keretanya sendiri.

Namun, dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam itu bahawa dia terkeliru atau hanya melihat tertuduh pada pukul 3.30 pagi, 4 Disember dan bukannya sehari selepas itu.

Semasa pemeriksaan semula oleh Augustin, Suzaki menyatakan bahawa tiada apa-apa yang hendak dirahsiakan olehnya kepada mahkamah.

Selain itu, menurutnya, tiada sesiapa pun memaksanya memberi keterangan bahawa dia melihat tertuduh dan Noritta pada 5 Disember.

Bersambung..

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

1 Comment

  1. kencanaputih

    April 27, 2019 at 6:32 am

    Menunggu bahagian 2.

Loading...