Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6
Jon Venables
Jon berada dalam keadaan gelisah pada hari sebelum James diculik. Dia nampak tidak tenteram dan sukar dikawal. Para guru perasan dengan sikap Jon yang seolah-olah dambakan perhatian sejak tahun 1991. Dia melakukan perkara-perkara pelik, seperti mengoncangkan badan ke depan dan belakang berulang kali di kerusinya, serta mengerang dan mengeluarkan bunyi-bunyi pelik.
Gurunya memindahkan dia ke tempat duduk hadapan kelas supaya senang untuk memerhatikannya, tetapi selepas itu Jon akan menjatuhkan barang-barang guru itu dari meja.
Pada mulanya juga, Jon hanya berkelakuan ganas kepada dirinya sendiri, misalnya menghempuk kepala sendiri ke perabot, dinding atau dia akan menghempaskan diri ke lantai.
Jon menggunting kulitnya hingga luka dan mengoyakkan pakaiannya sendiri. Tetapi ada kalanya sifat merosakkan diri itu dilepaskan juga ke persekitarannya.
Jon didapati berjalan mengelilingi kelas dan akan mengoyakkan hasil seni rakan sekelasnya yang ditampal di dinding. Jon berdiri di atas meja dan membaling barang-barang kepada rakan sekelasnya.
Para guru mendokumentasikan gangguan-gangguan yang dibuat oleh Jon kerana dia tidak bersikap begitu sebelum ini.
Kelakuan pelik Jon menjadi semakin ganas. Dalam satu insiden, dia mendekati seorang rakan sekelas dari belakang kemudian mencekik budak lelaki itu dengan pembaris kayu (dua orang dewasa terpaksa meleraikan Jon). Dia tidak lama selepas itu dipindahkan ke sekolah lain.
Dia sangat hiper dan mudah terganggu. Seorang gurunya berpendapat dia seorang pemalas. Dia tidak menyiapkan kerja sekolah dan ia mungkin lagi satu cara bagi Jon untuk meminta perhatian.
Namun begitu, tiada siapa menganggap Jon seorang budak jahat. Malah, beberapa orang guru berpendapat dia budak yang comel dan bersimpati dengannya. Mereka menganggap dia sebenarnya cuba meminta pertolongan.
Apa yang berlaku dengan Jon di rumah? Adakah kehidupannya di rumah mempunyai kaitan dengan kelakuannya yang semakin pelik?
Jon dilahirkan pada 13 Ogos 1982, hasil perkahwinan Susan dan Neil Venables. Neil bekerja sebagai seorang pemandu forklift tetapi selalunya dia menganggur. Jon anak kedua: abang dan adik perempuannya mengalami masalah perkembangan mental dan fizikal.
Abangnya dilahirkan sumbing yang menyebabkan sukar berkomunikasi. Semakin membesar, abang Jon menjadi semakin pendiam dan kuat mengamuk.
Abang Jon bersekolah di sebuah sekolah khas dan ibu bapa Jon meluangkan kebanyakan masa mereka mengawal abangnya itu. Kadangkala, abang Jon dihantar ke rumah keluarga angkat.
Adik perempuan Jon juga bersekolah khas kerana masalah perkembangan fizikal.
Jon yang berada di tengah-tengah normal sahaja, tetapi merasa dirinya diabaikan dan mungkin juga dia marah kerana adik beradik lain mendapat perhatian dari ibu bapanya. Kadangkala, Jon akan meniru gaya abangnya mengamuk.
Perhubungan Susan dan Neil Venables seperti angin ribut, kadangkala mereka berpisah dan kemudian bersatu semula. Isi rumah mereka sebenarnya sentiasa berada dalam keadaan huru-hara. Jika Neil meninggalkannya,
Susan dan anak-anak akan tinggal dengan ibunya (nenek Jon), kemudian pindah semula ke perumahan awam lain dengan Neil.
Keadaan keluarga yang tidak stabil ini memberi kesan negatif kepada tiga anak mereka. Kedua-dua Susan dan Neil direkodkan pernah mempunyai masalah kemurungan klinikal dan Susan gemar menjerit-jerit.
Susan berasal dari keluarga yang tegas dan berdisiplin. Dia dilihat pernah memukul dan memaki hamun Jon. Bila Jon buat perangai, ada kalanya dia akan menghalau Jon ke rumah Neil kerana tidak tahan.
Pada usia tujuh tahun, Jon menunjukkan perangai anti-sosial. Dia bencikan anak-anak jiran yang mempersendakan dia dan adik-beradiknya.
Mata Jon sepet sebelah dan kerana ini, dia sering diajuk dan diejek oleh kanak-kanak lain. Jon ialah sasaran untuk dibuli oleh kanak-kanak lain.
Mereka mempersendakan Jon tanpa belas kasihan kerana dia mudah naik angin bila diprovokasi oleh mereka.
Kerana dia sukar dikawal, Jon dipindahkan ke sekolah lain tetapi ketinggalan setahun dalam darjahnya.
Di sini dia bertemu dengan Robert Thompson, seorang lagi pelajar yang ketinggalan setahun dalam kelas. Susan berkata dia dipindahkan kerana sering dibuli pelajar lain, tetapi di sekolah baru bersama Robert, dia pula yang membuli orang lain.
Mereka berdua mengenal pasti pelajar-pelajar yang lemah atau sasaran yang mudah, kemudian membuli pelajar-pelajar itu. Bersama Robert sebagai sahabatnya, Jon merasa kuat dan berani. Mereka berdua juga sering ponteng sekolah.
Guru-guru perasan bahawa sejak rapat, Jon dan Robert sukar dipisahkan dan kelakuan mereka menjadi semakin buruk. Jadi guru cuba memisahkan mereka berdua. Jon dan Robert kemudiannya diletakkan di kelas berasingan.
Namun begitu, walaupun dipisahkan di sekolah, guru-guru tidak dapat berbuat apa-apa untuk memisahkan mereka bila mereka berdua ponteng.
Jon tidak bekerjasama dan mengganggu kanak-kanak lain dalam kelas. Robert seorang pendiam, tetapi gemar menipu dengan selamba dan mempunyai kebolehan memanipulasi pelajar lain. Robert juga dilihat bersikap lebih matang dari Jon.
Di rumah, Susan mengubah corak pemakanan Jon dengan harapan anaknya itu akan bertenang, tetapi tidak berjaya. Jon asyik cari gaduh dengan abangnya.
Bila Jon tinggal dengan bapanya Neil, Robert akan datang melawat tetapi dihalau oleh Neil. Robert memiliki ‘reputasi buruk Thompson’ dan Neil pernah memberi amaran agar Robert menjauhkan diri dari Jon.
Tetapi ada orang berhujah yang pengaruh yang lebih buruk sebenarnya datang kepada Jon di rumah Neil. Bukan melalui penderaan tetapi melalui pita video yang disewa.
Neil Venables menyewa banyak pita video filem-filem, kebanyakannya filem seram kerana Neil ialah peminat genre filem tersebut.
Pada 18 Januari 1993, Neil telah menyewa pita video filem Child’s Play 3. Dalam filem itu roh seorang pembunuh bersiri telah masuk ke dalam patung bernama Chucky.
Patung itu, yang saiznya lebih kurang sama dengan saiz badan James telah membunuh ramai mangsa-mangsa yang tidak bernasib baik. Di penghujung jalan cerita, Chucky dibunuh semasa menaiki roller coaster/tren.
Satu pertarungan kemudiannya berlaku di landasan tren dan badan Chucky pada masa itu terpalit dengan cat biru.
Walaupun tiada bukti Jon telah menonton keseluruhan filem itu, terdapat sedikit kebetulan dalam pengakhiran filem itu yang menyamai keadaan pembunuhan James.
Jon mempunyai imaginasi yang aktif tetapi dia dilihat cuba menyembunyikan keadaan sebenar keluarganya. Dia menafikan ada masalah di rumahnya walaupun dia sering menjerit-jerit dalam kelas.
Jon mendakwa keluarganya penyayang dan banyak memberi sokongan kepadanya, namun kelakuan Jon pula menunjukkan sebaliknya.
Pada hari pertama perbicaraan, dia menjerit marah kepada bapanya yang ketika itu tidak hadir di mahkamah.
Terdapat sedikit sahaja maklumat tentang keluarga Venables. Neil tidak kelihatan seperti seorang bapa yang gemar mendera.
Susan, bagaimanapun, dilihat sangat mengawal Jon dan Jon paling takut jika ibunya mengutuknya atau membencinya.
Saya, bukan ‘kami’
Bukti menunjukkan bahawa Jon yang telah mencuba membawa lari kanak-kanak dari ibu mereka di Bootle Strand.
Jon yang mengetuk cermin sebuah gedung, cuba menarik perhatian kanak-kanak di situ. Jon yang mengambil tangan James. Semasa dia, Robert dan James merayau-rayau di sepanjang jalan Liverpool, Jon yang bersikap dominan.
Bukti yang paling sukar dicabar ialah pengakuan Jon sendiri. Memang saya bunuh dia. Bukan ‘kami’, bukan Robert.
Dia mengakui terlibat dalam serangan terhadap James, tetapi mendakwa dia sengaja baling tanpa mengena sasaran atau ‘hanya baling batu ringan’.
Jon memiliki sikap baran yang mungkin telah menyebabkan satu perbuatan nakal bertukar kepada satu serangan yang membawa maut.
Kepada mereka yang tahu tentang kes ini, banyak teori menyatakan yang mungkin idea menculik James dan membawanya ke terowong sebenarnya datang dari Robert.
Tetapi siapakah yang membuat serangan pertama? Adakah Robert, yang berasal dari latar belakang ganas yang telah menyebabkan kecederaan di kepala James?
Atau adakah Jon yang ingin membuat Robert kagum dengannya, dengan itu mencederakan bayi itu?
Di Unit Tahanan
Pada usia belasan tahun, Jon dan Robert masih menjalani hukuman mereka, ditahan di unit-unit tahanan yang telah ditetapkan secara berasingan.
Ketua Hakim Negara telah memanjangkan tempoh tahanan mereka dari lapan kepada 10 tahun.
Namun begitu Setiausaha Kerajaan, Michael Howard, telah memberi reaksi kepada kebimbangan orang awam dengan memanjangkan lagi tempoh tahanan sehingga 15 tahun.
Bagaimanapun, para pengamal undang-undang terutamanya peguambela, berhujah yang ahli politik tidak patut masuk campur dalam urusan hukuman penjenayah. Mereka telah mencabar keputusan Howard di mahkamah.
Kes ini kemudiannya telah dibawa ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Eropah. Mahkamah Eropah kemudiannya memutuskan bahawa Robert Thompson dan Jon Venables dibicarakan secara tidak adil pada tahun 1993 dan tidak sepatutnya dibicarakan seperti orang dewasa.
Platform tempat duduk mereka yang ditinggikan semasa perbicaraan itu didapati tidak sesuai dan menakutkan mereka. Paling penting, peraturan sistem perundangan British masih tidak tercapai pada akal mereka ketika itu.
Hasilnya, Jon dan Robert diberi pampasan kos perbicaraan mereka pada 1993 yang kemudiannya digunakan sebagai kos pembelaan.
Namun keputusan yang menimbulkan reaksi orang ramai ialah: hukuman yang dilanjutkan oleh Howard kepada 15 tahun dikira tidak sah di sisi undang-undang.
Ketua Hakim Negara yang baru, Lord Woolf, berkata akan mengkaji semula tarikh pembebasan mereka berdua. Katanya:
Saya merasakan mereka yang terlibat secara langsung dengan kes ini yang patut membuat keputusan bila Jon dan Robert patut dibebaskan.
Ini bermakna, ibu bapa James, Denise Fergus (sudah bercerai dengan bapa James, Ralph Bulger, pada tahun 1998) dan juga Ralph sendiri diberi peluang untuk memberi pendapat mengenai perkara itu.
Tiada keraguan lagi, Denise menentang keputusan membebaskan Jon dan Robert, yakin bahawa mereka masih berkemungkinan melakukan jenayah.
Kedua-dua ibu dan bapa kandung James masih aktif melobi petisyen menentang pembebasan Jon dan Robert. Detektif (Bersara) Albert Kirby yang mengetuai penyiasatan kes pembunuhan James Bulger juga merasa jelik dengan keputusan Mahkamah Eropah bahawa Jon dan Robert tidak dilayan dengan baik dan diberi perbicaraan yang adil.
Pejabat Kerajaan Negeri juga pada masa itu berusaha untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Jon dan Robert menjual cerita mereka kepada pihak media. Ini ialah kerana, terdapat penerbit-penerbit buku dan dokumentari yang telah mendekati Jon dan Robert dengan tawaran sejumlah wang yang besar bagi mendapatkan cerita mereka.
Pada waktu ini, semua penjenayah tertakluk kepada Akta Keuntungan Perlakuan Jenayah 1995 yang digubal untuk menghalang penjenayah dari membuat keuntungan dari cerita jenayah mereka.
Apabila Jon dan Robert dibebaskan, mereka berdua akan diberikan identiti yang baru, lengkap dengan sijil kelahiran yang baru, paspot dan dokumentasi lain.
Mereka juga boleh memohon untuk mendapatkan perlindungan polis sekiranya diancam orang ramai.
Adakah mereka telah dipulihkan?
Tidak banyak maklumat yang ada mengenai kehidupan Jon dan Robert dalam unit tahanan mereka.
Menurut pemberita David James Smith yang mendapat sedikit maklumat mengenai mereka berdua, Robert pada mulanya mengalami simptom kecelaruan stres pasca-trauma: antaranya ruam, demam, mimpi ngeri dan insomnia.
Dia merasa takut dengan reputasi jahatnya sendiri, bimbang gambarnya diambil oleh jurufoto dan disebarkan. Dia juga takut kaunselor akan mendedahkan identitinya kepada orang ramai.
Dia dikatakan pernah merasa takut untuk meninggalkan sel tahanannya dan banyak kali terlibat dengan pergaduhan dengan tahanan juvana lain yang tahu dia telah membunuh James Bulger.
Dia juga mengakui yang dia sama-sama saja terlibat dalam pembunuhan James bersama Jon.
Bagaimanapun, Robert telah berlatih angkat berat dan membina kekuatan di unit tahanannya. Fizikal yang kuat dan sifatnya yang berhati batu itu menyebabkan dia menang dalam pergaduhan tetapi dia kemudiannya dihukum kerana bergaduh.
Robert juga pernah mempunyai seorang teman wanita semasa dalam tahanan. Teman wanita Robert ialah seorang gadis comel 16 tahun yang juga bermasalah dan ditahan. Hubungan mereka berlangsung selama setahun sehingga gadis itu dibebaskan.
Robert sangat rapat dengan ibunya Ann, yang datang melawat Robert dua kali seminggu.
Robert belajar dengan gigih dan telah mendapat ijazah universiti terbuka. Dia menunjukkan minat mendalam terhadap seni reka dan tekstil.
Robert pernah menghasilkan satu gaun perkahwinan yang sangat cantik semasa ditahan. Dia juga berbakat dalam bidang memasak, katering dan komputer.
Jon Venables mempunyai masalah untuk menghapuskan memorinya tentang pembunuhan James, dan sering mengalami mimpi mayat James dalam keadaan ngeri.
Dua tahun pertama dalam tahanan adalah tempoh sukar untuk Jon. Dia berulangkali berfantasi yang dia telah menyelamatkan James dan turut berharap dia sendiri dapat mengandungkan bayi James yang baru dari kelahiran semula.
Jon memberi respon terhadap terapi dengan lebih baik berbanding Robert. Dia akan terus merasa kesal dan bersalah sepanjang hayatnya, akui Jon. Ini kerana dia menerima hakikat yang dia bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.
Dia banyak menghabiskan masa bermain permainan video dan merupakan peminat sukan . Pakar psikiatri melaporkan bahawa Jon bukan lagi satu ancaman kepada orang ramai.
Jon dan Robert perlu berada di unit tahanan mereka sehingga berusia 19 tahun pada 2001. Kemudiannya mereka perlu berada di Institut Penjenayah Muda selama dua tahun sebelum berpindah ke penjara biasa. Detektif Albert Kirby berharap mereka dipenjarakan untuk jenayah yang telah mereka lakukan.
Sejak pembunuhan James Bulger semasa usia mereka 10 tahun, Jon dan Robert tidak pernah bercakap lagi kepada satu sama lain sehingga ke hari ini.
Dengan pensabitan mereka berdua pada tahun 1993 untuk pembunuhan bayi 2 tahun 11 bulan James Patrick Bulger, Jon Venables dan Robert Thompson ialah pembunuh paling muda di Britain dalam masa 250 tahun.
Mereka asalnya ditahan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Ratu England dan sepatutnya tidak dibebaskan sekurang-kurangnya 20 tahun.
Setelah dijatuhkan hukuman, mereka berdua ditempatkan secara berasingan di lokasi rahsia utara di utara England. Mereka sepatutnya ditahan sehingga berusia 19 tahun sebelum dipindahkan ke penjara dewasa untuk menjalani hukuman.
Bagaimanapun, pada tahun 1999, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah mendapai Jon dan Robert tidak dibicarakan secara adil. Robert telah diberi pampasan berjumlah £ 15,000 (RM 83,037.97) manakala Jon menerima sejumlah £ 29,000 (RM 160,540.08) dan ia juga mengubah pelan keseluruhan hukuman terhadap mereka.
Pada Mac 2000, akhbar British The Observer melaporkan pengumuman oleh Setiausaha Kerajaan baru, Jack Straw, bahawa Thompson dan Venables akan dibebaskan pada 2003.
Keputusan Straw adalah berdasarkan penetapan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah bahawa keputusan untuk memanjangkan tempoh tahanan mereka berdua sehingga 15 tahun, yang dibuat oleh Setiausaha Kerajaan terdahulu, Michael Howard, adalah tidak sah.
Pada November 2000, akhbar Guardian membuat laporan susulan yang Jon Venables dan Robert Thompson berisiko dalam bahaya yang boleh mengancam nyawa mereka sekiranya lokasi dan identiti baru mereka didedahkan.
Jon dan Robert dikatakan telah memohon perintah injunksi seumur hidup untuk melarang pihak media mendedahkan maklumat yang membolehkan identiti mereka dikenal pasti.
Permohonan mereka ialah berdasarkan komen oleh bapa James iaitu Ralph Bulger yang bersumpah akan memburu mereka berdua.
Penasihat Jon, Edward Fiztgerald QC mengatakan:
Tak sukar untuk menyimpulkan apa yang akan dilakukan oleh bapa James kepada Jon dan Robert sekiranya dia berjaya memburu mereka, jika kita perhalusi konteks ayatnya.
Fitzgerald turut merujuk satu laporan bahawa pihak media telah memutuskan untuk mendedahkan identiti dan lokasi mereka berdua kepada orang ramai setelah dibebaskan.
Sebagai reaksi, Ralph Bulger memberi respon melalui pihak media:
James juga ada hak untuk hidup, untuk membesar, untuk menyayangi dan disayangi serta memiliki anak sendiri.
Tetapi mereka merampas hak James, jadi mereka tidak berhak untuk mempunyai apa-apa hak, apatah lagi hak memiliki privasi dan hak untuk menyembunyikan diri.
Perintah injunksi itu dipohon di bawah Akta Hak Asasi Manusia yang berkuatkuasa mulai Oktober 2000 dan menurut Fitzgerald, ianya satu justifikasi untuk melindungi hak Jon dan Robert untuk hidup bebas dari layanan tidak berperikemanusiaan individu yang mungkin berniat membalas dendam bagi pihak James.
Fitzgerald juga memohon agar injunksi tersebut menghalang sesiapa saja menerbitkan maklumat identiti dan lokasi baru mereka bila dibebaskan. Penerbitan maklumat itu akan mendedahkan Jon dan Robert kepada risiko fizikal dan ketakutan psikologi yang serius serta meningkatkan kemungkinan gangguan.
Setiausaha Kerajaan dan Peguam Cara Negara turut menyokong larangan terhadap media itu, yang dibantah oleh tiga kumpulan akhbar.
Dalam laporan itu, dinyatakan bahawa Presiden Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi, Dame Elizabeth Butler-Sloss, berkata yang dia berharap untuk membuat keputusan sebelum Krismas (2000) sama ada meluluskan atau tidak larangan penerbitan tersebut.
Empat hari kemudian, ibu James, Denise Fergus telah mengadakan sidang media untuk memberitahu pemberita:
Saya rasa hampa dan dikhianati oleh sistem (perundangan). Hanya secebis harapan yang tinggal buat saya, iaitu Dame Elizabeth menolak permohonan untuk Robert Thompson dan Jon Venables diberi hak menyamar untuk sepanjang hidup mereka.
Ia boleh difahami jika mereka masih kanak-kanak tetapi apa hak mereka diberi layanan istimewa setelah mereka dewasa?
Selama tujuh tahun sistem ini memujuk saya menerima prosedur keadilan penjenayah dan untuk mendiamkan diri walaupun selama ini saya tidak pernah berharap terlalu tinggi.
Venables dan Thompson telah menyeret saya, keluarga saya dan nama James melalui setiap mahkamah yang berkemungkinan di negara ini dan Eropah, hasilnya sejumlah wang telah diberikan kepada mereka.
Ini berlawanan dengan apa yang sepatutnya, iaitu membantu mangsa jenayah.
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah sebaliknya telah menjadi sahabat penjenayah dan menjadi musuh kepada mangsa penjenayah.
Pada Januari 2001, perintah injunksi itu telah diluluskan: Venables dan Thompson diberi hak imuniti yang menghalang identiti mereka dari didedahkan untuk seumur hidup, bagi melindungi mereka supaya boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.
Pada 22 Jun 2001, Setiausaha Kerajaan British, David Blunkett meluluskan untuk Jon dan Robert dibebaskan. Dalam satu kenyataan akhbar, Norman Brennan, jurucakap Dennis Fergus memberitahu:
Hati Denise hancur dan dia terkejut. Sepatutnya ada elemen hukuman bagi jenayah yang telah mereka lakukan tetapi Denise merasakan Venables dan Thompson seolah-olah diberi ganjaran, bukan hukuman.
Ini bukan tentang balas dendam, tetapi keadilan yang gagal ditegakkan.
Denise menuding jari kepada Ketua Hakim Negara, Lord Woolf, sebagai ketua elit liberal yang telah memberi mesej secara tidak langsung bahawa jenayah akan memberi kamu wang.
Venables dan Thompson akan kembali kepada keluarga mereka sedangkan Denise hanya boleh bermimpi untuk James kembali ke pangkuannya.
Sekiranya ahli keluarga Jon dan Robert memberi kasih sayang dan sokongan kepada mereka sembilan tahun lepas, pastinya James tidak akan dibunuh.
Jon dan Robert kemudiannya dibebaskan, tetapi dengan syarat mereka tidak bertemu atau bercakap sesama sendiri lagi.
Pada tahun 2008, Jon Venables yang menggunakan identiti baru, kini berusia 27 tahun ditahan kerana memiliki kokain dan bergaduh di sebuah pub. Namun begitu dia hanya diberi amaran dan tidak dihukum.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2010, Jon didapati telah memuat turun gambar dan video pornografi kanak-kanak yang menunjukkan kanak-kanak itu dirogol oleh orang dewasa.
99 keping gambar lucah ditemui dalam komputernya dan terdapat bukti yang dia telah memadam sekurang-kurangnya 1,200 gambar lain.
Dia juga didapati menyamar sebagai seorang wanita berusia 35 tahun bernama Dawn Smith, yang berpura-pura mempunyai anak perempuan berusia lapan tahun yang ingin dilacurkannya pada pedofil dengan sejumlah bayaran.
Untuk itu, Jon telah dipenjarakan selama dua tahun. Dia telah dibebaskan pada tahun 2013. Jon juga telah diberi identiti baru sebanyak empat kali kerana dia sendiri mendedahkan identitinya kepada orang ramai akibat tekanan yang dirasakannya.
Ibu bapa James, Ralph dan Denise telah berkahwin lain. Masing-masing kini mempunyai anak dengan pasangan baru mereka.
Adik James, Michael, tinggal bersama Denise dan Stuart, suami barunya sejak kecil. Dia tidak pernah bercakap dengan Ralph sejak mereka berpisah dan Michael lebih menganggap Stuart sebagai bapanya.
Menurut Ralph (bapa James), dia pernah menyalahkan Denise kerana meninggalkan James di tepi pintu kedai daging dan ini menyebabkan rumahtangga mereka mula retak.
Saya pernah salahkan Denise, mengapa lepaskan tangan James? Kenapa tidak dukung dia?
Menyalahkan Denise ialah sesuatu yang tidak adil. Kini saya faham yang Denise tidak bersalah dan saya menyesal melayannya sebegitu. Kematian James paling menghancurkan hatinya.
Robert Thompson, setakat ini tidak lagi terlibat dalam mana-mana kejadian jenayah. Dengan identiti barunya, Robert dikatakan sudah mempunyai anak sendiri.
Buat masa ini, identiti dan lokasi Jon dan Robert masih dirahsiakan. Kita hanya mampu berharap mereka berdua telah insaf dan pulih sepenuhnya.-amazingnara.com
Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6