Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 5

Trending

Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 5

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Profil Psikologi Jon Venables

Polis menemubual ibu bapa Jon dan Robert. Ibu bapa Jon percaya dia budak yang baik, berkelakuan menyenangkan, cuma kadang kala dia hiperaktif. Susan bimbang yang Jon ialah mangsa buli di sekolah dan memberitahu atas sebab ini, Jon dipindahkan dari satu sekolah ke sekolah yang lain.

Advertisement

Di sekolahnya yang terbaru, Susan percaya dia berkawan dengan Robert Thompson kerana Jon kasihankan Robert. Tetapi Susan bimbang yang Jon sebenarnya dibuli oleh Robert.

Abang Jon mempunyai masalah percakapan dan pembelajaran, serta dihantar ke sekolah khas. Adik perempuan Jon, Michele, juga ialah seorang pelajar keperluan khas. Jon ialah anak kedua dan mungkin merasa cemburu dengan perhatian ekstra yang diterima abang dan adiknya.

Ibu bapa Jon sering berpisah tetapi rujuk semula menyebabkan Jon merasakan kedudukannya dalam keluarga tidak stabil. Jon mempunyai keyakinan diri yang rendah dan bersikap defensif apabila keluarganya dikritik. Seolah-olah dia sedang menyembunyikan sesuatu.
1

Dr Susan Bailey yang membuat pemeriksaan ke atas Jon untuk perbicaraannya mendapati tiada ketidakupayaaan yang organik mahupun kerosakan otak pada diri Jon yang menyebabkan masalah pada kelakuannya. Bailey memutuskan yang Jon cukup sihat untuk menghadiri perbicaraan.

Laporan psikologi menekankan yang Jon tidak mempunyai penyakit mental termasuk kemurungan dan halusinasi. Dia hanya cemas, resah dan mudah marah. Jon mudah menjadi murung dan kemudiannya tidak mampu bercakap mengenai pembunuhan itu.

Namun begitu, Jon ada memberitahu pada ibunya yang dia dihantui imej-imej dari pembunuhan tersebut, terutamanya imej darah bersembur keluar dari mulut James. Jon juga berfantasi menyelamatkan James dari bahaya dan memulangkan James kembali pada ibunya.

Adalah penting untuk memastikan yang Jon faham kematian ialah sesuatu yang bersifat kekal, supaya Jon faham keseriusan jenayah yang telah dilakukannya. Jon berkata, kematian bermakna seseorang tidak akan kembali lagi, malah Jon ada idea mengenai syurga dan neraka.

Jon juga mendakwa takut melihat keganasan dalam rancangan televisyen. Sekiranya terlihat adegan ganas menunjukkan darah tumpah di televisyen, Jon tidak akan melihat skrin televisyen dan akan menutup telinganya.

Pakar psikiatri ingin tahu tentang hubungan rapat Jon dengan ibunya. Jika diberi tiga permintaan magik, Jon ingin 1) bebas dari unit tahanannya 2) menjadikan dunia satu kilang coklat dan 3) hidup selamanya, mempunyai wang, tanpa kemalangan dan penyakit.

Sekiranya diberi peluang menjadi sesiapa saja, Jon ingin menjadi seperti Rocky, satu karakter yang dilakonkan oleh Sylvester Stallone, atau Sonic the Hedgehog, kerana ia ‘berlari laju dan selalu menyelamatkan kawan-kawannya.’

Profil Psikologi Robert

Jon tidak mahu bercakap tentang pembunuhan itu, tetapi Robert sekurang-kurangnya mahu melakonkan semula pembunuhan itu dari versinya. Pakar psikiatri Eileen Vizard bertemu dengan Robert dan membawa bersama beberapa patung yang mewakili watak-watak utama dalam pembunuhan James.

Vizard turut menyediakan replika landasan keretapi mainan dan model senjata-senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu dalam saiz mini. Robert mengambil patung-patung tersebut dan menggerakkannya seperti mana pembunuhan itu dilakukan, dia mendemonstrasikan bagaimana ‘patung Jon’ memukul ‘patung James’ tanpa belas kasihan, manakala ‘patung Robert’ cuba menghentikan serangan tersebut. Robert menunjukkan bagaimana dia cuba menarik Jon ke belakang dan mereka berdua kemudiannya jatuh semasa bergelut.

Tetapi dia tidak dapat menerangkan bagaimana ‘patung James’ mendapat kecederaan seksual. Apabila pakar psikiatri bertanya tentang penderaan seksual, Robert berubah sikap menjadi defensif dan terganggu. Dia sanggup mendemonstrasikan semua perkara lain, mengapa tidak tentang ini?

Apabila pakar psikiatri membangkitkan kemungkinan bahawa kesemua serangan terhadap James ialah bermotifkan seksual, Robert tidak memberi respon, seolah-olah dia tidak hairan. Tetapi dia tidak menafikan mahupun mengesahkan kemungkinan tersebut.
2

Apakah perasaan Robert tentang James? Robert tidak mempunyai banyak pendapat, cuma baginya James lebih senyap berbanding adiknya Ben, dan James asyik meminta ibunya.

Robert menerangkan yang Jon tidak sukakan bayi, tetapi Robert suka. Dia berharap dapat menendang wajah Jon. Buatlah, kata pakar psikiatri, merujuk kepada patung-patung di hadapan mereka. Robert lantas mendemonstrasikan satu patung memukul patung yang lain.

Apabila Robert menceritakan tentang keluarganya kepada pakar psikiatri, Robert bersikap defensif terhadap tabiat minum arak ibunya. Dia bermimpi ngeri secara berulang tentang mengejar seseorang sehingga ke jalan raya, kemudiannya dilanggar kereta.

Pakar psikiatri kemudian menyimpulkan yang Robert mempunyai kecerdikan lebih dari biasa, tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami penyakit mental atau kemurungan, tetapi mempamerkan simptom kecelaruan stres pasca-trauma (post-traumatic stress disorder).

1 November 1993: Perbicaraan bermula

Untuk membolehkan kedua-dua defendan kecil  itu melihat di atas selusur (railings) Mahkamah Mahkota Preston telah membina platform khas yang telah ditinggikan untuk mereka berdua duduk. Tukang kayu telah membolt kerusi itu ke lantai galeri awam supaya ia tidak dialihkan.

Masa perbicaraan dianggarkan sama dengan waktu persekolahan, iaitu dari 10.30 AM hingga 3.30 PM. Defendan dibicarakan bersama. Ketua hakim Sir Michael Morland memutuskan yang defendan digelar ‘Kanak-kanak A’  dan ‘Kanak-kanak B’ (masing-masing Robert Thompson dan Jon Venables).

Walaupun tertuduh tidak dinamakan, semua orang dapat melihat wajah dan memerhatikan kelakuan mereka.

Di platform yang telah ditinggikan, Robert yang kini berusia 11 tahun dan badannya lebih besar dari sebelum ini dilihat duduk. Dia dilihat memandang ke hadapan, ke atas siling, menendang kasutnya dan menguap. Dia hanya menunjukkan sedikit emosi.

Orang yang memerhati menganggap Robert ialah pesalah sebenar. Ahli keluarganya tidak hadir dan  Robert hanya duduk dengan wajah suram di sebelah seorang pekerja sosial, yang tidak menunjukkan kemesraan terhadap Robert.

Seperti yang dikatakan oleh penulis Frank Jones, ramai percaya dalam kes jenayah membabitkan dua orang kanak-kanak, salah seorang biasanya bertindak sebagai ketua manakala seorang lagi hanyalah pengikut yang pasif. Orang awam yang hadir ke mahkamah menganggap Robert ialah ketua dalam pembunuhan James Bulger.

Jon, sebaliknya, memenangi simpati pemerhati di mahkamah. Dia tampak lebih menyesal, resah dan sering menoleh ke belakang untuk melihat dan mendapatkan sokongan ibunya.

Ahli keluarga Bulger hadir ke mahkamah setiap hari, kecuali Denise (ibu mendiang James) yang kini hamil tujuh bulan. Dia sebenarnya berada dalam keadaan sedih dan terganggu dengan perhatian pihak media, jadi ketidakhadirannya itu difahami orang ramai.
3

Peguambela Robert, David Turner, kemudian berhujah bahawa perbicaraan yang adil tidak mungkin berlaku. Ini kerana akhbar yang memainkan emosi orang ramai dengan memanggil mereka jahat, dirasuk syaitan, raksasa dan iblis.

Dia juga meminta dua gambar bukti kecederaan kepala James diketepikan kerana ia berpotensi memberi kesan kepada emosi juri. Tetapi hakim menolak permintaan Turner. Peguambela Jon, Brian Walsh pula tidak membuat apa-apa permintaan.

Pihak pendakwaan, diketuai oleh Richard Henriques, membentangkan kes mereka bahawa kedua-dua tertuduh terlibat dalam pembunuhan James Bulger.

Disebabkan kedua-dua tertuduh berusia di bawah 14 tahun, pihak pendakwaan perlu membuktikan yang kedua-duanya tahu apa yang mereka lakukan itu salah sewaktu mereka melakukannya:

Kita semua tahu bahawa mereka tahu yang menculik seorang bayi dari ibunya ialah satu kesalahan yang serius.  Begitu juga dengan percubaan menculik dan penggunaan kekerasan melampau terhadap seorang kanak-kanak yang berada di awal usia.

Juri telah menerima gambar mayat James, dan mereka kelihatan terkesan. Ibu Jon kini mula menangis, dan Jon telah memanjangkan leher untuk menjenguk sama ada ibunya tidak apa-apa.

Para saksi kemudian memberi keterangan untuk mengesahkan laluan tertuduh pada hari kejadian. Ramai yang mengubah kenyataan mereka dari kenyataan asal yang diberi kepada polis hasil rasa bersalah kerana tidak melakukan sesuatu untuk membantu James.

Seorang pemandu teksi mendakwa dia melihat Jon menarik James dengan ganas. Dalam kenyataan kepada polis, seorang wanita yang sedang menaiki bas mendakwa nampak Jon dan Robert menghayun badan James dan memberitahu tentang perkara tersebut kepada anak perempuannya, tetapi di mahkamah dia mendakwa dia menjerit apabila melihat perlakuan mereka berdua menyebabkan semua penumpang bas memandang Jon dan Robert.

Seorang wanita tua yang membawa anjingnya berjalan dan terserempak mereka bertiga berdekatan sebuah tasik buatan juga menukar kenyataannya.

Walaupun saksi-saksi pasif ini patut dikritik kerana tidak masuk campur, siapa dapat menyangka yang bayi itu bakal dibunuh kejam oleh dua kanak-kanak lebih tua yang memegang tangannya semasa mereka berjalan? Seperti yang dikatakan oleh Hakim Morland kemudiannya:

Ramai saksi sedang melakukan aktiviti harian yang sangat rutin, mereka tidak sedar mereka terbabit dalam beberapa jam terakhir kehidupan James Bulger yang tragik.

Jon dan Robert tidak terlibat dalam perbicaraan, mereka tidak mempertahankan diri dan mahkamah juga tidak begitu merujuk kepada mereka. Mereka juga gagal untuk memahami prosedur penghakiman.

Kenyataan dari Denise Bulger yang tidak hadir ke mahkamah telah dibacakan kepada pihak juri. Kedua-dua tertuduh ini hanya memerhati bukti-bukti yang mengesahkan kesalahan mereka dibentangkan: rakaman video sekuriti Bootle Strand, batu-bata berlumuran darah, pakaian, setin cat biru dan satu batang besi yang berat.

Pakar forensik telah memberi penilaian tentang kecederaan James, yang terlalu banyak sehinggakan mereka tidak pasti kecederaan mana yang telah menyebabkan kematiannya. Kesan tapak kasut pada wajah James dikaitkan dengan kasut Robert yang mempunyai kesan darah, menunjukkan yang Robert juga terlibat dalam pembunuhan James.

“doli incapax”

Adakah Jon dan Robert dapat membezakan apa yang benar dengan yang salah? Ini ialah satu isu yang penting buat pihak pendakwaan. Konsep era Victoria, “doli incapax” telah diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak yang tidak bersalah (dan tidak tahu) dari hukuman.

Pada era sebelum Victoria, kanak-kanak jalanan yang liar dihukum secara fizikal untuk jenayah yang dilakukan. ‘Doli incapax’ bermaksud kanak-kanak tidak mungkin melakukan kesalahan kerana tidak faham akibat dari perlakuan mereka.

Pada tahap ini, guru-guru Jon dan Robert telah memberi keterangan. Pakar psikiatri juga memberi keterangan bahawa walaupun masih kanak-kanak, kedua-dua tertuduh faham akan akibat dan keseriusan jenayah yang telah mereka lakukan.

Rakaman soal siasat telah dimainkan di mahkamah, juga mendedahkan yang mereka faham pertuduhan yang dikenakan. Suara Jon yang bernada tinggi dan seolah-olah histeria mampu memberi kesan kepada individu yang mendengar.

Pada masa ini, kedua-dua tertuduh dilihat memberi perhatian. Masing-masing berminat untuk mendengar apa yang mereka telah katakan tentang diri masing-masing. Dan mereka kelihatan marah apabila mendengar tuduhan yang dilemparkan kepada sesama sendiri.

Robert yang selama ini kelihatan tenang dan tabah sepanjang perbicaraan, terkejut apabila mendengar Jon berkata dia seperti seorang budak perempuan kerana gemar bermain dengan patung. Jon seolah malu-malu memerhatikan reaksi Robert apabila mendengar tuduhannya yang Robert telah memukul James.

Dalam hujah penutup, pihak pendakwaan menggambarkan kedua-dua kanak-kanak itu sama-sama bersalah:

Mereka lebih memikirkan cara-cara untuk mengelakkan perbuatan mereka diketahui ramai dari memikirkan tentang keadaan diri James. Mereka mendera James bersama-sama. Robert Thompson menendang dengan kuat, manakala Jon Venables telah menggoncang James. Venables mengambilnya di pusat beli-belah Strand manakala Thompson mendahului perjalanan.

Di landasan, peranan mereka terbalik. Thompson memimpin tangan James ke arah landasan manakala Venables pula mengepalai perjalanan. Mereka berdua mendengar pembohongan yang mereka berdua beritahu kepada orang dewasa. Mereka memang sentiasa bersama saat James mendapat kecederaan teruk.

Pihak pembelaan memberi hujah balas:

Mereka berdua tidak pernah melakukan apa-apa keganasan sebelum ini, hanya mencuri dan ponteng sekolah. Ini ialah satu prank jahat yang tersasar di luar kawalan. Sekiranya kedua-dua tertuduh merancang untuk membunuh James dari awal, mereka sudah buat dia lemas di terusan atau tolak dia ke arah trafik, tetapi mereka tidak berbuat begitu.

Sekiranya mereka merancang untuk membunuhnya di landasan keretapi dari awal, mengapa pula mereka berjalan berbatu-batu jauhnya di sepanjang jalan raya yang sibuk di Liverpool dan berbual dengan saksi yang berpotensi? Mereka beritahu orang dewasa mereka terjumpa James, sekiranya mereka bertekad untuk membunuhnya dari awal mengapakah mereka memberi peluang untuk orang dewasa masuk campur?

Peguam Robert, Turner, berhujah yang Jon dan Robert telah rasa letih, tidak pasti bagaimana mahu mengakhiri prank mereka dan tidak tahu apa yang mahu dibuat dengan James. Mereka takut untuk tinggalkan dia atau serahkan dia kepada orang dewasa. Turner berhujah, Jon yang mengawal keadaan dan memperingatkan juri bahawa Jon mengakui, “memang saya bunuh dia.”

Brian Walsh, peguam Jon berkata, “kedua-dua tertuduh mempunyai personaliti yang berbeza.” Walsh cuba menarik simpati kepada Jon dengan menggambarkan Robert sebagai ‘yang jahat’ antara mereka berdua, sesuatu yang lebih senang untuk dipercayai oleh semua orang. Walsh mendakwa Jon mengaku terlibat tetapi dia sebenarnya tidak mahu membunuh James.

Kemudian Hakim beralih kepada juri dan berkata sama ada Jon atau Robert mempunyai niat untuk membunuh James semasa menculik atau semasa berjalan dengan James bukan isunya. Persoalannya ialah, adakah Jon atau Robert berniat untuk membunuh James di landasan keretapi?

Setelah diberi penerangan khas, juri mula membuat pertimbangan pada Rabu, 24 November, lebih tiga minggu setelah perbicaraan bermula.

4

Pensabitan

Semasa menunggu keputusan juri, Robert mengait sarung tangan untuk adiknya yang masih bayi dan berkata, dia tahu bahawa juri akan mendapati dia bersalah.

Pada tengahari, mahkamah mencapai keputusan. Untuk pertama kali, Denise berada di bilik mahkamah dengan suaminya Ralph. Seperti yang dijangka, Robert Thompson dan Jon Venables didapati bersalah. Jon menangis manakala Robert duduk sambil berdiam diri.

Hakim menyebut nama kedua-dua pesalah:

Pembunuhan James Bulger ialah satu perlakuan kejahatan dan kekejaman yang tiada tandingan. Bayi dua tahun ini dicuri dari ibunya, dibawa berjalan sejauh dua batu dan kemudian, di atas landasan, dipukul sehingga mati tanpa belas kasihan.

Kemudian badannya dibaringkan atas rel supaya digilis keretapi dengan tujuan untuk menyembunyikan pembunuhan itu. Pada penghakiman saya, perbuatan kamu berdua licik dan sangat jahat.

Hukuman yang saya jatuhkan kepada kamu ialah, kamu berdua ditahan mengikut kesukaan Baginda Ratu, di tempat dan di bawah syarat-syarat yang akan diputuskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kamu akan ditahan  untuk bertahun-tahun, sehingga Setiausaha merasa puas hati yang kamu telah matang dan dipulihkan dengan sepenuhnya dan sehingga kamu bukan lagi satu ancaman.

Hakim juga membenarkan pihak media mendedahkan nama mereka berdua.

Dari tempat duduk orang ramai, seseorang menjerit:

Bagaimana perasaan kamu sekarang, bangsat-bangsat kecil?

Robert Thompson

Robert Thompson ialah seorang yang tabah, yang dianggap oleh semua orang sebagai dalang dalam kes ini. Tetapi personaliti Robert terbentuk bukan dari keagresifan, sebenarnya hanya untuk mempertahankan dirinya.

Robert tinggal dalam persekitaran yang kasar dan kejam. Untuk menyelamatkan diri dari serangan dan bulian lima orang abang dan ibunya yang alkoholik, Robert menjadi seorang yang berhati batu.

Dia tidak mencari masalah sebaliknya cuba untuk mengelak dari masalah. Apabila terperangkap dalam masalah, dia akan berbohong, menangis atau biarkan dirinya dibelasah tanpa mengakui kesalahannya.

Bapa Robert memukul isterinya tanpa belas kasihan sebelum meninggalkan mereka dan tidak balik-balik lagi. Bapa Robert juga membesarkan anak-anaknya seperti mana dirinya dibesarkan: biarkan saja anak-anak tanpa pengawasan, yang abang membuli si adik sehingga si adik menurut kata.

Ibu Robert juga datang dari keluarga yang gemar mendera. Pada usia 18 tahun, Ann mengahwini bapa Robert untuk melepaskan diri dari bapa yang suka memukulnya.

Tetapi dia tidak terlepas: hanya mendapat pendera yang baru. Suami Ann suka membelasahnya, menyebabkan Ann menjadi seorang alkoholik. Bapa Robert membelasah Ann di depan anak-anak dan Ann, kerana sedih dan takut, membelasah pula anaknya menggunakan tali pinggang dan kayu.

Ann pernah cuba membunuh diri dengan mengambil lebih dos ubat tetapi tidak berjaya. Akhirnya Ann minum arak sebagai cara untuk melepaskan tekanan. Enam orang anaknya dibiarkan menjaga sesama sendiri. Tetapi mereka sebenarnya memerlukan perlindungan dari sesama sendiri. Yang tua pukul yang muda, yang muda pukul yang bongsu atau yang mudah diserang.

Pada usia empat tahun, anak Thompson yang sulung diletakkan di bawah perkhidmatan perlindungan kanak-kanak kerana didera. Seorang adik-beradik Thompson yang lain menjadi pencuri tegar dan sering membawa Robert untuk mencuri bersamanya.

Seorang lagi adik beradik Thompson ialah seorang ‘kaki bakar’: gemar memulakan kebakaran di rumah-rumah atau harta-harta persendirian, di samping itu dia juga disyaki mendera kanak-kanak secara seksual (Robert juga mungkin telah menjadi mangsanya).

Seorang lagi abang Robert mengugut gurunya dengan keganasan. Apabila yang sulung menjaga yang bongsu, dia meninggalkan saja yang bongsu itu dalam reban merpati. Salah seorang adik-beradik Robert secara sukarela meninggalkan mereka dan tinggal di pusat perlindungan. Ada yang cuba membunuh diri.

Polis dan pekerja sosial sememangnya kenal dengan adik beradik Thompson. Setiap kali jenayah berlaku, pasti polis memeriksa mereka. Tidak mengejutkan, seluruh adik beradik Thompson kemudiannya suka ponteng sekolah dan belajar membenci pihak berkuasa.

Robert ialah anak kelima dari enam adik beradik. Dia memang telah cuba menjadi anak lelaki yang baik. Robert cuba menolong ibunya di dapur, cuba menyenangkan ibunya dan memberi sokongan. Robert menjaga anak ibunya yang ketujuh, bayi Ben, yang merupakan hasil perkahwinan dengan suami baru.

Robert tidak bersikap agresif, hanya nakal. Seorang pelajar yang miskin, Robert ponteng sekolah tetapi jika dia datang ke sekolah dia tidak pernah menimbulkan masalah. Para guru menganggap Robert seorang pemalu dan pendiam, tetapi gemar memanipulasi orang lain.

Robert dibayangi reputasi buruk sebagai seorang Thompson, tetapi dalam masa yang sama menggunakan reputasi itu untuk melindungi dirinya. Para guru tidak mengharapkan apa-apa dari Robert, manakala kanak-kanak lain mengelak dari rapat dengannya. Sahabatnya tidak ramai dan Jon ialah salah seorang dari sahabatnya.

Kadangkala dia bercakap dengan keras, cuba berlagak seperti seorang ‘Thompson’, tetapi dia tidak dianggap ganas atau agresif. Dia hanya diketahui suka ponteng dan merayau di jalanan Walton pada pukul 1.00 pagi.

Kadangkala ibunya Ann menyorokkan kasut Robert untuk mengelakkan dia dari meninggalkan rumah. Dan kasut jugalah yang menyebabkan Robert terpaksa meninggalkan rumah buat selamanya. Kasut Robert yang terpalit darah menghubungkannya dengan pembunuhan James. Malah, kesan tali kasutnya berbekas di pipi bayi itu.

Malangnya, Robert tidak mempelajari apa-apa dari sikap abang-abangnya yang suka membuli dan mendera. Dia hanya mengulangi deraan dan bulian mereka, tetapi terhadap adiknya Ryan. Robert selalu mengancam adiknya itu, namun begitu mereka rapat dalam cara yang aneh. Di waktu malam, mereka akan baring di katil bersama dan menghisap ibu jari satu sama lain.

Perhubungan Robert dengan Ryan mungkin memberi sedikit bayangan tentang model pembunuhan James Bulger. Robert membuli Ryan dengan membuat adiknya ponteng sekolah dan membawa Ryan bersama untuk mencuri.

Robert pernah meninggalkan Ryan yang ketika itu sedang menangis di terowong. Robert sendiri berkata, jika saya ingin bunuh bayi,  baik saya bunuh adik saya sendiri, seolah-olah dia pernah terfikir tentangnya.

Wartawan David James Smith berkata besar kemungkinan Robert merancang untuk mencuri seorang bayi untuk melepaskan kemarahan terhadap adiknya, bayi Ben, yang ketika itu berusia 18 bulan. James seperti pengganti Ben bagi Robert. Sebagai seorang kanak-kanak 10 tahun, Robert hanya mampu menunjukkan kuasa dan kawalan terhadap mereka yang lebih muda darinya.

Namun begitu, ini tidak bermakna Robert yang memulakan keganasan terhadap James. Setelah mereka menculik James, ia kelihatan seperti Jon sebenarnya yang mengawal Robert supaya mereka tidak melepaskan James. Jon yang telah membawa James lari dari ibunya.

Pada satu tahap, apabila mereka terserempak dengan seorang wanita dewasa, Robert yang ketika itu memegang tangan James seolah-olah bersedia untuk melepaskannya, memandang ke arah lain dan ingin meninggalkan tempat itu. Tetapi Jon memberitahu Robert untuk memegang semula tangan James, dan Robert menuruti katanya.

Robert digambarkan oleh pihak media sebagai ‘budak jahat’. Salah seorang pemberita mendakwa budak Thompson itu merenung ke arahnya dengan marah.

Robert telah membina personaliti ‘hati batu’ sebagai satu strategi survival dalam hidupnya tetapi ini digunakan oleh pihak media untuk memburukkannya. Dia tidak menunjukkan sebarang kekesalan dan tampak cekal.

Tetapi ini tidak bermakna dia seorang saja yang bertanggungjawab dalam perlakuan jenayah kejam terhadap James Bulger. Malah, Jon Venables lebih menunjukkan kecenderungan untuk naik radang tiba-tiba secara ganas dan membimbangkan.
5

Smith percaya Jon bertanggungjawab mencederakan James dengan cara yang paling kejam, tetapi Robert bukanlah sekadar seorang pemerhati dalam pembunuhan itu. Kata Smith:

Saya bayangkan mereka rasa cemas dan gementar yang menghiburkan. Ketawa, ketakutan, keagresifan, kemarahan dan kekejaman. Serangan itu, setelah bermula, tidak dapat dihentikan. Kemarahan yang muncul mendadak membawa pengakhiran yang buruk.

Robert mungkin bertanggungjawab pada serangan seksual terhadap James. Dia sendiri berkemungkinan ialah mangsa deraan seksual abangnya dan dia punya perhubungan yang pelik dengan adiknya Ryan. Semasa soal siasat, dia kelihatan gementar dengan pertuduhan seksual tersebut, bimbang yang Jon akan memberitahu polis bahawa dia telah bermain dengan kemaluan James. Dia kelihatan cemas, menangis dan takut orang ramai akan fikir dia seorang pervert.

Jon pula kelihatan terkejut apabila dituduh melakukan serangan seksual dan tidak memberi bayangan bahawa dia terlibat dalam serangan seksual seperti mana Robert.

Namun begitu, sama ada itu yang sebenarnya berlaku tidak diketahui, dan tiada siapa dapat memastikan apa yang sebenarnya dilakukan oleh mereka berdua. Memetik kata-kata Robert sendiri:

Saya ada di situ dan awak tidak.

Disebalik ketabahan dan kecekalan Robert, dia masih menunjukkan sikap keanak-anakan apabila dia diusik. Dia bermain dengan patung troll dan suka menghisap ibu jari. Jon mengutuknya gemar bermain dengan perempuan dan kadangkala bersikap seperti perempuan.

Dididik untuk bersikap cekal seolah-olah dia tua beberapa tahun dari usianya dan dipaksa memendam sifat keanak-anakannya, adalah berkemungkinan yang Robert kemudiannya melepaskan amarah yang meletus terhadap seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa, iaitu James Bulger.

Nota: Bersambung ke Bahagian 6

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

6 Comments

  1. Anonymous

    April 5, 2017 at 4:06 pm

    ada google pasal diorang ni.. dengar kata dah keluar penjara dan diberi new identity.

Loading...