Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 4

Trending

Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 4

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Soal siasat: Jon Venables

Jika Robert banyak bertenang dan berbalas hujah dengan para penyiasat, Jon pula seperti terkena histeria sejak awal lagi. Dia sangat takut dan rasa terancam dengan para penyiasat.

Advertisement

Penyiasat terpaksa berhenti bertanya bila Jon menjadi sangat tertekan dan tidak mampu bercakap.

Dia tidak banyak berbohong tetapi banyak mengelak dari menjawab soalan. Bila dia dapat bertenang dan diberi semangat untuk bercakap jujur, Jon membuat pengakuan tentang beberapa perkara (berbanding Robert yang menafikan semuanya).
4

Ibu Jon, Susan, duduk berhadapan Jon di bilik soal siasat dan ini membuat Jon rasa terganggu.

Hanya apabila penyiasat menyuruh Susan dan bapa Jon, Neil, untuk duduk di sebelah tepi kanak-kanak itu dan dan mereka meyakinkan Jon bahawa mereka tetap sayangkan Jon walau apa pun, barulah Jon mengakui keterlibatannya.
5

Pagi pertama sesi soal siasat, Jon banyak mempersalahkan Robert. Robertlah yang jahat, gemar menimbulkan masalah dan Jon mengelak dari berkawan dengan Robert di sekolah.

Robert lebih banyak bermain dengan budak perempuan kerana semua orang anggap Robert jahat. Jon memberitahu yang Robert gemar mengumpul patung troll dari jenis yang tidak berpakaian. Nampak punggung patung itu, kata Jon. Jon berkata Robert gemar menghisap ibu jari.

Bagaimanapun Jon seolah-olah seronok bercerita yang Robert sanggup melakukan perkara yang tidak baik. Dia bercakap tentang bagaimana dia dan Robert selalu mencuri bersama dan Robert seorang teman yang menghiburkan.

Dengan Robert, dia melakukan banyak aktiviti yang tidak dilakukannya bersama sahabat baik yang lain. Jon takkan buat apa-apa yang tidak baik seorang diri, katanya, “saya terlalu takut.”

Pada hari kejadian, iaitu hari Jumaat, Jon berkata idea untuk ponteng datangnya dari Robert. Jon kemudiannya bercerita panjang tentang aktiviti mereka hari itu: mereka pergi ke taman rekreasi dan landasan keretapi lama.

Robert juga mengajaknya ke satu kawasan perkuburan kerana dia mahu mencuri bunga yang diletakkan di kubur-kubur oleh pelawat, tetapi Jon menolak. Jon mendakwa Robert yang mencuri cat dan melemparkan cat itu kepada James.

Walaupun bercerita dengan terperinci, Jon langsung tidak menyebut tentang pusat beli-belah Bootle Strand. Kemudiannya apabila mendengar dari penyiasat yang Robert mengatakan mereka ada melawat Strand, Jon menjerit yang Robert berbohong.

Detektif Dale: Kamu tahu, Robert kata dia dengan kamu dan kamu berdua ada datang ke Bootle Strand bersama.
Jon Venables: Tidak.
Detektif Dale: Robert kata ada.
Jon Venables:   Ya, tapi kami tak nampak mana-mana bayi di situ. Kami tak mencuri bayi sesiapa.
Detektif Dale: Jadi, betullah kamu memang ada pergi ke  Bootle Strand.
Susan Venables: (menjerit marah) Kamu memang ada ke Bootle Strand?
Jon Venables: (menangis)  Ya, tapi kami tak pernah curi budak, Mak. Langsung tak curi mana-mana budak.
Detektif Dale: Puan Venables, saya terpaksa minta puan supaya tak memarahi dia.
Jon Venables: (seperti histeria) Tapi kami tak curi mana-mana budak, Mak. Kami nampak bayi itu dan ibunya saja tapi tak curi bayi itu. Kami tak curi, mak. Langsung tak. Mak fikir kami buat, tapi kami tak buat.

Pada waktu itu, Jon sangat tertekan dan enggan duduk. Susan berkata:

Jika emak tahu semua ini dari awal, Jon, mak sendiri akan hantar kamu ke balai polis. Tak perlu mereka datang ketuk pintu kita dan semua orang lihat emak ikut kamu dan mereka di jalanan…

Memang saya bunuh dia

Keesokan paginya, para penyiasat mengemukakan kepada Jon cerita hari kejadian versi yang diceritakan oleh Robert. Robert mendakwa Jon yang mengambil bayi James dan ketika mendengar tentang ini, Jon terlompat dari tempat duduk. Kata Jon sambil menangis kepada Susan:

Saya tak sentuh mana-mana bayi,.

Saya tak pernah bunuh dia. Mak, mak, kami ambil dia tapi tinggalkan dia di terowong.

Penyiasat bertanya, bagaimana dia mengambil bayi itu di Strand? Jon berkata, James berjalan sendirian.

Jon kini sedar kenyataannya kali ini bercanggah dengan kenyataan sebelum ini, menandakan dia menipu sebelum ini. Semakin dia terperangkap, dia semakin tertekan.

Detektif percaya Jon mahu memberitahu perkara sebenar, tetapi takut dengan apa yang bakal difikirkan oleh ibunya.

Setelah Susan dan Neil meyakinkan Jon yang mereka tetap sayangkannya walau apa terjadi, serta meminta dia memberitahu perkara sebenar, Jon duduk di riba ibunya dan menangis.

Memang saya bunuh James, kata Jon. Bagaimana dengan ibunya, mak boleh tolong beritahu ibu James yang saya minta maaf?

Inilah apa yang diperlukan oleh penyiasat. Jon telah mengaku membunuh James, mudah sahaja. Penyiasat berasa curiga dengan perkataan ‘saya’ dalam pengakuan Jon.

Para penyiasat yakin bahawa Robert terlibat dalam pembunuhan James. Persoalannya, berapa banyakkah keterlibatan Robert?

Soal siasat itu bersambung semula keesokan harinya. Jon berkata yang Robert mencuri cat dari satu kedai permainan di Strand. Mereka nampak seorang bayi, dan Robert berkata:

Mari kita buat bayi ini sesat jalan.

Mereka berdua pun membawa bayi itu berjalan sekitar gedung TJ Hughes tetapi terserempak dengan ibu bayi itu di pertengahan jalan dan membiarkan kanak-kanak itu kembali kepada ibunya.
7Kemudian mereka terserempak James berdekatan kedai daging.

Jon mengaku datang kepada James dan memegang tangannya, tetapi idea untuk membunuh James datang dari Robert.

Semasa bersiar-siar dengan James, Jon mencadangkan kepada Robert agar mereka berdua cuba mencari ibu James, tetapi Robert mencadangkan mereka mencampakkan James ke dalam air terusan di sebelah terowong.

Robert cuba membuat agar James menjenguk ke dalam air dengan berdiri di tebing terusan, tetapi James langsung tidak mahu mendekati tebing itu. Jon berkata, Robert kemudiannya mengangkat James dan menjatuhkan bayi itu dengan kepala ke bawah.

Mereka berdua kemudian berasa takut lalu lari dari situ, tetapi mereka kemudiannya datang semula dan mengambil James di terowong. Jon tidak dapat menjelaskan mengapa mereka mengambil James semula. Mereka hanya mahu berjalan-jalan dengan James.

Jon mengaku dia merentap kain penutup kepala pada jaket bayi James dan melemparkannya ke semak semasa mereka bertiga berjalan ke arah landasan.

Semakin dekat mereka kepada saat-saat Jon menceritakan mengenai pembunuhan James, Jon menjadi semakin resah. Dia tidak mahu bercakap tentang ‘bahagian yang paling teruk’.

Bahagian yang paling teruk

Apabila Jon sudah mampu bercakap, dia menyalahkan keganasan mereka berdua terhadap Robert.

Kami bawa dia ke landasan dan baling bata ke arahnya.

Ditanya siapa yang baling bata, Jon mengatakan Robert. Robert juga yang baling batang besi ke arah James. Jon mengaku hanya baling dua batu yang kecil, dan hanya pada lengan James, bukan ke arah kepalanya.

Menurut Jon, Robert lempar cat biru ke wajah James. James mula menangis dan Robert bertanya:

Adakah kepala kamu sakit? Nanti abang letak plaster.

Dia kemudiannya mengangkat seketul bata, kemudian membaling bata itu ke kepala James. James menjerit dan jatuh, tetapi bangun semula. Jon mendakwa pada satu tahap, dia cuba menarik Robert.

Tetapi James tetap bangun dan Robert mengatakan, ‘jangan bangun’. Robert menjerit dan menggelarkan James dengan pelbagai gelaran buruk.

Setelah Robert memukul James dengan batang besi, James jatuh tertiarap ke atas landasan dan mereka berdua telah lari. Jon kemudiannya mendakwa berkata kepada Robert:

Engkau tak rasa dah cukup apa yang kita buat ini?

Jon berkata dia tidak pernah marahkan James:

Tidak, saya tak mahu cederakan dia. Saya tak mahu cederakan dia dengan menggunakan benda berat, cuma gunakan benda-benda yang ringan. Saya sengaja baling supaya tak kena pada James.

Dia juga memberitahu bahawa Robert yang menanggalkan seluar panjang dan seluar dalam James. Jon hanya bantu tanggalkan kasut bayi itu sahaja. Ditanya mengapa, Jon tidak dapat memberi jawapan yang pasti.

Dia berkata Robert menutup muka James dengan seluar dalam bayi itu. Walaupun mendakwa tidak marahkan James, Jon menunjukkan tanda-tanda sedang marah pada waktu ini, termasuk menggenggam penumbuk dengan kuat.
8

Jon berkata dia menendang James, tapi sedikit saja dan tumbuk sedikit di dada dan muka. Dia rasa Robert telah menendang celah kelangkang James lebih kurang sepuluh kali dan menendang wajah James. Kata Jon:

Saya tak pernah lakukan sesuatu seperti itu sebelum ini.

Tetapi apabila subjek bateri dibangkitkan, Jon seolah histeria semula dan mula menangis.

Saya tak tahu apa yang Robert buat dengan bateri.

Jon takut dipersalahkan kerana bateri itu ada padanya. Ditanya sama ada dia ada melakukan benda lain dengan bateri tersebut, Jon kelihatan sangat terganggu dan telah menumbuk bapanya, Neil, yang duduk di sebelahnya.

Didakwa dengan pertuduhan membunuh

Pada hari Sabtu, Jon dan Robert mula keletihan dan murung. Para penyiasat tahu bahawa mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa dua kanak-kanak itu dan telah memberhentikan soal siasat.
2

Walaupun mengorek rahsia kedua-duanya agak sukar, mereka berdua mendedahkan maklumat dalam cara berbeza. Robert banyak membuat penafian dan memanggil saksi-saksi lain pembohong, tetapi apa yang dia katakan seolah-olah hampir dengan apa yang sebenarnya telah berlaku. Dia pastinya lebih manipulatif dari Jon dan hanya menangis bila masanya sesuai.

Jon pula sentiasa mempersalahkan Robert untuk semua perkara, tetapi akhirnya mengaku melakukan lebih banyak dari apa yang telah diakui oleh Robert. Penipuan Jon lebih meleret tetapi Jon lebih cepat mengaku dia berbohong.

Sebenarnya, rasa tertekan teramat oleh Jon yang melambatkan proses untuk mendapatkan maklumat mengenai apa sebenarnya yang telah berlaku.

Polis Walton memutuskan untuk membawa dua kanak-kanak itu menaiki kereta untuk mengesahkan perjalanan mereka berdua bersama James pada hari kejadian.

Jon pergi telebih dahulu dengan kereta biasa, Dia bertanya polis, ada tak kesan cap jari pada kulit seseorang?

Apabila Robert pula dibawa menaiki kereta, kanak-kanak itu bimbang terserempak dengan Jon. Malah kedua-dua mereka gementar mereka mungkin berjumpa setelah melakukan jenayah itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka berdua marah kepada sesama sendiri, atau marah mengenai cerita-cerita tipu yang mereka beritahu tentang diri masing-masing semasa disoal-siasat.

Pada Sabtu, 6:15 PM Jon didakwa dengan pertuduhan menculik dan membunuh James. Pihak berkuasa turut mendakwa dua kanak-kanak itu dengan pertuduhan cubaan menculik seorang kanak-kanak lain di TJ Hughes.

Jon duduk melukis di atas sebuah kertas semasa menunggu pertuduhan terhadapnya dibacakan. Dia hanya menangis jika ibunya Susan, menangis. Semasa Robert didakwa pada malam yang sama, dia dengan selamba memberi respon, ‘Jon yang bunuh dia.’

Kedua-dua kanak-kanak itu ditahan sehingga hari perbicaraan mereka pada bulan November 1993. Mereka berdua dalam pada itu menjalani pemeriksaan psikiatrik dan terus ditemubual.

Dalam pada itu, sistem kehakiman British mula mempersiapkan tempat tinggal untuk dua defendan muda tersebut.

Perbicaraan

Masyarakat Merseyside merasa terkejut dengan umur suspek-suspek pembunuhan James, tetapi lega kerana mereka berdua telah didakwa.

Pada Isnin, pemberita membanjiri sekolah tempat Robert dan Jon belajar, cuba mendapatkan gambar mereka berdua dan menemubual kawan-kawan sekelas mereka. Salah seorang kanak-kanak di kelas mereka duduk di kerusi Robert dan menjerit:

Saya duduk di kerusi pembunuh!

Tetapi bukan semua orang lega. Apa yang pasti, keluarga Thompson dan Venables terpaksa melarikan diri dari rumah kerana orang ramai yang berang mula berkumpul di sekeliling tempat tinggal mereka.
6

Tidak lama sebelum perbicaraan, akhbar The Sun telah menerbitkan gambar Jon dalam perjalanan ke mahkamah sambil menghisap lolipop, disertai satu artikel yang mengkritik ‘kemewahan’ yang dinikmati oleh pesalah juvana. Orang ramai berang kerana suspek-suspek ini diberi kelebihan seperti itu.

Jon dan Robert diberi identiti palsu untuk keselamatan mereka sendiri. Mereka ditempatkan secara berasingan di bangunan-bangunan khas untuk pesalah juvana, di mana mereka berdua berpura-pura yang umur mereka lebih tua dan didakwa atas kesalahan selain dari pertuduhan membunuh James Bulger.

Ada yang berhujah, perkara ini seolah-olah menggalakkan kanak-kanak itu terus membenamkan ingatan mereka mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku di landasan keretapi sewaktu James dibunuh.

Jon dan Robert tidak diberi kaunseling sebelum perbicaraan kerana ia mungkin memberi kesan kepada memori mereka tentang kejadian.

Pada waktu itu, mereka berdua menafikan banyak perkara tentang pembunuhan itu dan saling menyalahkan antara satu sama lain mengenai perlakuan-perlakuan paling kejam terhadap James.

Hanya pengakuan Jon, ‘memang benar saya bunuh dia’, yang mungkin mengurangkan keseriusan pertuduhan terhadap Robert.

Kes pembunuhan yang sensasi

Pada 14 Mei 1993, Jon dan Robert muncul di Mahkamah Mahkota Liverpool untuk membuat pengakuan ‘tidak bersalah’. Kes itu dibicarakan di Preston, dekat dengan unit tahanan mereka.
3Jon mengalami serangan hiperventilasi (kesukaran bernafas) semasa perdengaran kes dan tidak dapat dilibatkan semasa proses pengecaman oleh polis kerana dia terlalu murung.

Baik pihak pendakwaan mahupun pembelaan bimbang dia tidak dapat terlibat untuk mempertahankan dirinya sendiri dari pertuduhan.

Nota: bersambung ke Bahagian 5

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...