Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 2

Trending

Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 2

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6
Selepas keluar dari terowong, kumpulan tiga kanak-kanak lelaki itu berjalan tanpa haluan. Mereka merayap, berjalan melepasi kedai-kedai, dewan, pejabat dan parkir-parkir. Seorang saksi yang sedang menaiki bas melihat Jon dan Robert memegang tangan James, yang berjalan di antara mereka berdua.

Seorang penunggang motor kemudiannya terlihat mereka berdua menarik tangan James yang enggan mengekori mereka. James menangis dan tidak mahu terus berjalan. Penunggang itu nampak Robert menendang rusuk James dengan kuat untuk menolaknya supaya terus berjalan.

Advertisement

Jon, Robert, dan James kini telah berjalan sebatu jauhnya di sepanjang jalan yang sibuk dengan kenderaaan di Liverpool.

Hari sudah hampir senja. Ramai pemandu yang mahu pulang ke rumah dari kerja nampak mereka bertiga. Seorang wanita mendakwa ternampak James berlari di antara Jon dan Robert, tetapi dia fikir mereka sedang bermain.

Apabila tiba di satu persimpangan, James kembali menangis mahukan ibunya. Dia hampir berlari ke tengah jalan raya, tetapi Jon berjaya menangkapnya dan menariknya semula ke kaki lima.

Penunggang-penunggang motosikal memerhatikan mereka melintas jalan, melihat James menangis, sambil Jon dan Robert menarik kedua-dua tangan James ke atas sehingga kakinya terseret.

Ada yang menganggap James menangis kerana dia tidak dibenarkan berlari dengan bebas. Tetapi ada yang tertanya-tanya di manakah ibu bapa mereka.

Jon kemudiannya mengangkat James di bahagian kaki manakala Robert pula di bahagian dada. Mereka meletakkan James di sebuah kawasan berumput dan berbukit di tepi sebuah tasik buatan. Mereka turut duduk di situ.

Baca: Kisah Pembunuhan Ratu Cantik Australia, Anita Cobby

Seorang wanita yang sedang membawa anjingnya bersiar-siar lalu di situ dan terlihat James ketawa.

Tetapi tidak lama selepas itu seorang individu lain yang berada di bangunan berdekatan melihat Jon menumbuk wajah dan menggoncang badan James.

Untuk sebab yang sukar dijelaskan, individu itu memilih untuk menutup langsir dan melupakan pemandangan yang kurang menyenangkan itu.

Adalah menjadi misteri mengapa mereka yang melihat James didera sebegitu tidak memaklumkan mengenainya kepada pihak berkuasa semasa ia berlaku.

“Alangkah baiknya jika saya lakukan sesuatu waktu ia berlaku.”

Di kawasan berbukit tempat mereka berehat, seorang wanita tua mendekati mereka, kerana dia melihat James cedera. Dia bertanya apa telah berlaku pada James yang sedang menangis. Wajahnya merah dan ada kesan luka.

Kami baru terjumpa dia di bawah bukit,”kata Jon dan Robert seolah-olah tidak mengenali James.

Wanita itu menyuruh mereka berdua membawa James ke Balai Polis Walton Lane hanya di hujung jalan, malah dia menunjukkan arah kepada mereka. Kecederaan pada wajah James membuat dia merasa bimbang.

Tetapi, wanita itu kemudian melihat Jon dan Robert membawa James ke arah bertentangan balai polis. Dia hanya menyaksikan mereka dengan rasa tidak percaya. Dia menjerit supaya mereka berpatah balik, tetapi mereka tidak mempedulikannya.

Wanita itu hanya berdiri di situ, tidak pasti apa yang patut dilakukan. Semasa dia berdiri di situ, seorang wanita lain yang terserempak mereka sebelum itu mendakwa terlihat James ketawa. Dia rasa bayi itu okay saja, mungkin abang-abangnya belum ada pengalaman menjaga adik bongsu mereka.

Malam itu, wanita itu menonton berita mengenai bayi hilang di televisyen. Dia terus menghubungi polis dan memberitahu yang dia telah terserempak dengan bayi itu. Katanya kesal:

Sekarang saya harap saya telah lakukan sesuatu untuk menolongnya.

Tiga kanak-kanak lelaki itu berjalan menuruni bukit dan sampai ke Jalan County. Mereka masuk ke dalam salah satu kedai.

Seorang wanita yang sedang membawa anjingnya berjalan terlihat James dan bertanya apa yang sedang berlaku. Mereka menjawab yang mereka terjumpa James di pusat beli-belah Bootle Strand dan mahu membawanya ke balai polis.

Seorang wanita lain yang berada di kedai itu bersama anak perempuannya terdengar perbualan mereka dan menyampuk:

Jauhnya kamu jalan jika mahu ke balai polis dari Bootle Strand?


Jon menjawab:

Kami ikut arah yang ditunjukkan oleh seorang lelaki.

Wanita itu kemudiannya bertanya di mana tempat tinggal mereka. Robert mahu menjawab tetapi Jon menyampuk:

Balai polis terletak di jalan yang sama kami hendak pulang.

Robert melepaskan tangan James, seolah-olah mahu melepaskan bayi itu. Dia memandang ke arah lain dan kelihatan gementar. Tetapi wanita itu lihat Jon cepat-cepat mengawal keadaan:

“Pegang tangan dia,” kata Jon. Robert kembali memegang tangan James.

Wanita muda yang datang ke situ bersama anak perempuannya memandang ke arah James yang nampak gelisah.

Kamu tak apa-apa ke, nak?

Dia bertanya. James tidak menjawab.

Jon menekankan yang mereka akan pergi ke balai polis dan menyelesaikan perkara itu.

Tetapi wanita itu dapat merasakan baik Jon mahu pun Robert, kedua-duanya tidak berlaku jujur. Wanita itu meminta wanita seorang lagi yang datang membawa anjing  untuk menjagakan anak perempuannya sebentar. Ia kerana dia mahu menemani mereka berdua membawa James ke balai polis.

Tetapi wanita yang membawa anjing menolak, kerana anjingnya tidak sukakan kanak-kanak.

Jon dan Robert kemudiannya membawa James meninggalkan tempat itu.

Kamu pasti kamu tahu jalannya?

Jon menunjukkan ke arah balai polis.

Saya akan pergi arah sana, Puan.

Mereka masuk ke dalam sebuah kedai. Robert bertanya pada juruwang sama ada mereka boleh beli sedikit gula-gula untuk adik kecil mereka. Juruwang itu perasan calar dan luka pada wajah James.

Mereka kemudian singgah di sebuah kedai binatang peliharaan dan Robert nampak seekor ikan dalam sebuah tangki.

“Dah mati,” katanya, menunjuk ke arah bangkai ikan itu. Juruwang di situ merasakan cara Jon mengenggam erat tangan James nampak pelik, seolah tidak mahu bayi itu lari.

Di luar, satu kebakaran berlaku di jalanan. Mereka memerhatikan kejadian itu buat seketika, kemudian melintas di trafik yang sibuk ke Gereja Road West.

Mereka selepas itu terserempak dua kanak-kanak yang lebih tua dari mereka yang mengenali Robert. Dua kanak-kanak itu pandai bermain gari dan mahu mengenakan gari ke tangan Jon dan Robert. Tetapi mereka terperasan akan kehadiran James yang tercedera dengan wajah merah dibasahi air mata di situ. Mereka bertanya:

Siapa dia?

Robert memberitahu yang James ialah adik Jon.

“Kalau kau tak bawa dia balik, aku akan belasah engkau,” kanak-kanak itu mendakwa berkata bergitu kepada Jon dan Robert.

Jon dan Robert meneruskan perjalanan. Mereka telah tiba ke pintu masuk landasan keretapi dan berhenti di situ. Masih belum terlambat untuk meninggalkan saja bayi James yang sedang menangis. Balai polis pun berada tidak jauh dari situ.

Ada orang yang lalu lalang di situ curiga melihat mereka dan salah seorang antara Jon dan Robert berkata:

Fed-up betul ada adik ni. Asyik kena jemput dia balik sekolah. Aku akan beritahu emak yang aku takkan pedulikan adik lagi.

Mereka berjalan kembali ke Walton Lane, berdiri dekat dengan trafik yang sibuk. Mereka masuk ke sebuah lorong dan seorang saksi masih ingat melihat James ketawa di situ. Jon dan Robert mengusik James, bermain satu permainan yang menyoronokkan bayi itu.

Waktu ini, jam menunjukkan pukul 5.30 dan hari sudah gelap. Balai polis terletak di sebelah kanan mereka, manakala rumah Robert terletak di sebelah kiri. Tetapi Jon dan Robert memutuskan untuk kembali ke landasan keretapi, mengelakkan balai polis.

Selepas memutuskan untuk kembali ke landasan keretapi, Jon dan Robert yang sebelum ini tidak pasti apa hendak dilakukan kini mula memikirkan sesuatu yang jahat. Dalam perjalanan ke landasan, Jon merentap penutup kepala pada jaket James yang digunakan untuk menyembunyikan wajah bayi itu. Dia seterusnya melemparkan kain itu ke arah pohon-pohon.

Mereka rasa mereka tidak memerlukan kain itu lagi.

Hujung perjalanan

Bilakah sebenarnya Robert dan Jon membuat keputusan untuk membunuh James? Sekiranya mereka telah merancang membunuh bayi itu dari awal, mestilah mereka tidak begitu menunjukkan James pada orang ramai dari awal lagi. Sebaliknya, mereka mempamerkan bayi itu di simpang-simpang jalan dan di kedai-kedai, seolah-olah dia adik mereka.

Tetapi tirai malam telah berlabuh dan James cedera. Sekiranya mereka membawa James ke balai polis, pegawai polis akan nampak luka pada kepala James. Luka itu baru wujud. Mereka pasti disyaki menyebabkan luka itu dan polis pasti akan menghukum mereka. Mungkin mereka akan dipenjarakan terus.

Adakah mereka membunuhnya kerana takut ditangkap? Atau mereka sebenarnya masih belum puas menyeksa bayi itu?

Mereka sudah berjalan lebih dua setengah batu. Mereka sudah menghabiskan masa bersama berjam-jam. Mereka telah melindungi James, menyelamatkannya dari dilanggar kereta di jalan raya yang sibuk. Mereka mengambilnya semula selepas meninggalkannya di terowong.

Hanya Jon dan Robert yang tahu mengapa mereka bawa James lalu di sebuah tebing yang becak, kemudian ke landasan keretapi.

Mereka menemui lubang pada pagar landasan, menolak James masuk, berjalan melalui padang rumput dan menyepak batu-batu di jalan ke landasan. Balai polis hanya terletak di tepi bukit.

Serangan dan pembunuhan James Bulger berlaku antara 5.45 hingga 6.30 PM. Ia dimulai dengan salah seorang dari mereka menyimbah cat pada mata kiri James menyebabkan bayi itu menjerit.

Blake Morrison, penulis buku As If, pernah menyatakan mereka berdua mungkin menyimbah cat biru kepada James supaya dia tak kelihatan seperti manusia normal lagi. Cara itu menyebabkan James kelihatan seperti patung Troll jadi lebih senang untuk membunuhnya.

Mereka membaling batu ke arah James, menendangnya, dan memukulnya dengan batu bata. Mereka menanggalkan seluar dan kasutnya, dan mungkin telah menyerang James secara seksual. Mereka memukulnya dengan batang besi. Bila mereka fikir James telah mati, mereka meletakkan tubuh James di atas landasan dan menutup luka pada kepalanya dengan batu-bata.

Mereka meninggalkan landasan sebelum keretapi tiba.

Kemarahan seorang ibu

Selepas serangan itu, Robert dan Jon berjalan pulang ke bandar. Mereka hendak melawat seorang rakan, tetapi rakan itu tiada di rumah. Jadi mereka melepak di depan rumah rakan itu. Bosan, mereka berjalan ke kedai video, salah satu tempat yang disukai Robert.

Kadangkala Robert akan membantu wanita pemilik kedai sewa pita video itu mendapatkan semula pita yang lewat dipulangkan oleh penyewa. Sekiranya berjaya mengutip pita tertentu, mereka akan diberi upah. Dan di kedai sewa pita video itu, mereka bakal menerima ‘upah’, apabila Susan Venables, ibu Jon menolak pintu kedai dengan berang. Dia telah mencari Jon merata-rata, termasuk di landasan keretapi.

Susan menarik kedua-dua Jon dan Robert keluar dari kedai, menjerit ke arah mereka dan memukul mereka. Robert melarikan diri.

Susan  menghambat Jon ke balai polis dan meminta pegawai polis bertugas untuk untuk meleteri Jon. Susan memberitahu Jon, seorang bayi dua tahun telah diculik dari pusat beli-belah dan siapa pun orang gila yang menculiknya, mungkin boleh menculik Jon.

Dalam pada itu, Robert berlari pulang ke rumahnya sambil menangis dan mengadu pada ibunya tentang bagaimana ibu Jon menghambatnya keluar dari kedai sewa pita video. Ibu Robert, Ann Thompson, berang dan kemudiannya melaporkan anaknya dipukul Susan Venables kepada polis.

Di balai polis, pegawai bertugas perasan terdapat kesan calar di bawah mata kiri Robert. Mereka menyimpulkan ibu Jon yang menyebabkan kulit bawah mata kiri Robert tercalar.

“Jika saya nampak budak-budak yang menculiknya, pasti saya beri penendang.”

Kehilangan James telah dilaporkan di rancangan berita malam itu dan balai polis mula dihujani panggilan telefon. Ramai percaya mereka nampak bayi yang hilang itu di Walton. Salah satu panggilan melaporkan yang James dilihat di terowong, dan para penyiasat mula mengatur pelan untuk James dicari di dalam air di sebelah terowong itu keesokan paginya.

Polis menemubual Ralph dan Denise Bulger (ibu bapa James), cuba mengimbas semula pergerakan wanita itu di pusat beli-belah Bootle Strand. Dalam kebanyakan kes penculikan kanak-kanak, biasanya ibu bapa akan menjadi suspek utama pada mulanya. Tetapi polis menerima banyak maklumat jadi mereka tidak menumpukan perhatian pada pasangan Bulger.

Selepas tengah malam pada hari James hilang, pihak berkuasa telah menonton video sekuriti yang dirakam di pusat beli-belah, dengan harapan akan melihat kelibat penculik James. Polis paling berminat dengan laporan mengenai seorang lelaki tua rambut bertocang yang hari itu berkunjung ke Bootle Strand dan mendekati beberapa orang kanak-kanak.

Klip video penculikan James kemudiannya dimainkan. Bukan lelaki tua bertocang yang menghampiri James, sebaliknya dua orang kanak-kanak lelaki yang lebih besar. Klip video itu agak kabur dan tersekat-sekat, dan susuk tubuh kanak-kanak dalam video kelihatan seperti imej hantu.

Polis menonton video itu, hampir tidak percaya. Mereka bukannya berhadapan dengan seorang pedofil yang lebih tua, tetapi dua orang kanak-kanak lelaki. Tidak ada cara untuk mengenal pasti identiti kanak-kanak itu, tetapi pakaian bayi dalam video menyamai keterangan Denise.

Mereka mengulang tayang rakaman itu berkali-kali, memerhati bagaimana James dibawa keluar dari Bootle Strand. Kenapa pula dua kanak-kanak mahu menculik seorang kanak-kanak lain? Polis boleh memahami motif seorang pedofil, tetapi ini memang sukar difahami sama sekali.

Pagi berikutnya, penyelam telah mencari James di takungan air terowong. Terdapat satu pasukan lain mencari James di darat. Polis mendedahkan imej rakaman video itu kepada pihak media, dan ia kemudiannya terpampang di dada akhbar dan dimainkan di stesen-stesen televisyen.

Malangnya, gambar itu kabur dan mereka boleh jadi mana-mana kanak-kanak di kejiranan tersebut. Ramai para ibu mengesyaki anak mereka. Ann Thompson terus bertanya kepada Robert jika kanak-kanak lelaki dalam gambar itu dia.

Robert menafikannya. Ann merasa bimbang dan menyuarakan kebimbangannya kepada seorang sahabat. Ann turut mengugut akan membawa Robert ke balai polis. Tetapi Robert tetap menafikan, dan memberitahu akan menendang penculik James sekiranya terserempak.

Pagi Ahad, seorang jurutera keretapi terlihat kelibat sesuatu atas landasan. Mulanya ia nampak seperti patung.

Dan pada mulanya juga, dia tidak begitu memberi perhatian kerana kanak-kanak di kejiranan itu suka meninggalkan bermacam-macam benda atas landasan.

Sampai di rumah dia terfikir tentang laporan televisyen dan akhbar mengenai bayi yang hilang, kemudiannya malam itu dia menelefon polis.

“Kami fikir ia kucing. Kucing yang dibungkus. Tapi kemudian kami nampak kakinya.”

Empat kanak-kanak lelaki menemui mayat James di atas landasan pada tengahari Ahad, ketika berjalan di landasan untuk mencari bola sepak. Mula-mula mereka fikir ianya seekor kucing, kemudian patung, yang sudah bercerai kepada dua bahagian.

Gambar: Tiga dari empat kanak-kanak yang menemui mayat James

Jon dan Robert telah meninggalkan James betul-betul atas landasan, dan mereka sedar ada sebuah keretapi yang akan lalu di situ tidak lama selepas itu. Mungkin mereka fikir masyarakat akan percaya keberadaan James di situ ialah akibat satu kemalangan. Masyarakat akan fikir James merayap sehingga ke landasan kemudian dilanggar keretapi. Atau mereka melakukannya supaya apabila James dilanggar keretapi, semua klu akan musnah.
BUlger3

 

Badan James dibungkus dengan jaketnya. Bahagian pinggang ke bawah tidak dibalut walau seurat benang.

Terdapat 42 jenis kecederaan pada badan James, kebanyakannya pada wajah dan kepala. James didapati masih belum meninggal dunia semasa diserang, tetapi sebenarnya maut tidak lama sebelum dilanggar keretapi.

Jon dan Robert telah meninggalkan bayi itu di landasan sewaktu dia masih bernyawa.

Nota: Bersambung ke Bahagian 3.

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...