Kisah Pembunuhan Elizabeth Short, ‘The Black Dahlia’ Pada 1947 – Pt 2

Trending

Kisah Pembunuhan Elizabeth Short, ‘The Black Dahlia’ Pada 1947 – Pt 2

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3
Di Miami, Beth melupakan kesedihan hatinya dengan ramai lelaki. Dia gemar ditemani lelaki tanpa mengira latar belakang—tentera, usahawan, tua, muda—tetapi dia paling suka menghabiskan masa dengan lelaki yang mempunyai wang yang banyak.

Dia tahu kecantikannya ialah sesuatu yang bernilai. Sambil berlenggang di jalanan memakai kasut tumit tinggi, dia memanjangkan lehernya yang jinjang, tahu dan sedar bahawa dia menarik minat ramai lelaki yang lalu lalang.

Advertisement

Mereka merenung dan bersiul ke arahnya. Mereka menawarkan untuk belanja dia makan malam. Selalunya, dia menerima pelawaan mereka. Mereka membayar untuk makanan dan minumannya di restoran dan bar, sewa bilik dan pakaiannya. Mereka juga memberinya wang tunai.

Pisau Cukur

Lelaki-lelaki ini tidak kisah berbelanja untuk ditemani oleh Beth. Terdapat penulis buku yang mendakwa bahawa Beth terbawa-bawa dengan sikapnya ini dan bekerja sebagai pelacur, namun tidak ada sebarang bukti untuk menyokong dakwaan ini.

Wang yang didapati hasil pekerjaan sebagai pelayan pula digunakannya untuk menambah koleksi gaun cantik.

Beth lebih rela berlapar dari memakai pakaian yang sudah lapuk. Apabila dia keluar, dia sentiasa berpakaian cantik, gemar memakai sut hitam yang dihasilkan tukang jahit, blaus hitam beropol, kasut tumit tinggi dan sarung tangan panjang. Beth ialah jelmaan gadis berkerjaya tahun 40-an yang menarik perhatian ramai.

Beth sebenarnya amat meminati lelaki beruniform. Pada Julai 1946, Beth Short kembali buat kali terakhir ke California Utara. Dia tinggal di Hotel Water di Long Beach untuk berada dekat dengan Joseph Gordon Fickling, seorang Leftenan Tentera Udara yang bermata hitam. Waktu itu, Fickling bertugas di sebuah pengkalan tentera berdekatan.

Mereka berdua sebelum ini berkenalan di California, tidak lama sebelum Fickling dihantar untuk bertugas di seberang laut. Hubungan mereka berdua mengalami turun naik.

Fickling tidak berpuas hati dengan sikap Beth yang sukakan perhatian lelaki dan gemar berfoya-foya, manakala Beth merasa seolah-olah dia terkurung dalam bilik. Hubungan mereka menjadi dingin sebelum Fickling dihantar bertugas di seberang laut.

Di situ, Beth sering singgah di sebuah farmasi di mana dia sering menarik perhatian lelaki. Lelaki-lelaki di situ secara berseloroh memberi dia jolokan yang diinspirasikan dari nama sebuah filem thriller yang sedang disiarkan di pawagam waktu itu. Beth Short buat selamanya akan diingati sebagai ‘The Black Dahlia’.

Prospek perkahwinan yang gagal

Disebabkan dia tidak jadi berkahwin dengan Fickling, lelaki itu yang bersara dari tugas tentera telah berpindah ke North Carolina dan bertugas sebagai juruterbang penerbangan komersil. Namun begitu, mereka berdua tetap berhubung melalui surat.

Dalam surat-surat peribadi yang dirampas oleh polis dan disebarkan di akhbar-akhbar setelah Beth dibunuh—Fickling menyatakan rasa tidak sabar dengan sikap Beth tertanya-tanya jika dirinya ialah  lelaki yang bertakhta di hati wanita itu berbanding lelaki lain.

Surat yang menjadi bahan bukti

Apa yang pasti, Beth tidak mampu—atau mencuba untuk meyakinkan Fickling bahawa lelaki itulah yang bertakhta di hatinya.

Fickling juga terus mengirim wang kepada Beth, termasuk wang berjumlah USD 100 melalui pindahan kawat, bulan sebelum kematiannya.

Surat terakhir Beth telah diterima oleh Fickling bertarikh 8 Januari 1947, tujuh hari sebelum pembunuhan itu berlaku.

Dalam surat itu, Beth memberitahu akan berpindah ke Chicago bersama seorang lelaki tidak dikenali bernama Jack, untuk membina kerjaya sebagai model fesyen.

Hari-hari Terakhir

Setelah Fickling berpindah, Beth kembali ke Hollywood, sekali lagi tinggal di hotel-hotel murah dan apartmen yang sempit, antaranya Hotel Hawthorne, Hotel Chancellor, dan Apartmen Tamarind.

Buat seketika, dia tinggal dengan Marjorie Graham, kenalan lama yang berasal dari Massachusetts, dan Lynn Martin, seorang gadis 16 tahun yang menyamar sebagai wanita dewasa.

Namun begitu, dia tidak mempunyai sahabat dalam erti kata yang sebenar.

Pada masa ini, Beth telah menjadi kenalan seorang pemilik kelab bernama Mark Hansen.

Kelab milik Hansen ialah Florentine Gardens yang terkenal di Hollywood Boulevard yang menampilkan persembahan wanita yang berpakaian terdedah, dan penuh fantasi dan glamor. Ia dikunjungi  ramai khalayak Hollywood yang ingin berseronok.

Hansen yang tinggal di sebuah rumah agam di Carlos Street di belakang Florentine Gardens juga memiliki sebilangan apartmen dan rumah di sekitar bandar.

Dia menyewakannya pada gadis-gadis yang membuat persembahan di kelabnya, juga kepada wanita muda dan artis yang baru hendak mencipta nama di Hollywood.

Walaupun dia tidak bekerja di Florentine Gardens, Beth kini ialah seorang pengunjung biasa kelab itu.

Personalitinya yang menarik mendapat perhatian dari para lelaki kaya yang datang menonton persembahan di situ.

Di Florentine Gardens, Beth mendapat banyak peluang untuk mencari pasangan yang ideal, walaupun  mencurigakan, kerana kelab itu sering dikunjungi oleh lelaki yang terbabit dalam kegiatan kongsi gelap. Antaranya Benjamin ‘Bugsy’ Siegel, salah seorang pengasas jenayah terancang di Pantai Barat AS.

Pada masa ini, kongsi gelap itu beroperasi tanpa kawalan di jalanan Los Angeles. Dikatakan, disebabkan amalan rasuah, pegawai polis Los Angeles lebih banyak mempermudah kegiatan jenayah kongsi gelap tersebut, bukannya menghalang mereka.

Dari 13 November hingga 5 Disember, Beth tinggal di satu apartmen dua bilik yang sesak di Hollywood bersama lapan lagi wanita belia yang lain—pelayan koktel, operator telefon, penari jalanan—dan perantau-perantau lain yang mengimpikan untuk mendapat peluang untuk dikenali dalam dunia hiburan.

Sewa untuk menggunakan satu katil dua tingkat serta beberapa kaki ruang almari ialah USD 1 semalam.

Namun Beth tidak mampu membayar jumlah yang sedikit ini, dan menyembunyikan diri di balik pintu apabila pengurus bilik mengutip bayaran sewa.

Rakan-rakan sebilik Beth juga mendakwa yang Beth sering meminjam wang, pakaian dan alat solek mereka.

Disebabkan tidak mempunyai wang, Beth tidak mampu untuk bertemu doktor gigi bagi merawat giginya yang sudah rosak teruk. Sebaliknya dia membawa lilin parafin ke mana-mana dan menitiskan lilin cair ke lubang-lubang pada giginya.

Impian lamanya untuk menjadi bintang Hollywood kini sudah menjadi pudar.

Apa yang dia mahu kini, hanyalah untuk berkahwin dengan lelaki yang mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan tinggal di rumah untuk menguruskan rumahtangga.

Untuk mencari calon suami, memastikan wajahnya sentiasa cantik dan pakaiannya sentiasa kemas kini semakin penting. Dia waktu itu, dikatakan menghabiskan masa membelek dan melihat wajahnya di cermin selama berjam-jam .

Rakan sebilik Beth memaklumkan kepada polis setelah kematiannya, bahawa dia ‘keluar dengan teman lelaki berbeza setiap malam’, dan tidak bekerja.

Linda Rohr, 22, memberitahu akhbar:

Setiap malam dia merayap di (Hollywood) Boulevard.”

Pada waktu ini, dia banyak menghabiskan masa dengan seorang ahli kongsi gelap bernama Maurice Clement, yang merupakan konco Bugsy Siegel dan sekutunya, Mickey Cohen.

Clement ialah seorang pembekal untuk rantaian pelacuran milik Siegel dan sering menjadi pemandu untuk membawa pelacur bertemu janji dengan pelanggan.

Dia sering memanggil Beth di mana saja Beth tinggal. Adakah dia sekadar perantara? Dengan siapakah Beth melibatkan dirinya?

Pada masa ini, rakan sebilik Beth perasan bahawa dia sering kelihatan bimbang dan terganggu, seolah-olah takutkan sesuatu yang tidak diketahui. Dia juga mewarnakan rambutnya dengan inai menjadi warna merah gelap.

Dia tidak mempunyai seorang pun kawan rapat, lelaki mahupun perempuan, tetapi gemar menghabiskan masa dengan orang asing dan sentiasa bertukar-tukar teman.

Kepada ramai lelaki, dia peramah tetapi enggan dikenali dengan lebih mendalam.

Malahan, dia bukanlah seseorang yang aktif secara seksual. Dia hanya membenarkan mereka belanja dia makan dan minum, memberi wang tunai atau hadiah tetapi dia akan menolak jika lelaki yang menemaninya ingin pergi lebih jauh.

Bagaimanapun, dia tahu apa yang perlu dia lakukan untuk mendapatkan apa yang dia mahu dari seorang lelaki.

San Diego dan Keluarga French

Pada hari Jumaat, 6 Disember 1946, dia memberitahu rakan sebiliknya bahawa dia ingin ke Berkeley untuk bertemu kakaknya, namun sebenarnya, menggunakan duit yang dipinjam, dia menaiki bas dan pergi ke San Diego.

Malam pertama Beth di sana, dia tertidur di kerusi pawagam yang disangkanya akan menayangkan wayang semalaman.

Namun pawagam itu menghentikan operasi pada tengah malam, dan Beth dikejutkan oleh juruwang, Dorothy French.

Dorothy ketika itu berusia 21 tahun, merasa kasihan dengan Beth yang hilang arah, sedang mengalami batuk dan kelihatan tidak sihat.

Dorothy membawa Beth ke rumahnya di Pacific Beach, di mana dia tinggal dengan adik lelakinya Cory dan ibunya Elvera.

Beth dibenarkan tinggal dan tidur di kerusi panjang ruang tamu mereka. Beth meyakinkan mereka bahawa dia sedang memohon pekerjaan di sebuah hospital tentera laut dan tidak akan menyusahkan mereka lebih dari sehari dua.

Dia memberitahu mereka suaminya telah terbunuh dalam peperangan dan menunjukkan obituari Matt Gordon kepada mereka.

Dia dikatakan telah menghitamkan perkataan ‘tunang’ pada obituari itu, mendakwa ia kerana salah cetakan dan telah menulis perkataan ‘isteri’ di situ.

Tetapi hari bertukar minggu, Beth masih tinggal di rumah itu.

Robert Manley

Beth melepak di ruang tamu keluarga French sehingga tengahari, sambil memakai jubah sutera cina. Pakaiannya berselerak di sekitar ruang tamu mereka.

Dia banyak menghabiskan masa menulis surat kepada apa yang didakwanya ‘rakan hubungan Hollywood’.

Malah, walaupun  di sini, Beth tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan teman lelaki. Lelaki itu merupakan antara individu terakhir yang menyaksikannya masih hidup.


Dia ialah seorang jurujual berusia 25 tahun yang telah berkahwin, Robert ‘Red’ Manley. Dia diberi jolokan ‘Red’ kerana rambutnya berwarna merah seperti bara api.

Menurut laporan akhbar, Manley mengambil Beth untuk menumpang keretanya di satu sudut jalan di San Diego.

Red perasan waktu itu yang Beth berdiri seorang diri, seorang wanita cantik yang tidak ada hala tuju jelas.  Red memberhentikan keretanya di tepi jalan, bertanya jika Beth ingin menumpang keretanya.

Pada mulanya Beth jual mahal, tidak memandang ke arah Red, sebaliknya melihat ke arah jalan raya. Tetapi Red meneruskan percakapan, meyakinkan Beth bahawa dia bukan seorang lelaki yang berbahaya. Red hanya ingin menolong Beth, menumpangkannya balik ke rumah.

Red mempunyai seorang anak lelaki yang baru lahir tetapi tertarik kepada Beth.

Bagi Red, ada kalanya Beth kelihatan seperti sedang takutkan sesuatu. Beth memberitahu Red bahawa dia sedang melarikan diri dari seorang ‘teman lelaki yang ganas’.

Bagi keluarga French pula, Beth lebih kelihatan seperti sedang menyembunyikan diri di rumah mereka.

Satu malam, terdapat tiga orang asing: dua orang lelaki dan seorang wanita mengetuk pintu rumah French. Beth dikatakan menyorok di sebuah sudut dan merayu Elvera French supaya tidak membuka pintu.

Akhirnya tiga orang asing tu berlalu dari rumah mereka.

Tahun 1946 semakin sampai ke penghujung, namun tiada perubahan sikap pada tetamu mereka. Puan French sering mengadu pada Dorothy mengenai sikap Beth yang gemar menyelerakkan pakaiannya di ruang tamu.

Dia juga berpakaian agak terdedah dalam jubah sutera longgar di hadapan Cory, adik lelaki Dorothy.

Dorothy masih kasihankan Beth. Namun akhirnya, Dorothy mengalah pada desakan ibunya, dan mereka berdua telah meminta Beth untuk meninggalkan rumah mereka.

Kebetulan baru menerima USD 100 dari Fickling, Beth sememangnya sudah ingin keluar dari rumah itu.

Pada waktu tengahari, 8 Januari 1947, Red Manley telah datang untuk mengambilnya dengan kereta. Beth mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga French dan mereka berdua bergerak ke arah utara.

Pasangan itu singgah untuk bermalam di sebuah motel, tetapi Red mendakwa mereka tidak mengadakan hubungan seks, malah Beth tidur dalam pakaian siangnya.

Malam itu, Red mendakwa terkejut melihat calar yang serius pada lengan Beth. Beth memberitahu, calar itu dibuat oleh ‘bekas teman lelaki ganas’ yang pernah disebutnya. Beth juga berselimut sepanjang malam dan menggigil kerana cuaca terlalu sejuk.

Keesokan harinya, 9 Januari, Red memandu ke Los Angeles bersama Beth.

Sepanjang perjalanan, Beth asyik memandang ke luar tingkap, melihat kenderaan-kenderaan yang melepasi mereka di lebuh raya.

Di satu hentian rehat, Beth telah membuat satu panggilan telefon. Beth kemudiannya memberitahu Red, yang dia akan bertemu kakaknya di Los Angeles, kemudian bergerak ke Berkeley dengan kakaknya, untuk balik kampung di Boston, Massachusetts.

Mereka tiba di Downtown Los Angeles pada waktu petang dan Beth telah mendaftar dan meninggalkan beg pakaiannya di depot bas Greyhound.

Pertemuan dengan pembunuhnya

Pada 6.30 petang, Red telah menghantar Beth ke Hotel Biltmore. Katanya, di situlah dia ingin bertemu kakaknya.

Beth meminta Red melihat-lihat jika kakaknya telah tiba, mendakwa kakaknya seorang wanita berambut perang. Namun begitu, kakak Beth sebenarnya berambut hitam (dia menipu lagi).

Hotel Biltmore ialah jenis tempat yang Beth gemari. Ia hotel yang glamor, penuh dengan pengembara yang kaya raya. Pada tahun 20-an, ia merupakan hotel terbesar di barat Chicago dan mempunyai 1000 bilik.

Red duduk menemani Beth di lobi hotel buat seketika, kemudian meninggalkan Beth di situ walaupun berat hati, ke pangkuan isteri dan anaknya di San Diego.

Untuk beberapa jam kemudian, Beth dilihat oleh pekerja hotel membuat panggilan-panggilan telefon, dan sering melihat ke arah pintu masuk seolah-olah menantikan seseorang.

Pada pukul 10 malam, Beth keluar melalui pintu masuk hotel ke arah selatan Olive Street. Penjaga pintu melihat susuk tubuhnya melenggang, berjalan semakin jauh meninggalkan hotel dan akhirnya hilang lenyap dalam kegelapan malam.

Siapakah yang ingin ditemui oleh Beth?

Itulah kali terakhir Beth dilihat masih hidup. Beth dipercayai telah bertemu dan berada dalam tawanan pembunuhnya pada malam itu juga.

Tiada siapa pada masa itu menyangka bahawa mayat Beth akan ditemui seminggu kemudiannya, di kawasan lapang terbiar dalam keadaan tidak berpakaian, badan terpotong dua dan mulut dikelar sehingga ke telinga. – amazingnara.com

###

Bersambung ke Bahagian 3.

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...