Kisah Pembunuhan Elizabeth Short, ‘The Black Dahlia’ Pada 1947 – Pt 1

Trending

Kisah Pembunuhan Elizabeth Short, ‘The Black Dahlia’ Pada 1947 – Pt 1

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3
Dia pernah dikatakan hanya punya dua cita-cita: untuk menjadi pelakon di Hollywood atau pun berkahwin dengan pegawai tentera. Malangnya, dia tidak mencapai kedua-duanya.

Lot Tanah Kosong

Pada 15 Januari 1947, selepas pukul 10.00 pagi, Puan Betty Bersinger keluar rumahnya yang terletak di Leimert Park bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun.

Advertisement

Di barat Norton, Betty berjalan menolak kereta sorong anaknya menuju ke arah selatan. Tiba di satu lot tanah kosong di kawasan lapang yang dipenuhi rumpai, anak perempuan Betty menunjuk ke arah sesuatu yang pelik di atas rumput di tepi jalan.

Pada mulanya, Betty menyangka dia melihat boneka pakaian yang dibuang orang. Namun, setelah meneliti, jantungnya berdegup laju apabila mendapati ‘boneka’ tersebut sebenarnya ialah mayat seorang gadis, dalam keadaan yang mengerikan.

Terkejut, Betty terjerit lantas bergegas ke rumah berdekatan sambil menolak kereta sorong anaknya untuk menelefon polis.
image
Sebaik saja panggilan dibuat, unit semboyan polis memaklumkan bahawa terdapat mayat ditemui. Maklumat itu namun berjaya dipintas oleh wartawan Los Angeles Examiner, Will Fowler dan jurugambarnya Felix Pagel. Mereka terlebih dahulu sampai ke tempat kejadian.

Walaupun terkejut dengan keadaan mayat gadis itu, mereka telah mengambil gambarnya dari segenap sudut tanpa kehadiran polis.

Terdapat enam buah syarikat akhbar yang bersaing secara sengit di Los Angeles untuk menampilkan berita-berita sensasi dan terkini. Tetapi dua syarikat akhbar iaitu akhbar tengahari Los Angeles Examiner dan akhbar pagi Herald Express memainkan peranan besar dalam penyiasatan kes ini.

Pegawai polis yang paling awal tiba ke lokasi mayat gadis itu ialah Will Fitzgerald dan Frank Perkins, diikuti pegawai atasan mereka, Leftenan Jess Haskins.

Walaupun berpengalaman dan telah melihat dan menyiasat pelbagai kes bunuh, apa yang mereka lihat pagi itu tidak akan dilupakan sepanjang hayat mereka. Tangan mereka menggeletar menyaksikan mayat itu.

Malah wartawan jenayah Herald Express, Aggie Underwood, hampir berundur ke belakang bila sampai di situ setelah terlihat mayat tersebut.

Dua orang detektif kanan dari bahagian jenayah homisid ditugaskan untuk mengetuai siasatan, iatu Harry Hansen dan Finis Brown. Sebaik saja sampai pada tengahari, kawasan itu sudah dipenuhi wartawan, dan orang ramai yang ingin melihat mayat itu dengan lebih dekat.

Sengih yang mengerikan

Perkara pertama yang mereka perasan ialah mayat itu dibunuh di tempat lain sebelum diletakkan di situ. Siapa saja yang meletakkannya di situ, sememangnya mahu mayat itu ditemui, kerana siapa saja yang lalu di tepi jalan boleh melihatnya.

Mayat itu terpotong dua di bahagian pinggang serta tidak berpakaian. Bahagian atas dan bahagian bawah badannya dijarakkan. Tangan mayat didepangkan manakala kakinya dibuka luas seolah-olah sedang beraksi di hadapan kamera.

Polis hairan tiada siapa terserempak mayat itu lebih awal. Apa yang pasti, embun berkumpul di bahagian bawah mayat itu, menandakan mayat itu diletakkan di situ sebelum subuh. Pada pergelangan kedua-dua belah tangan, leher dan kaki terdapat kesan jerutan, menunjukkan dia berkemungkinan diikat dan diseksa sebelum dibunuh.

Mulutnya dikelar sehingga ke telinga di kiri dan kanan, seolah-olah tersengih mengerikan.

Pada permukaan bahu jalan berdekatan mayat, terdapat beberapa titik darah. Satu tapak kasut berdarah yang pudar ditemui berdekatan mayat itu, serta satu kesan tayar kereta berlumpur. Malangnya, gambar kesemua klu ini tidak diambil.

Juga berdekatan mayat itu ialah satu guni simen yang mengandungi air darah. Detektif menyimpulkan bahawa guni itu digunakan untuk mengangkut mayat tersebut sebelum diletakkan di situ.

Pada masa itu, keberadaan pihak media dan orang ramai sebenarnya mungkin telah memusnahkan beberapa klu akibat dipijak dan menyukarkan siasatan.

Ketua Makmal Jenayah  Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Ray Pinker, akhirnya tiba. Menurutnya, keadaan mayat itu sangat teruk sehinggakan sukar untuk menentukan bilakah masa kematiannya. Jangkaan terbaik yang mampu dibuat oleh Pinker ialah gadis itu sudah meninggal dunia tidak kurang dari 10 jam, namun tidak lebih dari 24 jam.

Disebabkan keadaan wajah mayat yang mengerikan, polis meminta seorang artis melukis semula gambaran wajah mayat itu diterbitkan di dada akhbar, bagi meminta orang ramai memberi maklumat mengenai identitinya.

Pada Khamis, 16 Januari, Los Angeles dikejutkan dengan berita penemuan mayat gadis malang itu yang menjadi tajuk muka hadapan kesemua akhbar Los Angeles, meminta orang ramai mengenal pasti wajah gadis yang mayatnya ditemui dengan badan bercerai itu, dan memberi maklumat pada pihak polis.

Hari yang sama, mayat dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematiannya oleh Ketua Pakar Bedah Daerah Los Angeles, Dr Frederick Newbarr, dibantu oleh Timbalan Koroner Victor Cefalu.

Hasil bedah siasat, mangsa dipercayai berusia 15 hingga 20 tahun, mempunyai ketinggian 5 kaki 5 inci (165 cm), dan berat 115 paun (53 kg).

Rambutnya telah diwarnakan merah menggunakan inai dalam masa tidak terlalu dekat kerana bahagian akar telah mula menunjukkan warna sebenar rambutnya iaitu coklat. Beberapa kesan kelar pada badan dibuat dengan kasar dan dengan sengaja.

Tiada bukti serangan seksual telah berlaku kerana mayat tersebut sudah dibersihkan, darahnya telah dikeringkan dan keseluruhan kulitnya diberus menggunakan berus dawai kasar. Oleh itu, sebarang cap jari mahu pun petanda lain tidak dapat dikesan.

Mayat itu dibelah dua menggunakan sejenis pisau tajam dan nipis. Saraf tunjang telah terputus dengan kemas di antara lumbar vertebra kedua dan ketiga, memberi bayangan bahawa pembunuh gadis ini mempunyai pengetahuan mengenai perubatan atau pembedahan pada tahap tertentu.

Malah, ketepatan belahan yang dibuat pada bahagian saraf tunjang dianggap ganjil, kerana bahagian badan lain yang dipotong atau dibelah dengan kasar. Mungkinkah ia perbuatan dua orang pembunuh?

Punca kematian didapati ialah kerana trauma dari beberapa pukulan ke kepala menggunakan objek keras dan tumpul, dan diburukkan lagi oleh kejutan akibat pendarahan kerana mulutnya dikelar hingga ke telinga sewaktu dia berada dalam keadaan sedar.

Pihak polis dan pihak media dua-dua sepakat bahawa walaupun di sebuah bandaraya yang pernah menyaksikan berlakunya jenayah paling kejam, tiada siapa pernah melihat sesuatu seperti ini.

Mereka sepakat bahawa maklumat-maklumat spesifik dan mengerikan mengenai keadaan mayat tidak disebarkan kepada orang ramai untuk mengelakkan pengakuan palsu dari mereka yang bercadang untuk menjadi terkenal sekelip mata hasil publisiti meluas jenayah yang menggemparkan LA itu.

The Black Dahlia

Perkara paling penting yang perlu diketahui ialah: siapakah sebenarnya gadis itu?

Cap jari mangsa telah diambil, dan menggunakan teknologi terbaru ‘fotobunyi’ yang dimiliki oleh syarikat akhbar LA Examiner yang mampu menghantar imej melalui wayar telefon, cap jari itu dicetak dan dihantar kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Washington DC. Pihak juruteknik FBI telah membandingkan cap jari itu dengan 104 juta rekod cap jari dalam simpanan mereka.

Hanya dalam masa sejam, pemilik cap jari itu dikenal pasti sebagai Elizabeth Short, berusia 22 tahun, dengan ketinggian 5 kaki 5 inci (165 cm) dan berat 120 paun (54 kg). Cap jari asal telah diambil pada bulan Januari 1943, semasa Short memohon untuk pekerjaan sebagai kerani di Kem Tentera Cooke, Utara California.

Short juga didapati mempunyai rekod jenayah. Gambar ‘mugshot’ telah diambil semasa Short ditahan kerana minum arak di bawah umur dan gambar itu kini telah diedarkan kepada semua syarikat media.

Ini ialah satu era di mana pihak polis dan pihak media bekerjasama dan saling memerlukan. Pihak media memerlukan maklumat siasatan dari pihak polis manakala polis memerlukan pihak media untuk mengedarkan maklumat bagi mendapatkan maklum balas dari orang ramai untuk membantu siasatan.

Demi mendapatkan scoop, wartawan Examiner telah melakukan sesuatu yang tidak beretika. Mereka telah menelefon ibu Short, iaitu Phoebe Short dan memberitahu bahawa anak gadisnya itu telah memenangi pertandingan ratu cantik.

Gambar: Phoebe dan Beth Short

Setelah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat peribadi mangsa, mereka kemudiannya merasa bersalah dan memberitahu Phoebe perkara sebenar, bahawa anak gadisnya telah ditemui mati dibunuh dalam keadaan mengerikan.

Sebagai menyatakan kekesalan mereka, Examiner telah menawarkan untuk membayar kos perjalanan pergi dan balik Phoebe dan kakak Short, Dottie, ke Los Angeles bagi mengenal pasti mayatnya.

Bette Short

Elizabeth Short membawa aura feminin yang ideal pada tahun 40-an, dengan betis bunting padi, pinggul yang besar dan hidung yang mancung dan kecil. Dia mewarnakan rambutnya yang coklat kepada hitam berkilat, memakai gincu warna merah menyala dan menghias rambutnya dengan bunga putih. Kulitnya putih pucat manakala matanya biru muda, dan dia kelihatan seperti anak patung.

Dari mana dia mendapat jolokan ‘dahlia hitam’ tidak begitu jelas. Ada yang mendakwa rakan-rakannya menggelarnya ‘Black Dahlia’ kerana dia gemar memakai gaun hitam dan juga merujuk kepada sebuah filem 40-an yang berjudul ‘The Blue Dahlia’. Apa pun puncanya, pihak media telah menggunakan jolokan itu untuk melaporkan mengenai Short, dan ia seterusnya menjadikan dia seorang legenda.

Di bandar tempat dia membesar, dia hanya dikenali sebagai “Bette”.

Dilahirkan pada 29 Julai 1924, Hyde Park, Massachusetts, Short ialah anak ketiga dari lima adik beradik perempuan, anak kepada pasangan Cleo dan Phoebe. Semasa zaman kanak-kanak, keluarga mereka berpindah ke arah utara iaitu Medford.

Cleo Short telah menjalankan satu perniagaan yang berjaya dengan membina padang golf mini, tetapi keruntuhan pasaran saham pada 1929 telah menyebabkannya bankrap.

Kini gagal untuk mencari nafkah untuk menyara isteri dan lima anaknya, Cleo telah memandu dan meninggalkan keretanya di sebuah jambatan berdekatan rumahnya, kononnya dia telah membunuh diri dengan terjun jambatan kerana terlalu kecewa.

Beberapa tahun kemudian, Cleo yang masih hidup telah menulis surat meminta maaf dan menyatakan ingin kembali kepada isterinya Phoebe dan anak-anaknya, namun Phoebe enggan menerima Cleo kembali.

Setelah ditinggalkan oleh Cleo, keluarga Short telah berpindah ke satu apartmen kecil, dan Phoebe telah mendapat pekerjaan sebagai penyimpan akaun.

Satu-satunya hiburan buat keluarga Phoebe ketika itu ialah panggung wayang berdekatan apartmen mereka di mana Bette dan adik beradiknya sering menghabiskan masa menonton wayang. Dipercayai dari situlah Bette mula menyimpan impian menjadi seorang aktres.

Bette dilahirkan dengan masalah pernafasan yang kemudiannya menjadi penyakit lebih serius iaitu lelah dan bronkitis apabila dia semakin membesar. Semasa berusia 16 tahun, Phoebe telah menghantar Bette ke Miami yang bercuaca panas supaya dia dapat bernafas dengan baik dan Bette telah bekerja sebagai pelayan restoran di situ untuk mendapatkan wang saku.

Semasa berusia 19 tahun, Short telah meminta wang dari bapanya, Cleo yang kini tinggal dan bekerja di Vallejo, yang terletak di bahagian atas San Francisco, California. Short yang ingin mengejar cita-cita menjadi aktres, telah menggunakan wang yang dihantar oleh Cleo untuk menaiki keretapi merentasi negeri-negeri ke rumah bapanya itu, dan merancang untuk menumpang tinggal di situ.

Si Comel Kem Tentera

Sejak awal lagi, hubungan Short dengan bapanya tidak begitu baik. Kali terakhir Short bertemu bapanya ialah semasa berumur enam tahun.

Cleo sebenarnya menyesali perbuatan meninggalkan keluarganya. Mereka berdua seperti orang asing yang tinggal di rumah yang sama, dan punya pandangan berbeza tentang apa yang patut dilakukan.

Cleo sebenarnya mahu anak gadisnya untuk bertugas seperti orang gaji di rumahnya, iaitu memasak dan mengemas. Tetapi Short sebenarnya ingin bebas dan tidak mahu terkurung dalam rumah.

Short telah mendapat pekerjaan di bilik surat menyurat Kem Tentera Cooke (kini dikenali sebagai Pengkalan Tentera Udara Vandenberg) di Lompoc, yang jaraknya dua setengah jam dari Los Angeles. Untuk gambar hitam putih yang diambil bagi pas pekerjaannya, satu menunjukkan dia memandang kamera dan satu lagi dari bahagian tepi.

Semasa di Kem Cooke, Short dikelilingi oleh rejimen askar-askar kesepian yang sedang menunggu untuk dihantar ke medan perang. Dia menyebabkan mereka semua berangan-rangan apabilla melihatnya berjalan.

Pemuda-pemuda itu berusaha untuk menarik perhatian Short, dan mengundi untuk menggelarnya ‘Si Comel Kem’.

Namun begitu, dia telah diberhentikan dari kem apabila ditahan di Santa Barbara kerana minum arak di bawah umur, dan telah dihantar pulang ke Medford.

Harapan yang hancur

Untuk beberapa tahun kemudiannya, Short berulang alik merentasi negeri, menaiki keretapi dari Medford ke Chicago, kemudian Florida, ke California dan balik ke Massachusetts.

Untuk menyara hidupnya, Short telah bekerja sebagai pelayan restoran dan menikmati hidup dengan menimba pengalaman dan bertemu orang baru. Dia gemarkan kehidupan seperti itu.

Dia sering ke kelab malam di mana dia menari kepada irama Jazz dan Bebop. Dia sukakan muzik, lelaki dan atmosfera seperti itu.

Tetapi pada hari terakhir Disember 1944, sikapnya yang suka berpelesiran berubah apabila bertemu dengan seorang pemuda, Mejar Matthew Gordon, seorang juruterbang Flying Tigers. Dia menghantar surat kepada ibunya, Phoebe:

Saya telah berkenalan seseorang di ambang tahun baru. Seorang Mejar tentera, Matt Gordon. Saya benar-benar jatuh cinta, saya rasa semua orang boleh nampak.

Dia mengagumkan, tak seperti lelaki lain. Dan dia telah melamar saya untuk menjadi isterinya.

Musim panas itu, Short kembali ke Medford dengan memakai pin-pin juruterbang di gaunnya, dan telah menyimpan satu ‘peti harapan’ di mana dia meletakkan riben dan kain lace yang dihantar oleh Gordon kepadanya dari Filipina.
image
Namun kebahagiaan Short tidak kekal lama. Dia tidak menyangka sama sekali satu telegram yang dihantar oleh pekerja Western Union yang berbasikal ke rumahnya membawa satu khabar buruk.

Jepun telah menyerah kalah pada 14 Ogos, dan Short sebenarnya sudah berhenti rasa bimbang Matt akan terbunuh dalam peperangan. Sebaliknya, dia berangan-angan tentang perkahwinan mereka, tentang gaun perkahwinan yang dijahit dari sutera putih, tentang susunan bunga dan tentang fesyen rambutnya untuk hari perkahwinan.

Penghantar mesej berhenti di depan rumah Short, dan ianya dihantar oleh ibu tunangnya.

Matt terbunuh dalam kemalangan kapal terbang dalam perjalanan pulang dari India. Saya bersimpati dengan kamu. Doa yang ini semua tidak pernah terjadi.

Short menghabiskan hari-hari selepas itu seperti dalam mimpi, menghabiskan masa membaca kembali surat-surat kiriman Matt berulang kali.

Apabila musim sejuk tiba, Short kembali ke Miami yang bercuaca panas, membawa bersama penyata kematian (obituari) Matt yang tersimpan kemas dalam beg pakaiannya dan impian perkahwinan yang telah musnah. – amazingnara.com

###

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...