Empat hari selepas sampel DNA Shahril Jaafar diambil oleh pihak polis untuk membantu siasatan kes pembunuhan Chee Gaik Yap, lelaki itu telah meninggalkan Malaysia dan tinggal di Australia selama tiga tahun.
Namun pihak polis tidak berhasrat untuk melepaskan Shahril begitu saja. Dia kini berada dalam senarai ‘dikehendaki’ untuk siasatan pembunuhan wanita itu yang berlaku pada tahun 2006.
Pada bulan November 2011, polis mendapat maklumat bahawa Shahril akan pulang ke Malaysia secara senyap. Jadi, pada 17 Januari 2012, lelaki itu ditahan setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.
Kami tidak pernah menutup penyiasatan untuk kes ini. Malah, kami mengemaskini petunjuk baru berkenaan kes ini setiap dua minggu sejak ia berlaku.
Polis telah bekerjasama dengan rakan kami di negara lain untuk mengesan suspek.
Polis kemudiannya mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap Shahril (ketika itu berusia 31 tahun) dari Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Pada 31 Januari 2012, Shahril telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Chee Gaik Yap di antara pukul 5.30 petang, 13 Januari 2006, dan 3.05 pagi, 15 Januari 2006 di kawasan kelab golf Cinta Sayang. Memakai pakaian lokap berwarna ungu, Shahril kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan kepadanya oleh Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Berasal dari Pengkalan Jaya, Bukit Kechil di Ayer Keroh, Melaka, dia dituduh melakukan jenayah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya didapati bersalah.
Shahril tidak diwakili peguam, manakala dia didakwa oleh Timbalan Pendakwaraya Awam, Lin Cheah Yit.
Bagaimanapun, satu keputusan yang mengejutkan telah dicapai oleh mahkamah pada 25 Jun 2013. Hakim Datuk Zaki Abdul Wahab mendapati Shahril, 32, tidak bersalah atas pertuduhan ke atasnya kerana pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie.
Zaki berkata bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa tertuduh telah menikam mangsa.
Dia menambah bahawa DNA Shahril mempunyai persamaan dengan air mani yang ditemui pada mangsa tetapi ia bukan padanan yang sepenuhnya, dan terdapat kebarangkalian yang terdapat orang ketiga yang menyumbang kepada profil DNA air mani tersebut.
Zaki berkata, Shahril tinggal berdekatan kawasan mayat Gaik Yap dtemui dan itu ialah bukti berdasarkan keadaan (bukan bukti langsung), dan keluarga Shahril memiliki sebuah kereta Naza Ria warna hitam bercermin gelap yang mempunyai persamaan dengan kereta yang dilihat oleh Gaik Choon pada hari kejadian, bagaimanapun ia hanya kebetulan. Tambahnya:
Ia tidak membuktikan bahawa Shahril telah memandu kereta itu (pada hari kejadian) ataupun telah melakukan pembunuhan tersebut.
Setelah mendengar keputusan hakim, Shahril telah berjalan keluar dari kamar tertuduh ke perkarangan mahkamah dan berhenti di hadapan pemberita dan jurugambar yang mengambil gambarnya. Dia kelihatan terpegun.
Bagaimanapun dia dipanggil masuk semula ke dalam mahkamah oleh anggota polis.
Namun begitu, Ah Sau, bapa Gaik Yap, teramat kecewa dengan keputusan tersebut dan telah cuba untuk terjun dari tingkat dua bangunan mahkamah itu sebaik saja keputusan dibacakan.
Dalam peristiwa yang berlaku waktu tengahari, Ah Sau berjaya dihalang dari terjun oleh beberapa orang pemberita. Wartawan Guang Ming Daily, Elaine Teng memegang bahunya, manakala jurugambar TV9, Fadzilah Hashim memeluk leher Ah Sau dengan lengannya bagi menghalang lelaki itu dari membunuh diri. Beberapa orang pemberita lain menjerit dalam bahasa Hokkien meminta Ah Sau supaya tidak terjun.
Ah Sau asyik menangis setelah diselamatkan. Anggota polis dan rakan-rakannya meminta lelaki itu untuk bertenang dan tidak bertindak terburu-buru. Kata Ah Sau kepada pemberita:
Saya mahu keadilan untuk anak perempuan saya.
Saya dah tunggu sangat lama tetapi berakhir begini.
Dia meninggalkan bangunan mahkamah kira-kira lima minit selepas insiden itu bersama isterinya, dengan menaiki kereta rakannya. Ah Sau memberitahu pemberita beberapa hari selepas kejadian:
Saya sangat sedih dengan keputusan itu dan tidak boleh berfikir dengan waras. Saya bersyukur kepada mereka yang telah menyelamatkan saya.
Sementara itu, beberapa orang ahli parti politik MCA mengadakan demonstrasi aman di bandar Sungai Petani, membantah keputusan mahkamah. Mereka juga membuat laporan polis, meminta siasatan semula dilakukan untuk kes rogol dan bunuh Gaik Yap. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, memberitahu yang polis tidak dapat membuka semula siasatan kes kerana mahkamah telah pun membuat keputusan.
Ketua Unit Pendakwaraya Kedah, Datuk Razali Che Ani memberitahu dia telah memajukan kes tersebut kepada Ketua Peguam Negara untuk memutuskan sama ada rayuan patut difailkan.
Dalam usahanya untuk mendapatkan keadilan bagi Gaik Yap, Ah Sau telah merayu bagi ahli politik dan peguam Karpal Singh, untuk membantunya. Dia telah mengaturkan perjumpaan dengan Karpal beberapa hari selepas mahkamah membuat keputusan melepaskan Shahril. Ah Sau memberitahu:
Saya tak mahu duit. Tak mahu derma, apa pun saya tak nak. Apa yang saya mahu ialah untuk keadilan ditegakkan dan penjenayah yang membunuh anak saya dihukum.
Pihak media diberitahu yang Karpal akan membantu Ah Sau menulis kepada Ketua Peguam Negara untuk meminta pihak pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Kami juga akan meminta tertuduh ditahan sehingga rayuan difailkan di mahkamah kerana sebelum ini dia pernah melarikan diri keluar negara.
(Nota: Karpal Singh telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Perak pada 17 April 2014)
Pada 12 Januari 2014, ratusan orang berhimpun di Wat Damrong Ratanaram (juga dikenali dengan nama Wat Siam) di Kampung Raja, Sungai Petani untuk memperingati Gaik Yap. Mereka juga mendesak pihak Ketua Peguam Negara untuk memberikan keputusan mengenai rayuan bagi perbicaraan semula kes Gaik Yap.
Antara permintaan mereka yang lain ialah untuk pihak polis mencari dan menghukum pembunuh Gaik Yap, meminta mahkamah untuk merampas pasport Shahril, menambah pertuduhan rogol dalam pendakwaan Shahril bagi mengembalikan keyakinan orang ramai ke atas sistem kehakiman negara, serta meminta Parlimen Malaysia memantau keputusan-keputusan yang dibuat di pejabat Ketua Peguam Negara. Perhimpunan itu diadakan atas inisiatif Ah Sau, yang bagaimanapun tidak bercakap kepada pemberita kerana asyik menangis sepanjang perhimpunan tersebut.
Rayuan Ah Sau telah diterima. Pada Isnin, 13 Oktober 2014, dalam Mahkamah Rayuan, Timbalan Pendakwaraya Awam, Awang Amardajaya Awang Mahmud memberitahu yang empat palitan cecair dan darah yang diambil dari anggota sulit mangsa mempunyai padanan 100% dengan DNA Shahril. Dia juga menambah, Shahril lari ke Australia selepas empat hari sampel DNAnya diambil polis, memberi bayangan yang dia sedang melarikan diri dari sesuatu.
Awang memberitahu, palitan kelima pada alat sulit si mati mempunyai “foreign loci” (bahan asing) yang mungkin disebabkan pencemaran kerana mayat mangsa ditemui dalam semak.
Peguam Shahril bagaimanapun dalam kenyataan balas, menyatakan yang walaupun DNA dibuktikan milik Shahril, ia bukan bukti Shahril telah membunuh Chee (Gaik Yap) kerana tiada bukti yang seks telah berlaku antara mereka dengan paksaan Shahril.
Walaupun begitu, Shahril yang dituduh membunuh Chee Gaik Yap akhirnya telah diperintahkan untuk dibicarakan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Alor Setar. Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Linton Albert, yang turut melibatkan Hakim Mohtarudin Baki dan Hakim Abdul Rahman Sebli, sebulat suara mengetepikan keputusan tidak bersalah dan pembebasan Shahril sebelumnya, serta memerintahkan Shahril membela diri.
Oleh itu, kami juga memerintahkan Shahril ditahan reman.
Ah Sau telah menerima keputusan itu dengan rasa lega.
Walaupun begitu, Shahril telah memberi satu kenyataan mengejutkan kepada mahkamah mengenai Gaik Yap dalam kenyataan pembelaan dirinya pada 28 Disember 2014.
Shahril, 33, mendakwa dalam kenyataan membela diri pada Mahkamah Tinggi, pada kira-kira jam 3.00 petang 14 Januari 2006, dia menelefon seorang lelaki bernama ‘Wayne’ untuk mendapatkan seorang gadis bagi mengadakan hubungan seks setelah Shahril menonton video lucah awal hari itu.
Saya beritahu dia (Wayne), saya mahukan seorang gadis bukan Melayu berusia 20-an.
Pada pukul 4.00 petang, Wayne telefon saya semula dan berkata yang dia telah aturkan saya dengan seorang gadis untuk bertemu berdekatan Kelab Cinta Sayang.
Dia kata gadis itu akan cari saya dan pada pukul 5.00 petang, saya menunggu dalam kereta berhampiran kelab tersebut. Si mati tiba-tiba muncul dan ketuk tingkap kereta saya.
Setelah memperkenalkan diri, saya minta dia duduk di tempat duduk belakang kereta. Dia minta RM 350 dan tanpa bertangguh, kami mengadakan hubungan seks.
Shahril yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman juga memberitahu yang dia tidak menggunakan kondom.
Dia menambah yang sewaktu Gaik Yap meninggalkannya, mangsa berada dalam keadaan masih hidup dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Itu kali pertama dan terakhir saya jumpa dia. Saya kemudiannya tahu tentang mayat ditemui di luar kelab pada hari berikutnya, dan saya cuma dapat tahu mayat itu ialah Chee (Gaik Yap) hari selepas itu apabila membaca suratkhabar.
Selepas itu, Shahril mendakwa ‘Wayne’ tidak dapat dihubungi melalui telefon.
Setelah itu, Ketua Unit Pendakwaraya Kedah telah meminta mahkamah mempertikaikan bapa tertuduh, Datuk Jaafar Jamaluddin, kerana percanggahan kenyataannya kepada polis sewaktu disoal siasat pada tahun 2012 dengan testimoni terbarunya kepada mahkamah.
Jaafar yang merupakan saksi tertuduh, menafikan sesetengah kenyataannya yang dibuat kepada polis pada 2012 bahawa dia, isterinya dan Shahril telah membuang sebilah pisau ke dalam tong sampah pada 15 Januari 2006 berdekatan pasar malam Taman Ria. Dalam kenyataan terbaru kepada mahkamah, dia berkata dia tidak tahu-menahu mengenai kewujudan pisau.
Dia juga mengatakan kepada polis bahawa dia menjual Naza Ria miliknya kerana ia digunakan untuk membunuh (Gaik Yap) tetapi dalam kenyataan terbaru dia mendakwa menjual Naza Ria tersebut untuk membeli kereta yang lebih besar.
Jaafar mendakwa dia terburu-buru semasa membaca semula kenyataan tersebut dan mungkin telah terlepas pandang kesalahan pada kenyataan itu sewaktu menurunkan tandatangannya.
Peguam Shahril, Shamsul Sulaiman berhujah yang prosiding pertikaian tersebut tidak perlu diteruskan kerana percanggahan kenyataan Jaafar tidak serius. Katanya:
Seorang saksi hanya patut dipertikaikan jika terdapat percanggahan barang bukti yang boleh mempengaruhi pensabitan kes.
Setelah itu, pada 30 Disember 2014, ASP Zainal Omar Mahmud, 54, telah dipanggil ke mahkamah untuk memberi kenyataan. Zainal telah merekodkan kenyataan dari Datuk Jaafar Jamaludiin bahawa dia, isterinya dan anaknya Shahril telah membuang sebilah pisau ke dalam tong sampah berhampiran pasar malam Taman Ria. Zainal juga memberitahu yang Jaafar mendakwa telah menjual Naza Ria miliknya kerana ia digunakan dalam pembunuhan sewaktu disoal siasat.
Kenyataan bapa tertuduh itu telah direkodkan pada 22 Januari 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.
Zainal kemudiannya ditanya oleh peguam Shahril, Shamsul Sulaiman sama ada dia sedar bahawa kenyataan Jaafar bermaksud dia mungkin telah bersubahat dalam melakukan jenayah (dengan Shahril). Zainal memberitahu bahawa walaupun dia mempunyai kuasa untuk menahan Jaafar atas kenyataan tersebut, dia tidak berbuat demikian kerana tidak mendapat arahan dari ketuanya, iaitu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah waktu itu: ACP Mohd Zakaria Ahmad.
Peguam Shahril, seterusnya semasa prosiding pertikaian kenyataan Datuk Jaafar Jamaluddin, telah menumpukan untuk mempersoalkan kredibiliti Zainal selaku pegawai polis yang menyoal siasat Jaafar.
Shamsul mendakwa Zainal seorang saksi yang tidak boleh dipercayai serta seorang penipu kepada mahkamah pada 23 Mac 2015. Shamsul mendakwa Zainal tidak boleh dipercayai kerana sering menjawab “Saya tak tahu”, “Saya tak pasti” dan “Saya tak ingat”. Tambahnya:
Dia (ASP Zainal) juga mendakwa tidak kenal dan tidak pernah berhubung dengan Datuk Jaafar Jamaluddin, walaupun dia pernah menjemput Jaafar ke rumahnya untuk menghadiri kenduri tahlil.
Zainal sebelum itu memberitahu Timbalan Pendakwaraya Awam, Salim Shoib, bahawa isterinya telah menjemput Jaafar (ke kenduri itu).
ASP Zainal hanya membacakan sebahagian kenyataan dari monitor komputer dan sebahagian lagi kandungan kenyataan itu tidak dibacakan. Jaafar juga tidak diberikan salinan kenyataan tersebut.
Salim pula menyatakan Zainal telah merekodkan kenyataan beramaran Jaafar seperti di bawah Seksyen 112 Kod Prosedur Penjenayah (CPC).
Jaafar telah menulis namanya pada setiap muka surat dan dibenarkan membaca kenyataannya sebelum menandatangani kenyataan tersebut.
Akhirnya, pada 9 Ogos 2015, Shahril Jaafar, 34, telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh Chee Gaik Yap pada tahun 2006. Shahril kelihatan tenang sewaktu keputusan dibacakan oleh Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.
Mohd Zaki berkata pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan itu.
Saya tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman mati, satu-satunya hukuman yang termaktub dalam Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Chee Ah Sau kini boleh menarik nafas lega kerana dia telah berjaya mendapatkan keadilan untuk anak perempuannya, Gaik Yap. Kesedihan dan tekanan yang dirasakan oleh dia dan keluarga selama sedekad lamanya sudah berakhir.
Dalam kenyataan impak kepada mahkamah, Ah Sau, 60, yang bekerja sebagai tukang kayu mengatakan dalam bahasa Hokkien yang Gaik Yap mungkin sedang bekerja di Jerman sekiranya masih hidup pada hari ini.
Dia (Shahril) mengatakan anak saya seorang pelacur, sedangkan anak saya ialah seorang graduan universiti.
Sementara itu, peguam Shamsul Sulaiman mendakwa masalah dalam hidup Shahril berpunca dari penyalahgunaan dadah oleh lelaki itu, yang kini telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Pada 29 November 2016, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman mati kepada Shahril kerana membunuh Chee (Gaik Yap) 10 tahun lalu.
Satu panel penghakiman yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, dalam satu keputusan sebulat suara, mengetepikan rayuan pesalah.
Dalam keputusannya, Hakim Mohd Zawawi berkata keputusan Mahkamah Tinggi adalah disokong dengan bukti, dan hakim perbicaraan tidak membuat sebarang kesalahan yang memerlukan campurtangan Mahkamah Rayuan.
Dua orang hakim lain yang terbabit dalam keputusan ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim.
Sebelum ini, penguam Shahril, Shamsul Sulaiman, memberitahu yang kliennya bukan penyebab kematian Chee, walaupun mengakui telah berjumpa wanita itu pada petang insiden itu berlaku dan Chee masih hidup waktu Shahril meninggalkannya.
Timbalan Pendakwaraya Awam, Hamdan Hamzah berhujah bahawa kenyataan membela diri oleh Shahril, merupakan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, dan hanya sesuatu yang difikirkan selepas kejadian sebagai alasan melepaskan diri dari disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh.
–amazingnara.com
Sumber: Variasi artikel di Internet dan The Star