Kisah Pembunuhan Chee Gaik Yap Pada Tahun 2006-Pt 1

Trending

Kisah Pembunuhan Chee Gaik Yap Pada Tahun 2006-Pt 1

Pada pukul 6.00 petang Sabtu, 14 Januari 2006, Chee Gaik Yap, 25, menemani adiknya yang ingin berjoging di Taman Ria Jaya, berhampiran rumah mereka di Sungai Petani, Kedah. Ini ialah kerana Gaik Yap bimbang akan keselamatan adiknya itu yang bernama Chee Gaik Choon, 24.

Gaik Yap ialah seorang graduan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan baru menempuh alam pekerjaan. Dia memang gemar bersukan dan memiliki tali pinggang hitam dalam seni pertahanan diri, taekwon-do.

Advertisement

Petang itu, dia menyarungkan t-shirt berwarna kuning cair. Bersama adiknya, dia menaiki motosikal dan selepas meletakkan motosikal berhampiran taman tersebut, Gaik Yap dan Gaik Choon mula berjogging.


 photo gaikyap2.jpg

Segalanya berjalan lancar dalam kehidupan Gaik Yap waktu itu. Dia sudah bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran di sebuah kilang. Walaupun baru bekerja, kilangnya telah menjadualkan untuk dia dihantar ke Jerman minggu selepas itu, dan semangatnya juga berada pada tahap tertinggi.

Anak ketiga dari enam adik beradik, Gaik Yap mempunyai teman lelaki bernama Luo Zhengqing, 25, seorang warganegara China yang dikenali sewaktu belajar di UUM. Perhubungan mereka telah terjalin selama tiga tahun. Menurut seorang saudara Gaik Yap:

Dia berwajah paling cantik dalam keluarganya.

Setelah mula berjogging, Gaik Choon mendapati dirinya tertinggal ke belakang. Ini ialah kerana Gaik Yap ialah seorang yang aktif bersukan dan seorang yang atletik, mudah saja dia berjogging lebih pantas dan jauh dari Gaik Choon.

Gaik Choon tidak dapat mengejar Gaik Yap, jadi hanya berjogging perlahan, tetapi lama kelamaan, dia sudah tidak nampak kelibat kakaknya itu.

Semasa berjogging perlahan ini, Gaik Choon terlihat satu kenderaan MPV Naza Ria warna hitam telah dipandu melepasinya. Tidak lama kemudian, Naza Ria tersebut memecut berpatah ke belakang semula.

Di hujung perjalanan, Gaik Choon langsung tidak nampak di mana kakaknya. Dia membuat keputusan untuk pulang ke rumah, namun terkejut apabila mendapati Gaik Yap juga masih belum pulang ke rumah.

Keliru, Gaik Choon kembali ke taman tersebut, dan cuba lalu di trek joging mereka. Apa yang sangat mengejutkan Gaik Choon, ialah dia terjumpa sebelah kasut joging kakaknya di tepi jalan, dan terdapat kesan darah berhampiran kasut itu.

Gaik Choon terus berjumpa dengan seorang pegawal keselamatan di sebuah komuniti taman berpagar berhampiran dengan kelab golf untuk memberitahu penemuannya, namun pengawal tersebut tidak membuat sebarang tindakan lanjut. Kata pengawal itu:

Ia mungkin hanya darah dari kemalangan lain yang berlaku di situ.

Gaik Choon bergegas pulang ke rumah dan memberitahu ibu mereka, Lim Kim Nai, 47 tentang penemuan itu dan mereka terus membuat laporan polis.

Satu pasukan pencari yang terdiri dari 40 orang anggota polis telah dihantar ke taman tersebut untuk mencari Gaik Yap dari 7.00 petang hingga 12.30 malam, namun kehilangan Gaik Yap tidak meninggalkan kesan.

Hanya pada pukul 2.30 pagi, seorang penunggang motosikal melaporkan kepada polis yang dia telah menemui mayat seorang wanita berdekatan dengan sebuah kelab golf. Ia ialah mayat Chee Gaik Yap.

Gaik Yap dijumpai telah dibunuh kejam. Dia mempunyai kesan luka di kepala, dan lehernya telah dikelar. Dia terlentang di dalam semak dalam keadaan separuh bogel, hanya memakai t-shirt yang terangkat separas leher dan bra berwarna hitam.

Satu cecair yang berminyak didapati pada anggota sulitnya. Tidak dapat dipastikan sama ada ia ialah kesan air mani mahupun sejenis cecair lain. Sampel cecair itu telah dihantar untuk ujian oleh pihak forensik. Gaik Yap bukan saja didapati telah dirogol, malah dia juga telah diliwat.

Pihak polis percaya yang Gaik Yap telah diculik oleh beberapa lelaki dalam kereta Naza Ria yang dilihat memecut oleh Gaik Choong pada petang kejadian.

Ahli keluarga Gaik Yap merasa sangat kecewa dengan apa yang terjadi. Semasa ibunya dipanggil untuk membuat pengecaman mayat, dia tidak cam bahawa itu ialah Gaik Yap kerana t-shirt yang dipakai oleh wanita itu sewaktu keluar berwarna kuning cair, tetapi t-shirt yang tersarung pada mayat itu berwarna merah.

Kemudian ibunya menyedari t-shirt itu berwarna merah kerana ia basah dengan darah Gaik Yap. Bapanya, Chee Ah Sau, 57, pula merasa amat marah dengan pembunuh dan perogol anak gadisnya itu:

Mereka sudah pun rogol dia, kenapa mesti bunuh dia pula?


 photo gaikyap3.jpg

Di hari pengebumian Gaik Yap di bangunan Persatuan Yee Ah Fong, Jalan Sekerat, bapa dan ibunya tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka. Berkata kepada pihak media:

Gaik Yap mempunyai masa depan yang cerah dan berpotensi. Dia pelajar yang pintar dan seorang anak yang taat.

Semua ini tak masuk akal. Kenapa ada orang sampai hati bunuh anak saya?

Rakan sekerja Gaik Yap, Goh Tsing Ew, menceritakan wanita itu sebagai seorang yang peramah dan rajin. Dia telah mengenali Gaik Yap selama enam bulan sebelum kematiannya:

Dia beritahu saya sudah lama tidak berjoging kerana sibuk sejak mula bekerja. Biasanya, ibunya yang teman dia berjoging tapi pada hari itu ibunya sibuk dan minta adiknya yang temankan.

Menurut teman lelakinya Luo Zhengqing yang turut disiasat polis:

Dia seorang yang baik. Sepanjang perhubungan, kami tak pernah bergaduh.

Pihak polis percaya bahawa Gaik Yap telah diekori dan diculik oleh penyerangnya menggunakan MPV Naza Ria sebelum dirogol, diliwat dan dibunuh.Enam orang suspek telah ditahan reman oleh polis pada 15 Januari untuk siasatan lanjut.

Enam lelaki itu, berusia antara 20 hingga 40 tahun merupakan pekerja di kelab golf berdekatan mayat Gaik Yap ditemui. Adalah dipercayai tisu dengan kesan kesatan air mani telah ditemui berhampiran kelab tersebut.


 photo gaikyap4.jpg

Dua minggu kemudian, enam dari mereka yang ditahan reman bagi siasatan pembunuhan Gaik Yap telah dibebaskan. Ini ialah kerana profil DNA mereka tidak sama dengan sampel air mani yang diperolehi polis.

Ah Sau, bapa Gaik Yap menyuarakan kebimbangan kerana pembunuh masih belum ditemui:

Saya harap pihak polis dapat memberi sedikit jawapan segera. Jika tidak, kami tak dapat terima kematian Gaik Yap.

Tahun itu, keluarga Gaik Yap tidak menyambut Tahun Baru Cina kerana berkabung.

Tidak lama selepas itu, hasil maklumat orang ramai, 12 orang lagi, kesemuanya pekerja warga asing berusia 20-an di kelab rekreasi yang sama, ditahan untuk penyiasatan. Bagaimanapun kesemua 12 orang suspek tersebut telah dibebaskan dua minggu kemudiannya kerana profil DNA mereka juga tidak sepadan.

Walaupun begitu, tujuh daripada mereka, dihantar ke Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Seorang suspek berusia 37 tahun juga ditahan reman di sebuah rumah kemudiannya. Namun begitu, dia juga dibebaskan kerana profil DNA tidak sepadan. Kata Ah Sau:

Apa lagi yang dapat saya katakan. Jika profil DNA tidak sepadan, tak mungkin mereka yang bunuh anak saya. Hingga keadilan ditegakkan, baru roh anak saya boleh bersemadi dengan aman.

Terdapat satu khabar angin yang berlegar mengatakan keluarganya telah ‘dibayar’ oleh pembunuh Gaik Yap untuk mendiamkan diri, namun dinafikan oleh Ah Sau.

Setiap hari kami menunggu perkembangan terbaru.

Tanpa dijangka, setahun berlalu, namun tiada perkembangan lanjut mengenai kes Gaik Yap. Ketua Polis Daerah Kuala Muda,  Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis tiada petunjuk baru berkenaan pembunuh Gaik Yap.

Sementara itu, keluarga Gaik Yap terus aktif mengadakan pertemuan dan kempen dengan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan menuntut keadilan buat Gaik Yap.

Bagaimanapun, hanya pada tahun 2009, tiga orang suspek terbaru ditahan reman oleh polis berkaitan pembunuhan Gaik Yap. Salah seorang daripada suspek itu ialah Shahril Jaafar, yang ketika itu berusia 28 tahun. Dia merupakan seorang jurujual kereta, dan dikhabarkan sebagai anak kepada seorang berpengaruh yang bergelar Datuk.

Shahril tinggal berdekatan dengan kelab golf yang berhampiran mayat Gaik Yap ditemui, dan keluarganya memiliki satu MPV Naza Ria bercermin gelap yang berpadanan dengan ciri-ciri MPV yang dilihat oleh adik mangsa, Gaik Choon, pada hari kejadian.


 photo nazahitam.jpg

Setelah ditahan polis, Shahril dibebaskan apabila keluarganya membayar jaminan.

Tanpa disangka, sementara menunggu keputusan DNA, Shahril telah meninggalkan Malaysia dan melepaskan diri  ke Australia.

Untuk tiga tahun berikutnya, Shahril terus menetap di Australia dan kelihatan seperti tidak akan pulang lagi.

P/S: Bersambung ke Bahagian Dua

Sumber: Variasi artikel di internet dan The Star

Bahagian 1 | Bahagian 2

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...