Kisah Pembunuhan Adrian Jones, Didera Sehingga Mati Dan Jasad Diberi Makan Kepada Babi Oleh Bapa Dan Ibu Tiri

Trending

Kisah Pembunuhan Adrian Jones, Didera Sehingga Mati Dan Jasad Diberi Makan Kepada Babi Oleh Bapa Dan Ibu Tiri

Wajah bapa kepada Adrian  Jones, 7, tidak menunjukkan sebarang emosi apabila dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan minimum 25 tahun penjara di Mahkamah Kansas City dua hari lepas.

Memakai pakaian biru tentera laut dan baju belang penjara, serta kasut Crocs warna oren, Michael Jones, 46, bekas penjamin bon, enggan memandang apabila nenek Adrian, adik dan ibunya memberi keterangan di mahkamah.

Advertisement

Dia telah mengaku bersalah untuk pertuduhan membunuh dengan niat anak lelakinya itu yang berlaku pada tahun 2015.

Isterinya Heather, 31, sudahpun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana mendera Adrian dan sedang menjalani hukuman itu di Topeka.

Gambar: bapa Adrian, Mike Jones

Gambar: Ibu tiri Adrian, Heather Jones

Badan Adrian tinggal tulang saja apabila dia meninggal dunia. Bulan-bulan terakhir hidupnya seperti neraka dunia. Dia dikurung di belakang pintu plywood dalam sebuah bilik mandi, dipaksa berdiri semalaman dalam kolam berisi air kotor dan sejuk separas leher, diikat, dimangga, dibiarkan kebuluran dan dipukul.

Ibu tirinya memanggil Adrian ‘budak lelaki’, bukan dengan nama yang telah diberi kepadanya. Ibu tiri Adrian menjaga enam anak perempuan mereka yang lain, tetapi mendera Adrian dengan cara yang paling teruk sekali.

Sudah mati pun, Adrian masih mahu diseksa. Dia tidak dikebumikan dalam erti kata sebenarnya, sebaliknya jasad kaku Adrian dijadikan makanan babi yang dibeli bapanya khusus untuk menyingkirkan mayatnya.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah dimahkamah untuk mengelakkan dijatuhkan hukuman penjara yang lebih panjang.

Bagaimanapun, walaupun Jones sudah mula menjalani hukuman penjara, ramai yang mempersoalkan bagaimana sistem telah gagal menyelamatkan Adrian yang hanya berusia tujuh tahun, tetapi tiada siapa dapat memberikan jawapan.

Ibu Adrian, Dainna Pearce, kehilangan hak penjagaan Adrian kepada Mike pada tahun 2012 setelah bercerai. Sejak itu, dia tidak menjenguk anaknya. Kali akhir dia bertemu Adrian, kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat dan gembira.

Nenek Adrian (ibu Dainna), Judy Conway, melobi agar satu siasatan awam dijalankan untuk mengetahui mengapa tiada seorang pun telah menyelamatkan Adrian, yang menjalani kehidupan penuh kesakitan selama setahun sebelum dia akhirnya menyerah.

Pasangan Jones mendokumentasikan penderaan yang mereka lakukan terhadap Adrian dengan mengambil berdozen gambar dan video.

Di Kansas, terdapat 15 kes penderaan seperti ini dan hanya dua kali pihak berkuasa mengaku kesalahan mereka. Sehingga kini, saya tak terima sebarang fail kes Adrian.

Judy telah menulis kepada Gabenor Sam Conway untuk menyatakan kekecewaannya. Katanya sambil menggelengkan kepala:

Tapi saya tak terima apa-apa maklumbalas.

Kisah Adrian Jones mengejutkan penduduk Kansas dan negeri-negeri sekitarnya. Perbuatan ibu tiri dan bapa Adrian terdedah apabila Heather, memberi kata laluan komputernya kepada pemilik rumah sewanya kerana dia ingin menghantar gambar-gambar anak-anaknya semasa menunggu perbicaraan hak penjagaan.

Pemilik rumah sewa itu, Jennifer Hoevers, ibu anak empat, rasa tidak percaya apa yang dilihatnya apabila dia klik gambar-gambar penderaan Adrian yang tersimpan dalam komputer Heather.

Rumah setingkat empat bilik yang disewa pasangan Jones dari Hoevers pada tahun 2014. Ia sangat jauh dari rumah-rumah lain jadi tiada siapa mendengar Adrian menjerit

Terdapat satu video Adrian sedang menggeletar kesejukan semasa berdiri di luar rumah, dengan tangan dimangga dan memakai sehelai kemeja-t dan seluar tidur beberapa minit sebelum pukul 6.00 petang dalam bulan Januari.

Hoevers memberitahu:

Biar saya beritahu kamu, Kansas sangat sejuk pada bulan Januari.

Terdapat gambar lengan Adrian membengkak.

Terdapat satu rakaman video menunjukkan  Adrian kelihatan terdesak cuba untuk minum dari cawan yang tidak dapat dipegang kerana tangannya digari ke belakang badannya.

Terdapat gambar badan Adrian dibungkus dengan papan pemotong dapur untuk mengelakkan dia dari membongkok.

Terdapat gambar jarak dekat bibir Adrian yang luka dan bengkak, dipercayai kerana anak malang itu cuba menggigit papan plywood yang menjadi penjaranya untuk cuba melepaskan diri.

Terdapat gambar-gambar mata Adrian ditutup manakala badannya pula diikat pada peralatan senaman dan gambar kecederaan pada kakinya.

Terdapat video Adrian sedang cuba makan dari lantai halaman rumahnya.

Terdapat gambar pipi Adrian seolah-olah tembuk setelah mereka menusuk wajah anak itu dengan batang penyapu.

Judy kesal sebab sebenar kematian Adrian tidak didedahkan kerana fail Adrian disulitkan atas arahan mahkamah.

Kami mahu dia terus hidup walaupun dia secara nyata sudah tiada di dunia ini.

Saya akan terus, dengan apa cara sekalipun, memastikan tiada kanak-kanak lain menderita seperti Adrian, sekiranya boleh saya lakukan atas namanya, itu yang saya mahukan.

Detektif Polis Kansas, Stuart Littefield, juga memberi kenyataan di mahkamah.

Penderaan dan penyeksaan itu dirasakan oleh Adrian berlangsung selama 24 jam sehari. Mereka tidak berhenti menderanya walaupun mereka sedang tidur. Mereka tidak benarkan dia tidur. Dia dibiarkan mereput dalam bilik mandi tempat kurungannya sehingga ia menjadi keranda Adrian. Bila mereka dah tak tahan dengan bau busuk mayatnya, mereka berikan saki baki jasadnya kepada babi untuk dimakan.

Littlefield bercakap bagi pihak rakannya, Detektif Brad Lancaster yang terkorban dibunuh penjenayah dalam satu dalam satu operasi khas di sebuah kasino pada tahun 2016. Lancaster ialah detektif yang mengetuai siasatan kematian Adrian.

Gambar: Mendiang Detektif Brad Lancaster

Lancaster menghabiskan masa selama beratus-ratus jam untuk mendapatkan keadilan buat Adrian. Kes itu sangat kejam, dan masih menghantui balai polis Kansas.

Pihak berkuasa mengatakan Adrian meninggal dunia antara September atau Oktober 2015, tetapi kematiannya tidak dilaporkan. Saki baki mayatnya ditemui dalam kandang babi pada November 2015 setelah mendapat laporan mengenai kehilangan anak malang itu.

Berikut ialah kenyataan penuh Detektif Littlefield:

Biar saya katakan yang saya buat kenyataan ini untuk kenangan Adrian dan penghormatan kepada mendiang Detektif Brad Lancaster. Brad telah memberikan segalanya untuk kes ini, tetapi telah dibunuh sebelum ia diselesaikan sepenuhnya. Brad ialah hero Adrian.

Tetapi Adrian telah pergi – dibunuh oleh dua manusia yang sepatutnya menyayangi dan melindungi dirinya.

Detektif Mark Bundy dan saya telah menyudahkan siasatan kes ini untuk Brad. Brad yang patut membaca kenyataan ini, bukan saya.

Saya tak dapat nak terangkan bagaimana kes ini memberi kesan mendalam kepada individu yang terlibat dalam siasatan mengenainya. Dari juruteknik siasatan kejadian jenayah, kepada wanita-wanita yang menaip semula penderitaan yang ditanggung Adrian.

Mark dan saya telah menjadi anggota polis selama 20 tahun dan telah melihat terlalu banyak tragedi. Tetapi tiada apa yang menyediakan kami kepada apa yang kami lihat pada 25 November 2015.

Penderaaan dan penyeksaan terhadap budak lelaki ini dibuktikan kerana dokumentasi gambar dan rakaman video penderaannya  yang telah dibuat oleh Mike dan Heather Jones.

Tiada apa yang memberi impak kepada saya dengan mendalam seperti apabila mengetahui melalui pengakuan Mike yang dia menembak anaknya dengan pistol perenjat elektrik selama 15-20 saat.

Semasa dia bercerita, 20 saat itu seolah-olah sekejap, tetapi saya ingin anda tutup mata anda selama 20 saat dan bayangkan seorang kanak-kanak menjerit kesakitan selama 20 saat  itu.

20 saat sebenarnya sangat lama jika anda dalam kesakitan.

Sebagai penutup, apa yang Mark dan saya minta, hanya, 25 tahun dari sekarang, apabila Mike dan Heather Jones diberi peluang parol (pertimbangan untuk dibebaskan dari penjara), tolong ingati kanak-kanak tujuh tahun bernama Adrian Jones.

Saya telah bertanya kepada semua pegawai polis veteran, jika mereka ingat Ted Bundy, John Wayne Gacy dan  Jeffrey Dahmer. Mereka semua berkata, ‘ya’. Tetapi bila saya tanya jika mereka ingat nama walau seorang pun mangsa kepada penjenayah-penjenayah terkenal itu, mereka semua kata, “tidak.”

Masalah masyarakat kita, kita ingat penjenayah, bukan mangsanya.

Saya merayu, tolonglah ingati Adrian.

Dia berusia tujuh tahun.

Dia diseksa, dipukul dan dibiarkan kebuluran hingga mati.

Dia dibiarkan mereput dalam bilik mandi yang ditutup dengan papan plywood.

Dan bila mereka tak tahan bau mayatnya, jasad yang sudah tinggal tulang diberi makan pada babi.

Kadangkala saya merenung ke arah rumah-rumah di mana saja, tertanya-tanya jika ada Adrian lain yang terperangkap di sebalik pintu. Ini kerana ada yang melihat kesan penderaan pada Adrian tetapi mereka berdiam diri.

Adrian sudah meninggalkan kita. Kita tak dapat lagi mengubah apa yang telah terjadi atau mengembalikan dia. Tetapi kita boleh ubah masa depan.

Ada kanak-kanak yang sedang didera saat ini. Waktu saya mengatakan semua ini di sini kepada anda, ada Adrian lain di suatu tempat, menunggu seseorang untuk datang merempuh pintu dan menyelamatkannya.

Kita mesti mencari kesemua kanak-kanak ini, untuk Adrian dan untuk Brad.

Gambar: Detektif Stuart Littlefield

Sumber: Daily Mail UK

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...