Sebut sahaja nama Disneyland pasti kanak-kanak dan orang dewasa sudah membayangkan keseronokan taman tema kartun animasi Walt Disney yang terbesar pernah dibina. Pembukaan taman tema Disneyland yang pertama pada tahun 1955 terletak di California. Kemudian taman tema ini dibina pula di Hong Kong dan Tokyo.
Semua ini hasil impian Walter Elias Disney yang merealisasikan angan-angan fantasi untuk memiliki sebuah taman tema yang dipenuhi dengan watak kartun filem animasinya. Siapa sangka angan-angan bernilai 17 juta dolar itu menyebabkan Walt menjual sebahagian besar asetnya dan menggunakan wang dari insurans nyawanya sendiri.
Apa pun sanggup dilakukan oleh Walt agar impiannya itu dapat dikongsi oleh semua orang di alam nyata. Setahun kemudian, taman tema yang dibina di atas tanah seluas 160 ekar di Anaheim, California telah siap dibina namun belum lengkap sepenuhnya. Selebriti, golongan VIP dan pihak media telah mendapat tiket masuk awal sebagai tetamu pertama yang melawat taman tema ini.
Melangkah masuk ke mimpi ngeri
Pada hari kejadian, tanpa disangka orang ramai menyerbu pintu masuk taman tema dan memenuhi keseluruhan kawasan. Rupa-rupanya, tiket masuk telah pun diciplak dan dipalsukan sebelum dijual kepada orang ramai dengan harga 1 dolar untuk dewasa dan 50 sen untuk kanak-kanak.
Malang sekali, kisah dongeng ‘happily ever after’ itu mungkin hanya wujud di dalam dunia fantasi sahaja. Setelah orang ramai melangkah masuk ke dalam Disneyland mereka tidak menyangka perkara buruk akan dialami sepanjang hidup mereka.
Jalan sepanjang 11 kilometer untuk menuju ke taman tema telah berlakunya satu kesesakan yang dahsyat. Sehinggakan ada yang melepaskan air kecil mereka di sepanjang parking lot akibat tersekat untuk tempoh masa yang lama.
Lain pula situasi di hadapan pintu masuk taman tema, orang ramai beratur seakan-akan gerabak kereta api. Ada juga yang terlebih berani untuk memanjat pagar. Menerusi penceritaan, terdengar bunyi yang dimainkan ahli pancaragam di dalam taman tema ketika orang ramai sedang bersesak di luar.
Mimpi ngeri mula menyapa pengunjung yang telah berjaya memasuki taman tema. Suasana ketika itu boleh diibaratkan seperti berada di era dystopia (kawasan teruk) yang memberi maksud kawasan yang mempunyai populasi manusia terlalu ramai.
Kebanyakan mereka tidak mampu bergerak langsung. Hanya berdiri di tengah-tengah kumpulan manusia dan diapit oleh orang lain di kiri, kanan, depan dan belakang.
Ditambah pula dengan cuaca yang amat panas, kasut orang ramai terbenam di dalam turapan bitumen yang mencair. Perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan situasi ini ialah mereka kepanasan seperti berada di atas alat pemanggang.
Masalah lain timbul
Kerana bahang panas yang berada di atas kepala, semua restoran telah kehabisan makanan dan minuman dalam masa yang singkat. Kehadiran pengunjung yang sangat luar biasa ini langsung tidak dijangkakan.
Dengan keadaan yang bersesak sebegini, tandas pula tiada air. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan pengunjung yang mahu menggunakan tandas ketika itu. Air pancut hiasan juga tidak berfungsi dengan air kering kontang. Ini kerana kerja-kerja pemasangan paip masih belum dimulakan. Dalam keadaan terpaksa, orang ramai melepaskan ‘hajat’ mereka di tepi kawasan semak.
Ini merupakan antara kejadian yang disaksikan oleh orang ramai:
- Setelah membawa 500 penumpang melalui sungai, Mark Twain Riverboat karam.
- Pekerja terpaksa menolak bot secara manual setelah bot rosak di pertengahan jalan.
- Pengunjung dihampakan dengan penutupan ‘rides’ setelah beratur panjang.
- Pengunjung menyaksikan harimau dan harimau kumbang saling bercakaran selepas haiwan itu terlepas dari kurungan.
- Api keluar melalui tingkap replika istana Sleeping Beauty, namun itu bukan gimik tetapi kebakaran sebenar.
Diingati sebagai ‘Black Sunday’
Para pengunjung melepaskan geram dengan menghantar aduan dan komen tentang pembukaan taman tema yang telah dianggap sebagai gagal itu. Semenjak itu, tarikh 17.7.1955 digelar sebagai ‘Black Sunday’ oleh pihak media sempena kejadian yang berlaku ketika pembukaan taman tema Disneyland.
Impian 17 juta dolar itu tidak akan disiakan begitu sahaja, pihak Disneyland pantas memperbaiki segala kekurangan yang diterima daripada pengunjung. Disneyland kembali bangkit dalam hanya beberapa bulan dan berjaya mengutip jutaan dolar keuntungan.
Disneyland kini sudah bertapak hampir 65 tahun dan masih lagi utuh menjadi simbol fantasi yang menakjubkan kepada seluruh masyarakat walau di mana sahaja. Siapa sangka taman tema fantasi yang cukup popular pada masa ini pernah lalui sesuatu yang buruk seperti ini kan?