Kisah Kematian Elisa Lam Yang Penuh Misteri Pada Tahun 2013

Trending

Kisah Kematian Elisa Lam Yang Penuh Misteri Pada Tahun 2013

Dalam lebih 22 tahun kerjaya saya sebagai pemberita, ini ialah salah satu dari kes yang melekat dalam ingatan kerana kita tahu siapa, apa, bila dan di mana. Cuma kita tak tahu kenapa.

Itu komen wartawan Los Angeles NBC, Lolita Lopez, mengenai kes kematian misteri seorang wanita bernama Elisa Lam.

Advertisement

Sehingga ke hari ini, tiada siapa mengetahui dengan pasti mengapa Elisa Lam meninggal dunia.

Kita tahu bahawa dia seorang pelajar kolej berusia 21 tahun dari Kanada, dan dilihat kali terakhir masih hidup di Hotel Cecil di Los Angeles pada 31 Januari 2013.

Bagaimanapun rakaman yang mendebarkan oleh kamera litar tertutup yang merekodkan detik-detik terakhir sebelum Elisa menghilangkan diri—ditambah pula dengan maklumat-maklumat lain yang muncul setelah kehilangannya—hanya menimbulkan lebih persoalan dari jawapan.

Sejak mayat Elisa ditemui dalam tangki hotel itu pada 19 Februari, kematiannya yang tragik terus diselubungi misteri.

Walaupun pejabat koroner merekodkan bahawa kematiannya ialah disebabkan ‘lemas yang tidak disengajakan’, maklumat-maklumat aneh kes Elisa menyebabkan timbulnya pelbagai spekulasi tentang apa yang telah berlaku.

Warganet telah mengeluarkan pelbagai teori dan spekulasi mengenai kejadian sebenar, dari konspirasi pembunuhan sehinggalah keterlibatan roh jahat. Tetapi apakah sebenarnya yang berlaku pada Elisa Lam?

Kehilangan Elisa Lam

Gambar: Elisa Lam sebagai pelajar di Universiti British Columbia

Pada 26 Januari 2013, Elisa Lam tiba di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Dia baru tiba dengan keretapi dari San Diego dan merancang untuk ke Santa Cruz sebagai salah satu pengembaraan solo yang dirancang di sepanjang Teluk Barat.

Perjalanan itu sebenarnya satu cara bagi Elisa untuk merehatkan diri dari pengajiannya di Universiti British Columbia di Vancouver, bandar dari mana Elisa berasal.

Keluarganya berasa risau dia mengembara seorang diri tetapi pelajar muda itu bertekad untuk melakukannya sendiri.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Elisa akan menghubungi ibu bapanya setiap hari untuk memaklumkan kepada mereka bahawa dia berada dalam keadaan selamat.

Disebabkan itu, apabila  Elisa tidak menghubungi mereka seperti sepatutnya pada 31 Januari iaitu pada hari dia dijadualkan mendaftar keluar dari Hotel Cecil, ibu bapanya menghubungi Jabatan Polis Los Angeles. Pihak polis mencarinya di premis-premis Hotel Cecil namun Elisa tidak ditemui.

Gambar: Elisa Lam hilang semasa tinggal di Hotel Cecil

Polis seterusnya menerbitkan bahagian filem yang diambil dari kamera keselamatan Hotel Cecil di laman sesawang mereka. Mulai dari saat inilah keadaan mula menjadi aneh.

Video hotel itu menunjukkan Elisa di dalam salah satu lif pada tarikh dia dilaporkan hilang, dan kelakuannya sangat ganjil. Dalam rakaman itu, Lam dilihat melangkah masuk ke dalam lif dan menekan kesemua butang.

Dia melangkah masuk dan keluar, serta mengeluarkan kepalanya untuk menjenguk ke arah lorong berjalan kaki dalam hotel. Dia melihat-lihat keluar pintu lif beberapa kali sebelum keluar dari lif.

Minit-minit terakhir menunjukkan Lam berdiri di sebelah kiri pintu lif, menggerakkan tangannya secara rawak. Tiada siapa dilihat dalam video itu, kecuali Lam.

Reaksi orang ramai terhadap video itu datang dari Kanada hingga ke China, iaitu negara asal keluarga Lam. Video ganjil Lam berdurasi empat minit itu mendapat sehingga 24 juta tontonan.

Penemuan mayat Elisa Lam secara kebetulan

Gambar: Penyelamat cuba mengeluarkan mayat Elisa Lam dari tangki air Hotel Cecil

Pada 19 Februari, dua minggu setelah video itu dimuat naik ke Internet oleh pihak berkuasa, pekerja penyelenggaraan Santiago Lopes menemui mayat Elisa terapung dalam salah satu dari tangki hotel itu.

Lopez menemui mayat itu setelah menyiasat apabila menerima aduan dari penghuni hotel mengenai tekanan air yang rendah dan rasa pelik yang datangnya dari air paip.

Menurut kenyataan oleh Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, tangki tempat mayat Lam ditemui terpaksa dikeringkan dengan sepenuhnya, dan kemudian dipotong di bahagian tepi untuk dibuka bagi mengeluarkan mayatnya yang mempunyai ketinggian 5 kaki 4 inci.

Tiada siapa tahu bagaimana mayat Lam–yang terapung tidak bernyawa lagi bersebelahan pakaian yang dikenakannya dalam video kamera litar tertutup itu—berakhir dalam tangki air hotel, atau jika ada individu lain yang terlibat dalam kematiannya.

Staf hotel memberitahu yang Lam sentiasa dilihat bersendirian sepanjang berada di premis-premis hotel tersebut.

Tetapi sekurang-kurangnya seorang individu telah melihat Elisa sebelum kematiannya. Di satu kedai berdekatan bernama The Last Bookstore, pemiliknya Katie Orphan ialah antara individu terakhir menyaksikan dia masih bernyawa.

Orphan masih ingat bahawa Elisa ada membeli beberapa buah buku dan cakera padat muzik untuk dihadiahkan kepada keluarganya di Vancouver sebagai buah tangan. Orphan memberitahu CBS Los Angeles:

Nampaknya Lam mempunyai perancangan untuk balik berjumpa keluarganya, bagi menghadiahkan barangan dan berhubung kembali dengan mereka.

Apabila keputusan bedah siasat dikeluarkan, ia hanya menimbulkan lebih kecurigaan. Laporan toksikologi mendedahkan bahawa Lam telah menelan beberapa jenis ubat, berkemungkinan untuk penyakit kecelaruan bipolar yang dihidapinya.

Bagaimanapun, tiada petanda dia mengambil alkohol mahupun bahan terlarang sebelum kematiannya.

Bedah siasat tidak lengkap menerbitkan teori liar

Gambar: Bernard Diaz, 89, yang tinggal di Hotel Cecil selama 32 tahun bercakap kepada pihak media setelah mayat Elisa Lam ditemui

Tidak lama setelah laporan toksikologi dikeluarkan, penyiasat amatur mula mendapatkan apa jua maklumat yang mungkin dengan harapan dapat merungkaikan misteri kematian Elisa Lam.

Satu ringkasan laporan toksikologi Elisa yang dimuat naik ke dalam talian oleh seorang penyiasat Reddit merujuk kepada ubatan yang telah diambil oleh Lam.

Ringkasan itu menunjukkan tiga kunci pemerhatian utama:

  • Lam mengambil satu jenis ubat antidepresan hari itu
  • Lam mengambil antidepresan kedua dan penstabil mood sebelum itu, namun tidak mengambilnya pada hari dia hilang
  • Lam juga tidak mengambil ubat anti-psikotiknya sebelum itu.

Kesimpulan-kesimpulan ini menunjukkan Lam, yang telah diberi diagnosis kecelaruan bipolar dan kemurungan, berkemungkinan tidak mengambil ubat dengan sepatutnya.

Ini satu dapatan yang penting untuk dinyatakan bahawa penggunaan antidepresan untuk merawat kecelaruan bipolar boleh mendatangkan risiko kesan sampingan hilang akal sekiranya tidak berhati-hati.

Beberapa orang penyiasat merasakan  bahawa ini penjelasan paling masuk akal bagi menerangkan kelakuan ganjil Lam semasa berada dalam lif hotel.

Kenyataan pengurus hotel, Amy Price menyokong dapatan ini dengan kukuh. Semasa Lam tinggal di Hotel Cecil, Price memberitahu Lam pada asalnya menempah bilik hostel yang dikongsi dengan beberapa pengunjung lain.

Bagaimanapun, terdapat aduan mengenai ‘kelakuan ganjil’ Lam dari mereka yang tinggal sebilik dengannya, menyebabkan dia terpaksa dipindahkan ke bilik untuk seorang.

Tetapi, jika pun Elisa Lam mempunyai masalah kesihatan mental, bagaimana pula dia menemui ajal? Dan lebih membingungkan, bagaimana pula mayat Lam boleh ditemui dalam tangki air hotel?

Bedah siasat tidak menunjukkan sebarang unsur khianat dari bukti-bukti yang telah diteliti.

Tetapi pejabat koroner mencatatkan bahawa mereka tidak dapat membuat pemeriksaan secara sepenuhnya kerana mereka tidak dapat memeriksa darah dari mayat Lam yang telah mereput.

Siapa bertanggungjawab kematian Lam?

Gambar: Elisa Lam dan seorang rakan semasa graduasi

David dan Yinna Lam, telah memfailkan saman kecuaian  yang menyebabkan kematian anak gadis mereka, Elisa, terhadap Hotel Cecil.

Hotel itu seterusnya menentang saman itu, memfailkan untuk ia digugurkan. Peguam hotel menyatakan bahawa hotel tersebut tidak mempunyai sebab untuk memikirkan bahawa seseorang boleh masuk ke dalam tangki hotel itu.

Berdasarkan kenyataan mahkamah dari staf penyelenggaraan hotel, apa yang dihujahkan oleh peguam hotel sangat munasabah.

Santiago Lopez, sebagai individu terawal menemui mayat Lam, memberi penerangan secara terperinci usaha-usaha yang dia lakukan sebelum menemui mayat Lam.

Lopez memberitahu, dia menaiki lif ke tingkat 15 hotel itu sebelum menaiki tangga ke atap. Kemudian, dia memadamkan penggera atap dan memanjat ke atas platform di mana empat tangki air hotel itu ditempatkan.

Akhirnya, dia perlu memanjat satu lagi tangga untuk menaiki bahagian penutup tangki utama. Hanya selepas itu, dia menemui sesuatu yang luar biasa.

Saya dapati penutup tangki utama terbuka dan melihat ke dalam. Saya nampak seorang wanita Asia terapung dengan bahagian wajah ke atas, kira-kira 12 inci dari penutup tangki.

Testimoni Lopez menunjukkan, untuk Lam masuk ke dalam tangki itu dengan bersendirian adalah sukar dan sudah pasti seseorang telah melihat dia ke situ.

Ketua Jurutera Hotel Cecil, Pedro Tovar turut menjelaskan bahawa sukar untuk seseorang memasuki bahagian atap di mana tangki berada tanpa mengaktifkan sistem penggera.

Hanya staf hotel boleh mematikan penggera itu dengan sepenuhnya. Sekiranya ia berbunyi, bunyinya cukup kuat untuk sampai ke meja hadapan dan dua tingkat teratas hotel itu.

Hakim Mahkamah Superior Howard Halm memutuskan bahawa kematian Elisa Lam “tidak dapat dijangkakan” kerana ia berlaku dalam kawasan tetamu hotel tidak dibenarkan masuk, jadi saman itu telah digugurkan.

Sehingga kini, misteri kematian Elisa Lam belum terungkai dan tidak jelas, namun obsesi di sekeliling misteri itu tetap wujud. – amazingnara.com

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...