Pada Disember 2006, Sanae Shimomura, seorang gadis Jepun yang ketika itu berusia 19 tahun, berkahwin dengan seorang pemuda 23 tahun di bandar kelahirannya, Yokkaichi, wilayah Mie. Sanae ketika itu baru menghabiskan persekolahan.
Tahun 2007, enam bulan setelah berkahwin, Sanae melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Sakurako Hagi. Dia menulis di blognya:
Dengan lahirnya nyawa kecil ini, saya sedar saya kini tidak lagi bersendirian.
Dalam satu lagi entri blognya, Sanae menulis:
Saya tak sangka anak saya sendiri akan jadi sebegini comel.
Apabila Sakurako jatuh sakit dan sembuh dari demam selama tiga hari, Sanae menulis entri blog terbaru:
Dia dah sembuh dan sekarang menyepahkan barang di seluruh bilik. Walaupun mengemas semula leceh, saya rasa gembira berbanding sewaktu dia sakit.
Namun masa berlalu, komitmen Sanae kepada tanggungjawab menguruskan anak semakin berkurangan. Seorang kawannya mengimbas semula:
Semakin lama, dia semakin kerap meninggalkan anaknya untuk berseronok di luar di waktu malam.
Anak lelakinya Kaede Hagi, lahir pada Oktober 2008.
Pada Mei 2009, Sanae dan suaminya bercerai kerana dia disyaki curang oleh suaminya. Dan ia bukan kali pertama suaminya mengesyaki Sanae curang.
Sanae kemudiannya telah mendapat perintah hak penjagaan anak-anaknya.
Dia mula bekerja sebagai seorang pelayan kelab di Nagoya, yang menyediakan nurseri untuk menjaga anak para pekerja.
Seorang rakan sekerja Sanae memberitahu:
Pada masa itu dia membahagikan masa antara kerja dan tanggungjawab menjaga anaknya. Dia menjadi contoh dan suri teladan kepada pekerja-pekerja lain.
Ogos 2009, anak Sanae, Sakurako, ketika itu berusia 2 tahun, diambil polis kerana didapati menangis seorang diri di laluan ke apartmen Sanae di Osaka.
Pegawai-pegawai di Pusat Konsultasi Wilayah Nagoya dimaklumkan oleh polis yang mengesyaki Sanae mengabaikan anak-anaknya, tetapi pegawai itu berhenti menyiasat dengan lebih mendalam apabila Sanae mengatakan dia tidak apa-apa dan boleh menjaga dua anaknya.
Januari 2010, Sanae bekerja di tempat baru sebagai pekerja seks di sebuah rumah tumpangan yang tidak mempunyai nurseri. Musim bunga tiba dan Sanae meninggalkan anak-anaknya di rumah dengan lebih kerap. Dia sering bemalam di rumah teman-teman lelakinya.
Dia hanya balik sekali dalam masa beberapa hari ke apartmennya membawa kotak berisi bento untuk anak-anaknya makan tengahari.
Selepas itu, untuk berminggu lamanya, jiran-jiran mendengar dua kanak-kanak menangis dari dalam apartmen Sanae. Malah, ada yang cuba mendapatkan bantuan untuk mereka kerana jiran-jiran dapat merasakan yang dua kanak-kanak itu berada dalam situasi kecemasan.
Satu panggilan dibuat kepada Pusat Konsultasi Perbandaran Osaka pada bulan Mac 2010, mengatakan Sakurako dan Kaede menangis sepanjang malam, setiap malam, sambil menjerit memanggil ibu mereka.
Pekerja sosial kemudiannya melawat rumah Sanae keesokan harinya pada jam 3.00 petang, tetapi tiada siapa membuka pintu apartmen, jadi mereka beredar.
Pada 1 April, satu lagi panggilan dibuat, juga disusuli dengan lawatan ke rumah Sanae. Sama seperti sebelum ini, mereka meninggalkan rumah itu kerana tiada siapa yang membuka pintu.
Jiran menelefon pusat tersebut pada 2 April, pukul 2.00 petang. Sekali lagi pekerja sosial datang mengetuk pintu rumah Sanae tetapi tiada siapa yang memberi respon. Mereka masih beredar begitu saja.
Pada 8 April, jiran yang sama menelefon pusat itu pada jam 2.00 petang. Pekerja sosial datang mengetuk pintu rumah itu keesokan harinya, dan masih tiada respon.
Pada 8 Mei 2010, satu lagi panggilan dibuat pada pukul 5.30 pagi. Kali ini hanya suara seorang budak kedengaran menangis.
Pekerja sosial datang mengetuk pintu rumah itu pada pukul 2.00 petang, tetapi masih sama. Tiada siapa yang membuka pintu rumah, jadi mereka meninggalkan rumah itu. Setiap kali datang, mereka meninggalkan surat untuk penghuni apartmen menghubungi mereka, tetapi tiada respon.
Garis panduan Kementerian Kebajikan Jepun menetapkan, dalam masa 48 jam selepas aduan diterima, keselamatan kanak-kanak yang diadukan mestilah dipastikan.
Tetapi nampaknya, ada individu yang tidak menjalankan amanah yang diberikan dengan baik.
Ahli keluarga Sanae tidak dapat dihubungi kerana tiada siapa tahu cara untuk menghubungi mereka. Pekerja-pekerja sosial yang terlibat juga tidak merasakan perlu bagi mereka untuk menghubungi polis walaupun suara kanak-kanak menangis dari dalam rumah itu didengari oleh jiran untuk berminggu lamanya.
Mereka juga merasakan, disebabkan tiada aduan secara terus dari rumah tersebut, kes itu bukanlah satu kes kecemasan.
Mereka tidak menemui rekod siapakah empunya apartment itu kerana apartment itu sebenarnya disewa sebagai asrama pekerja oleh majikan Sanae. Sanae kemudiannya membayar sewa apartmen itu kepada majikannya.
9 Jun, Sanae pulang ke rumahnya membawa makanan untuk anak-anaknya: jus buah, empat bebola nasi dan dua keping penkek. Itulah kali terakhir dia melawat mereka di apartmen itu.
Keesokan harinya, Sanae menulis di sebuah rangkaian sosial Internet:
Terlalu banyak perkara yang ingin saya lakukan. Terlalu banyak yang belum saya lakukan.
Dua minggu selepas itu, jiran-jiran mendapati mereka tidak lagi mendengar suara tangisan kanak-kanak dari apartmen Sanae. Mereka akhirnya semakin lupa dengan Sakurako dan Kaede, sibuk menjalankan urusan seharian yang rutin dalam kehidupan mereka.
Pada 29 Jun, Sanae memuat naik satu gambar dirinya di sebuah laman rangkaian sosial. Dalam gambar itu, dia memakai kemeja-T pasukan bola sepak kebangsaan Jepun dan memegang hon vuvuzela, bersorak untuk pasukan negaranya dalam perlawanan Piala Dunia menentang Paraguay.
Dalam bulan Julai, seorang lelaki tua yang tinggal berdekatan apartmen Sanae tercium bau busuk yang datangnya sekali-sekala di kawasan rumahnya, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
Pada 28 Julai, Sanae masih memuat naik status ke media sosial. Dia meletakkan gambar pemandangan awal subuh. Terdapat teks yang dimuat naik bersama gambar tersebut:
Apa khabar kamu sekarang?
Ketika ini juga, Sanae sudah berhari-hari tidak muncul di tempat kerjanya.
29 Julai, penjaga bangunan apartmen tempat Sanae tinggal telah menelefon ke tempat kerjanya memberitahu apartment Sanae berbau busuk dan meminta mereka membuat pemeriksaan.
Hampir tengah malam itu, seorang rakan sekerja lelaki yang bimbang dengan keselamatan Sanae telah pergi ke apartmen wanita itu untuk memeriksa keadaannya.
Apabila dia datang, dia merasa terkejut kerana dia tercium bau busuk yang aneh, datangnya dari dalam apartmen Sanae ketika dia sampai di pintu.
Rakan itu terus menghubungi polis pada 1.15 pagi, 30 Julai 2010. Polis kemudiannya cuba memecah masuk ke dalam apartmen tersebut.
Polis mendapati pintu apartmen itu dilekat dengan pita perekat ketika mereka cuba masuk. Mereka akhirnya masuk ke dalam apartmen melalui balkoni.
Dan di dalam apartmen itu, , mereka terkejut apabila menemui mayat dua kanak-kanak dalam keadaan bogel dan mereput.
Apartmen itu mempunyai hanya satu bilik dan mayat Sakurako dan Kaede ditemui di tengah-tengah bilik dalam keadaan terlentang.
Bilik itu berada dalam keadaan daif, kotor dan berselerak dengan sampah dan najis. Seorang pegawai penyiasat kanan yang masuk ke rumah itu selepas itu, mengimbas semula dengan mata berkaca:
Ia lokasi kejadian jenayah paling teruk saya lihat sepanjang kerjaya sebagai polis selama 30 tahun. Ia penuh dengan cawan ramen yang kosong, karton jus kotak dan plastik pembungkus snek.
Sanae ditahan pada hari yang sama kerana disyaki mengabaikan anak-anaknya. Sewaktu disoal siasat, Sanae tidak kelihatan menyesal, malah membuat pengakuan kepada polis yang dia telah meninggalkan apartmennya pada bulan Jun kerana ingin melepaskan semua tanggungjawab dan meluangkan masa sendirian.
Sejak saya bercerai Mei tahun lepas, saya dah rasa tak larat dan jelak nak jaga anak-anak saya.
Saya dah jelak beri mereka makan dan mandikan mereka.
Saya mahukan kebebasan. Saya harap saya tak pernah lahirkan anak.
Saya tahu anak-anak takkan bertahan jika tidak diberi air dan makanan. Saya memang tak mahu beri mereka makanan dan air. Akibatnya, mereka mati.
Kronologi kejadian sukar digariskan, namun pakar percaya, dengan semua laporan dari jiran dan maklumat mengenai masa anak-anak Sanae tidak lagi didengar menangis dari dalam apartmennya, yang mereka disyaki meninggal dunia akibat kebuluran dan dehidrasi lebih kurang sebulan sebelum mayat mereka ditemui.
Sanae mengaku dia ada pulang ke apartmennya sehari sebelum dia ditahan, tetapi mendapati dua anaknya telah mati dan mayat mereka sudah reput. Dia kemudiannya meninggalkan mereka sekali lagi tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa.
Berita kematian Sakurako dan Kaede mengejutkan datuk mereka, bapa Sanae. Bapa Sanae berkata yang dia tidak bercakap dengan Sanae mahupun bertemu cucu-cucunya sejak perceraian anaknya pada Mei 2009.
Bekas ibu dan bapa mertua Sanae berang dengan apa yang telah berlaku. Bekas ibu mertuanya berkata sambil menangis:
Saya benci Sanae sekarang, tetapi dulu saya layan dan anggap dia macam anak sendiri.
Bekas bapa mertua Sanae sangat sedih apabila mengetahui perkara itu dan memberitahu dia mengalami kesukaran untuk tidur malam itu.
Laporan bedah siasat gagal mememui sebab sebenar kematian Sakurako dan Kaede kerana keadaan mayat yang reput dan tinggal tulang.
Pada waktu ini, Netizen Jepun membincangkan kes ini dengan mendalam dan mengecam Sanae. Mereka mendakwa wajahnya cantik tetapi tidak berguna kerana ‘berhati syaitan’.
Ramai mempersoalkan mengapa pekerja sosial hanya datang ke apartmen Sanae keesokan harinya apabila mereka menerima laporan dari jiran-jiran yang mendengar suara kanak-kanak menangis. Mereka menulis:
Sepatutnya mereka datang terus apabila laporan diterima. Barulah mereka boleh mendengar sendiri tangisan kanak-kanak itu.
Ada yang mempersoalkan mengapa pegawai-pegawai kebajikan tidak menguatkuasakan satu undang-undang yang digubal pada tahun 2008 bahawa pegawai boleh mendapatkan waran menggeledah rumah jika kanak-kanak di dalamnya disyaki berada dalam bahaya, walaupun tanpa persetujuan ibu bapa.
Para pegawai bagaimanapun mendakwa proses mendapatkan waran adalah rumit dan mengambil masa yang panjang kerana terdapat ‘halangan pihak atasan’. Pada tahun 2008, hanya dua kali waran itu dikeluarkan walaupun 44,210 aduan diterima, dan undang-undang itu digunakan hanya sekali pada tahun 2009.
Seorang profesor kebajikan kanak-kanak, Tetsura Tsuzaki berkata, sistem sedia ada mempunyai kelemahan dan perlu dirombak. Dia turut mempersoalkan mengapa pekerja-pekerja sosial yang datang ke apartmen Sanae tidak bercakap langsung dengan jiran-jirannya mahupun meminta janitor membukakan pintu apartmen Sanae.
Walaupun apa alasan diberikan, nasi telah menjadi bubur.
Pada Mac 2012, semasa perbicaraan di Mahkamah Daerah Osaka, pihak pendakwaan meminta Sanae yang ketika itu berusia 24 tahun, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Pendakwaraya berhujah yang disebabkan anak-anaknya kebuluran sehingga mati, tindakan Sanae mengabaikan mereka ialah sebentuk penderaan kejam yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dalam kenyataannya, Sanae berkata untuk seumur hidupnya, dia tidak akan dapat menebus kesalahan yang telah dilakukannya pada anak-anaknya.
Hakim Masaki Nishida berkata kepada mahkamah semasa perdengaran hukuman:
Sukar dibayangkan penderitaan dua kanak-kanak yang maut setelah menjadi semakin lemah akibat lapar secara perlahan-lahan tanpa ada sedikit pun harapan untuk terselamat. Hanya satu perkataan dapat menyimpulkannya: kejam.
Hakim Nishida merujuk kepada keadaan anak-anak Sanae sewaktu mereka ditemui, di antara sampah dan najis:
Tiada penderitaan setanding ini. Saat anaknya kebuluran, defendan cuba melarikan diri dari hakikat, sebaliknya menghabiskan masa berpeleseran dan berseronok dengan beberapa orang lelaki. Sikapnya memang layak dikritik.
Hakim Nishida juga menyimpulkan yang Sanae tidak berusaha mencari alternatif lain untuk menyelamatkan anak-anaknya.
Sanae mendakwa tidak berniat membunuh anak-anaknya. Sanae mendakwa tidak gembira di zaman kanak-kanak dan pernah dicabul, menyebabkan dia cuba melupakan realiti untuk seketika.
Tetapi cerita sedihnya tidak dipercayai oleh hakim. Hakim kemudiannya mengingatkan wanita itu yang kali terakhir melihat anaknya masih hidup, dia tahu nyawa mereka dalam bahaya. Dia datang berjumpa mereka tetapi hanya memberi sedikit makanan dan kemudian meninggalkan mereka tanpa memberi mereka peluang untuk hidup.
Untuk itu, Sanae disabitkan bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak-anaknya sehingga mati dan dia dijatuhkan hukuman maksimum 30 tahun penjara.
Pihak pembelaan kemudiannya cuba membuat rayuan terhadap hukuman itu, tetapi Hakim Rayuan Yasuhiro Morioka menolak rayuan itu kerana kematian anaknya ialah disebabkan oleh tindakan Sanae sendiri, yang tahu bahawa anak-anaknya akan mati jika dia tidak memberi mereka makanan dan minuman tetapi tetap melakukannya. Hakim Morioka memberitahu yang hukuman yang diterima berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan:
Situasi terdesak kanak-kanak yang kebuluran sukar untuk dibayangkan. Kematian mereka terlalu kejam.
Jadi pada 25 Mac 2013 di Mahkamah Supreme, hukuman 30 tahun penjara buat Sanae kerana mengabaikan anak-anaknya sehingga menyebabkan kematian mereka dikekalkan.
Pada tahun itu juga, sebuah filem berdasarkan kisah Sanae, Sakurako dan Kaede telah diterbitkan iaitu Sunk Into the Womb, arahan Takaomi Ogata.
Sanae kini sedang menjalani hukuman penjara dan tidak akan dibebaskan untuk tiga dekad akan datang.
Bekas ibu mertua Sanae bercerita mengenai Sakurako sambil menangis:
Sakurako budak yang bijak dan girang. Dia yang selalu jagakan adiknya, dan beri adiknya susu.
Lepas Kaede habiskan susu, dia akan lap mulut Kaede dengan tisu sehingga bersih.
Dia sangat pintar.
Semoga roh mereka bersemadi dengan aman.-amazingnara.com
Sumber: Variasi artikel di Internet