Bagi ramai orang, kartunis dan majalah Ujang ialah satu legenda dalam bidang penerbitan tempatan. Dan nama Ujang juga sebenarnya diambil dari seorang kartunis yang mengilhamkan majalah itu, Ibrahim Anon atau Ujang. Majalah Ujang meniti kemasyhuran pada pertengahan tahun 90-an. Melalui majalah ini, beberapa orang pelukis kartun telah berjaya dikadetkan oleh Ujang dan tampillah beberapa orang kartunis yang menggunakan nama sayur dan buah-buahan seperti petai, kobis bunga, padi, ciku, lengkuas dan lain-lain. Itu uniknya kartunis-kartunis yang berada di bawah bumbung Kharisma Publications pada waktu itu.
Ini ialah kisah hidup Ujang. Walaupun mengilhamkan produk dan watak yang kemudiannya menjadi masyhur, haknya dinafikan akhirnya kerana dia tidak mendaftarkan hakcipta terhadap watak-watak rekaannya itu. Ikuti kisah Ujang seperti yang ditulis oleh @twt_comics.
Hai semua. Hari ini saya ingin bercerita tentang seorang ilustrator/kartunis tempatan. Sekiranya anda semua mengikuti perkembangan media komik tempatan, pasti mengenali seorang penggiat seni bernama Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai Ujang.
Dia terkenal kerana menghasilkan komik seperti Aku Budak Minang dan Aca & Atuk semasa bekerja di majalah Gila-gila.
Setelah berhenti dari majalah Gila-gila, dia bertugas sebagai Pengarah Pemasaran untuk syarikat Kharisma Pictures Sdn Bhd, dan majalah Ujang telah lahir sebagai hasilnya.
Apa yang menyedihkan, disebabkan dia tidak mendaftar hakcipta untuk watak yang direkanya Din Beramboi, dia kehilangan hakcipta nama tersebut kepada seorang pelawak.
Ujang juga memainkan peranan yang besar dalam bidang animasi tempatan apabila siri animasinya ‘Usop Sontorian’ diterbitkan.
Siri ini diterbitkan dari tahun 1993 hingga 1996. Kemudian ia menjadi perintis kepada semua siri animasi tempatan. Ia dihasilkan oleh bakat-bakat tempatan secara keseluruhannya.
Pada tahun 1997, Ujang telah meninggalkan Kharisma dan majalah Ujang berhenti dicetak. Dia kemudiannya membina syarikatnya sendiri, Multi Triple Vision Sdn Bhd. Syarikatnya telah menghasilkan majalah baru yang dipanggil Varia Lawak, di mana dia menggunakan ramai bakat-bakat kartunis dari seluruh negara.
Namun begitu, majalah Ujang telah diterbitkan semula di bawah pengurusan baru, MOY Publication. Disebabkan isu hakcipta, Ujang tidak dibenarkan lagi menggunakan nama ‘Pak Cik Din’, ‘Usop Sontorian’, malah nama panggilannya sendiri, ‘Ujang’.
Menurut Ujang, dia ditipu sewaktu menandatangani kontrak semasa bekerja di Kharisma Pictures. Dia kehilangan hak terhadap watak-watak yang dia sendiri cipta, dan tidak menerima sesen pun royalti.
Dia selepas itu menukar nama ‘Varia Lawak’ kepada Lanun dan menerbitkan Buletin Lubuk, sebuah majalah yang mensasarkan mereka yang gemar memancing.
Bagaimanapun, dua majalah tersebut berhenti diterbitkan pada hujung tahun 2000.
Namun begitu cerita Ujang tidak berakhir di situ sahaja. Pada tahun 2011, Ujang telah didekati syarikat Nyla Sdn. Bhd. sebuah syarikat yang menerbitkan majalah Upin dan Ipin.
Syarikat itu menawarkan Ujang jawatan sebagai penasihat syarikat mereka untuk mengajar bagaimana menerbitkan majalah dan apa saja dalam industri majalah.
Disebabkan apa yang pernah berlaku sebelum ini, Ujang telah menolak tawaran tersebut kerana dia merasa tawar hati dengan industi penerbitan.
Tetapi apabila orang dari syarikat tersebut tidak berhenti-henti merayu agar Ujang membantu mereka menggunakan visi ingin membantu bakat-bakat tempatan, Ujang menerima tawaran itu.
Dia mengajar mereka bagaimana untuk menerbitkan majalah, bagaimana memohon permit, mencari syarikat penerbitan, dan prosedur percetakan.
Pada masa itu syarikat itu baru bermula, jadi Ujang tidak dibayar gaji mahal, hanya RM 2,000.
Bagaimanapun hujung bulan lepas, setelah enam tahun membantu syarikat itu berkembang, dia dipecat hanya menggunakan SMS.
Ujang cuba memujuk mereka untuk tidak berbuat begitu kerana anak-anaknya masih belajar dan isterinya pula terlantar akibat kanser.
Boleh anda bayangkan rasa tertekan yang dialaminya? Dia membantu bina syarikat itu selama enam tahun, kemudian ‘dilupuskan’ hanya menggunakan mesej teks?
Sedangkan masa memerlukan khidmatnya, mereka datang ke rumahnya dan merayu, kini beritahu pakai telefon saja.
Menurut Ujang, Nyla menerangkan yang mereka terpaksa melepaskan Ujang kerana studio yang memiliki Upin & Ipin yang meminta mereka berbuat begitu.
Les’ Copaque Production mahu mengawal semuanya dan disebabkan Nyla menggunakan lesen mereka, Nyla terpaksa menurut kehendak Les’ Copaque.
Kini ramai peminat Ujang mengkritik Les’ Copaque dan Nyla di media sosial.
Dan ini sebenarnya ialah satu realiti menyedihkan kepada sesiapa saja, di mana-mana industri. Sekiranya kita terlalu berbuat baik kepada orang lain, kita akan dipijak.
Ia juga berlaku kepada penerbitan komik lain dan harap orang ramai akan mengambil cerita ini sebagai pengajaran hidup mereka.
Sumber: @twt_comics