Kisah Hannelore Schmatz, Wanita Pertama Terbunuh Di Lereng Gunung Everest

Kehidupan

Kisah Hannelore Schmatz, Wanita Pertama Terbunuh Di Lereng Gunung Everest

Pada tahun 1979, Hannelore Schmatz berjaya mencapai sesuatu yang sukar–dia menjadi wanita keempat di dunia sampai ke puncak gunung Everest. Malangnya, kejayaan gemilangnya menakluki puncak gunung itu ialah kejayaannya yang terakhir.

Pendaki gunung Jerman, Hannelore Schmatz gemar mendaki. Pada tahun 1979, ditemani suaminya, Gerhard, Schmatz memulakan ekspedisi mereka yang paling agung, iaitu mendaki gunung tertinggi di dunia, Everest.

Advertisement

Pasangan suami isteri itu dengan jayanya sampai ke puncak, namun perjalanan turun dari gunung itu menjadi satu tragedi paling besar apabila Schmatz akhirnya hilang nyawa, menjadikannya wanita pertama dan rakyat Jerman pertama terbunuh di gunung Everest.

Untuk tahun-tahun selepas kematiannya, mayat Hannelore Schmatz menjadi seperti mumia, dikenal pasti oleh pendaki yang menuruni puncak gunung berdasarkan beg sandangnya, menjadi amaran ngeri buat pendaki-pendaki lain yang mahu menghabiskan ekspedisi sepertinya.

Pendaki Berpengalaman

Hanya pendaki gunung paling berpengalaman berani menyahut cabaran pendakian Everest yang mengancam nyawa.

Hannelore Schmatz dan suaminya Gerhard Schmatz ialah pasangan pendaki gunung berpengalaman yang mengembara jauh hanya untuk menjejaki puncak gunung tertinggi di dunia.

Pada Mei 1973, Hannelore dan suaminya kembali dari ekspedisi ke puncak gunung Manaslu yang berjaya, merupakan gunung kelapan tertinggi dunia dengan ketinggian 26,781 kaki di atas paras laut di Kathmandu. Tanpa melengah, mereka seterusnya merancang untuk mendaki gunung-gunung lebih mencabar.

Untuk sebab yang tidak diketahui, pasangan suami isteri itu memutuskan untuk menakluki Everest.

Mereka menghantar permohonan kepada kerajaan Nepal untuk mendapatkan permit pendakian puncak paling berbahaya dan memulakan persediaan mendaki.

Pasangan itu mendaki puncak gunung setiap tahun untuk meningkatkan kemampuan mereka menyesuaikan diri dengan altitud yang tinggi.

Tahun demi tahun berlalu, gunung-gunung yang mereka daki bertambah tinggi. Satu lagi gunung yang berjaya mereka tawan ialah Lhotse, yang merupakan puncak gunung keempat tertinggi di dunia. Pada Jun 1977, permohonan mereka untuk mendaki Everest telah diluluskan.

Hannelore, yang dikatakan suaminya sebagai seorang ‘genius dalam mendapatkan barang-barang ekspedisi’ telah menguruskan persediaan teknikal dan logistik untuk pendakian mereka berdua di Everest.

Pada dekad 70-an, masih sukar untuk mendapatkan pakaian pendaki di Kathmandu, jadi barang-barang yang mereka perlukan semuanya perlu dibawa dari Eropah untuk ekspedisi mereka selama tiga bulan ke puncak Everest.

Hannelore Schmatz menempah sebuah gudang di Nepal untuk menyimpan perkakasan mereka yang beratnya apabila dijumlahkan mencapai beberapa tan.

Selain perkakas, mereka juga perlu menghimpunkan rakan-rakan sependakian lain untuk menyertai ekspedisi mereka. Di samping mereka, terdapat enam orang pendaki altitud tinggi berpengalaman lain yang menyertai mereka ke Everest.

Antaranya ialah rakyat New Zealand, Nick Banks, rakyat Switzerland, Hans von Känel, rakyat Amerika, Ray Genet–pakar gunung yang pernah menyertai ekspedisi mereka sebelum ini, dan beberapa orang pendaki rakyat Jerman lain iaitu Tilman Fischbach, Günter fights, dan Hermann Warth. Hannelore ialah satu-satunya wanita dalam kumpulan mereka.

Pada Julai 1979, semuanya telah disediakan dan sekumpulan lapan orang pendaki itu memulakan pendakian mereka dengan lima orang sherpa, iaitu malim gunung tempatan, untuk membantu pendakian mereka.

Semasa mendaki, kumpulan itu menjelajah pada altitud 24,606 kaki dari darat, yang dianggap berbahaya.

Kemudian mereka meneruskan pendakian ke Geneva Spur untuk sampai ke kem di selatan, South Col, yang merupakan lereng tajam antara Lhotse dan Everest pada altitud 26,200 kaki dari darat. Kumpulan itu kemudiannya memutuskan untuk berkhemah di situ pada 24 September 1979.

Tetapi ribut salju yang berlangsung selama beberapa hari memaksa mereka menuruni lereng tersebut ke Kem III yang merupakan kem dasar.

Kemudian, mereka cuba mendaki semula ke South Col, kali ini berpecah kepada dua kumpulan. Pasangan itu terpisah, Hannelore Schmatz berada dalam kumpulan tanpa suaminya bersama dua orang sherpa, manakala yang lain berada bersama suaminya.

Kumpulan Gerhard sampai terlebih dahulu di South Col setelah mendaki selama tiga hari, sebelum bermalam di sebuah khemah. Kumpulan Gerhard kemudiannya meneruskan perjalanan untuk ke puncak Everest.

Manakala kumpulan Hannelore masih dalam pendakian ke South Col sewaktu kumpulan Gerhard tiba di puncak Everest pada subuh 1 Oktober 1979.

Kumpulan Gerhard tiba di puncak selatan Everest pada pukul 2.00 petang, menjadikan Gerhard Schmatz manusia paling tua berjaya sampai ke puncak Everest pada usia 50 tahun.

Sementara kumpulan itu meraikan kejayaan mereka, Gerhard memberitahu keadaan dari kemuncak selatan ke puncak Everest sangat sukar dengan keadaan ribut salju.

Kumpulan Gerhard menuruni gunung dalam kadar segera dan menempuhi kesukaran yang sama seperti waktu mendaki.

Apabila kumpulannya selamat sampai ke South Col pada 7.00 malam itu, kumpulan isterinya, yang baru tiba di situ pada masa yang sama Gerhard sampai ke puncak Everest–sudah bersedia untuk mendaki ke puncak.

Gerhard dan ahli kumpulannya memberi amaran pada Hannelore mengenai keadaan pendakian yang sangat sukar disebabkan salju dan ais yang teruk dan cuba memujuk mereka untuk tidak naik ke puncak. Tetapi Hannelore ‘berdegil’, kata suaminya, kerana dia juga mahu menguasai puncak Everest.

Kematian Hannelore Schmatz yang tidak dijangka

Hannelore Schmatz dan kumpulannya memulakan pendakian dari South Col ke puncak Everest pada lebih kurang pukul 5.00 pagi. Semasa Hannelore mendaki, suaminya pula memulakan perjalanan menuruni gunung ke Kem Dasar III dalam keadaan cuaca yang bertambah buruk.

Pada pukul 6.00 petang, Gerhard menerima komunikasi melalui walkie-talkie bahawa isterinya telah berjaya sampai ke puncak Everest bersama kumpulannya. Hannelore ialah wanita keempat di dunia berjaya sampai ke puncak gunung itu.

Bagaimanapun, perjalanan turun dari puncak gunung oleh Hannelore dan kumpulannya sarat dengan bahaya. Menurut ahli kumpulannya yang terselamat, Hannelore dan pendaki Amerika, Ray Genet, keduanya keletihan dan ingin berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan turun.

Sherpa Sungdare dan Ang Jangbu, yang berada bersama Hannelore dan Genet, menentang keputusan mereka. Mereka sedang berada di ‘Zon Kematian’, yang merupakan kawasan paling berbahaya dan ramai telah mati di situ. Sherpa-sherpa itu menasihatkan mereka berdua meneruskan perjalanan turun.

Gambar: Hannelore dan Ray Genet

Tetapi Genet benar-benar tidak mampu meneruskan perjalanan dan menunggu di situ, menyebabkan kematiannya diakibatkan hypothermia. 

Ketakutan akibat kematian rakannya, Hannelore dan dua orang sherpa tersebut meneruskan perjalanan mereka untuk turun. Tetapi sudah terlambat, badan Hannelore semakin lemah disebabkan iklim yang mencabar.

Menurut Sherpa yang ada bersamanya, perkataan terakhir Hannelore ialah , “air, air.” sebelum dia duduk untuk berehat. Dia meninggal dunia di situ, bersandar pada beg sandangnya.

Selepas kematian Hannelore, salah seorang sherpa telah menunggu di situ bersama mayatnya, menyebabkan dia kehilangan satu jari dan beberapa jari kaki kerana reput fros (frostbite).

Hannelore Schmatz ialah wanita Jerman pertama dan rakyat Jerman pertama meninggal dunia di lereng gunung Everest.

Mayat Hannelore ‘penanda’ menakutkan buat pendaki lain

Mayat Hannelore, selama bertahun-tahun, mengalukan kedatangan pendaki-pendaki lain selepas kematiannya.

Gambar: Mayat Hannelore

Setelah kematian tragik Hannelore pada usia 39 tahun di Everest, suaminya menulis,

Walau bagaimanapun, kumpulan kami pulang. Cuma saya pulang sendiri tanpa kesayangan saya, Hannelore.

Mayat Hannelore kekal di tapak yang sama dia menghembuskan nafas terakhir, dibekukan seperti mumia oleh cuaca berais yang ekstrim, di lereng yang merupakan jalan pendakian buat pendaki-pendaki lain.

Kematian Hannelore menjadi sebutan pendaki lain kerana keadaan mayatnya, membeku di tempat yang sama dan boleh dilihat oleh sesiapa saja yang mendaki Everest di lereng selatan.

Masih memakai pakaian pendaki, matanya masih terbuka dan rambutnya berterbangan ditiup angin kencang. Pendaki-pendaki lain menggelarnya sebagai ‘wanita Jerman’.

Ketua ekspedisi dan pakar pendaki Norway, Arne Naess Jr yang berjaya sampai ke puncak Everest pada tahun 1985 memberitahu tentang pertemuannya dengan mayat Hannelore:

Saya tak dapat melepaskan diri dari ‘pengawasannya’. Kira-kira 100 meter di atas Kem IV dia terduduk bersandar pada beg sandangnya, seolah-olah sedang berehat seketika. Wanita yang matanya terbuka luas dan rambutnya terbuai ditiup angin.

Ia mayat Hannelore Schmatz, yang meninggal dunia di situ pada tahun 1979, isteri kepada ketua ekspedisi dari Jerman. Dia berjaya sampai ke puncak, tetapi terbunuh dalam perjalanan turun. Tetapi saya rasa seolah-olah dia memerhatikan saya sewaktu saya turun melepasi mayatnya. Kehadirannya mengingatkan saya bahawa keselamatan kami bergantung pada keadaan gunung.

Seorang sherpa dan inspektor polis dari Nepal cuba untuk mengambil mayatnya pada tahun 1984, tetapi mereka berdua jatuh dari lereng gunung dan maut. Sejak itu, mayat Hannelore menjadi ‘milik’ gunung Everest.

Sehingga pada satu saat, angin kencang telah menolak mayatnya sehingga jatuh di pinggir Kangshung Face, dan sejak itu tidak dilihat sesiapa lagi, hilang buat selamanya. – amazingnara.com

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...