Di dalam sejarah perubatan, wabak ‘Black Death’ antara wabak paling teruk yang pernah menyerang dunia di antara tahun 1334 dan 1353. Penularan wabak ini telah mengorbankan puluhan juta manusia sehinggakan tamadun itu terpaksa mengambil masa selama 200 tahun untuk mengembalikan jumlah populasi manusia ketika itu.
Dengan penularan wabak COVID-19 yang sedang menular kini, hal berkaitan wabak Black Death ini kembali menjadi bualan ramai antaranya ialah pakaian perlindungan yang dipakai oleh doktor pada waktu itu. Kebiasaannya pakaian perlindungan yang digunakan akan menutup seluruh tubuh badan bagi mengelakkan jangkitan.
Oleh kerana wabak Black Death telah mengorbankan puluhan juta pesakit pada waktu itu, mereka telah mengeluarkan satu pakaian khas untuk dipakai oleh para doktor. Menurut sumber, paruh burung pada kostum itu bertujuan untuk menapis udara memandangkan wabak ini boleh tersebar melalui sistem pernafasan.
Di dalam paruh tersebut, diletakkan rempah dan bunga wangi bagi menghapuskan ‘udara tidak baik’ akibat wabak itu. Beberapa perincian lain turut digunakan seperti tongkat untuk memeriksa pesakit dan topi lebar yang menandakan pemakai adalah seorang doktor.
Fasa awal pembuatan
Sewaktu wabak ini mula menular, pada ketika itu para ahli perubatan masih lagi tidak dapat mengetahui punca penyebaran wabak Black Death. Pada abad ke-16, mereka akhirnya mendapati ianya boleh merebak melalui pengudaraan dan menyebabkan beberapa doktor memilih pelbagai pakaian perlindungan.
Pada tahun 1619, satu ‘uniform’ khas telah direka oleh Charles de l’Orme seorang ketua doktor kepada Louis XIII. Oleh kerana mereka percaya bahawa wap bau boleh melekat pada pakaian mereka dan menyebarkan penyakit, mereka memilih untuk menggunakan material kulit (leather) untuk uniform ini.
Kostum yang nampak mengerikan ini kemudian didapati mempunyai kelemahannya tersendiri apabila lubang pada paruh tersebut menyebabkan doktor turut menerima jangkitan. Kebanyakan doktor yang memakai uniform ini mendapat jangkitan dan meninggal dunia. Mereka yang tidak dijangkiti pula terpaksa beberapa kali dikuarantinkan sepanjang hayat mereka.