Kisah Diganggu Ketika Perjalanan Melalui Lebuhraya Yong Peng – Pagoh

Trending

Kisah Diganggu Ketika Perjalanan Melalui Lebuhraya Yong Peng – Pagoh

Sebelum ini, kami sangka hanya lebuhraya Karak je yang banyak cerita mistik. Mungkin sebab tak berapa dihebohkan. Tak ramai yang tahu. Bila kami cari, baru lah tahu ada juga yang merasai pengalaman diganggu ketika melalui lebuhraya Yong Peng – Pagoh.

Advertisement

Alkisahnya, pada lewat petang, sepasang suami isteri bertolak pulang ke Kuala Lumpur dari Skudai setelah selesai segala urusan. Dalam pukul 6.30 petang macam tu mereka keluar dari tol Skudai.

Isterinya yang mula-mula memandu kereta. Mereka merancang hendak berhenti solat di R&R Machap. Lepas solat dan mengalas perut, suaminya pula menawarkan diri untuk memandu kereta.

Mereka pun menyambung perjalanan.

Isterinya duduk disebelah suami sambil tersengguk-sengguk menahan mata yang mengantuk. Sesekali isterinya terlelap sebab tak tahan sangat dah mata yang berat. Dalam kereta, mereka banyak diam sambil mendengar radio.

Sampai la satu kawasan tu, isterinya terjaga dari terlelap, jalan raya sangat-sangat gelap.

Tak banyak lampu jalan di kiri kanan jalan. Jarak kereta di depan dan di belakang sangat jauh. Tiba-tiba suaminya memperlahankan kenderaan dan memandu di lorong kiri.

Terlalu perlahan yang sangat pelik bagi isterinya sebab si suami suka memecut laju melebihi 130 km/j.

Kenapa perlahan sangat dan masuk ke lorong kiri, padahal tak ada kereta pun kat belakang yang nak memotong bila isterinya jeling cermin sisi yang nyata gelap gelita.

Agak lama juga si suami memandu perlahan hingga timbul dalam hati isterinya, kereta ‘berat’ ke?

Lepas papan tanda Pagoh, suaminya memecut semula.

Tapi isterinya tak bertanya apa-apa sebab mungkin tadi dia mengantuk.

Sampai la dekat Senawang, si isteri perasan suaminya asyik menguap. Si isteri bersuara sambil memicit-micit bahunya untuk hilangkan mengantuk, “ok ke?”

Si suami macam sangat terkejut bila isterinya sentuh bahu dia.

Tapi dia tetap jawab, “tak….ngantok!” Huhu.

Kesian suaminya, memandu sampai mengantok.

Si isteri tawarkan diri untuk tukar giliran memandu. Tapi suaminya tak menjawab. Sebaliknya, dia bertanya, “nampak kan ape yang abang nampak?”

Isterinya pelik. Dijenguk jalan raya terang di depan, kemudian menoleh ke suami. “Nampak ape?”

Suaminya diam dua saat.

“Dekat area bukit yang gelap tadi, yang tak banyak kereta, tahu tak abang nampak ape?”

“Tak….” Isterinya mula rasa semacam.

“Abang nampak benda dalam kereta. Dalam cermin pandang belakang.”

“Allahuakbar. Sebab tu ke kereta perlahan sangat tadi, sebab berat?”

“Aha. Berat. Muka dia betul-betul nampak full dan jelas dalam cermin pandang belakang.”

Allah. Allah. Allah

“Perasan kan tadi kat bukit tu?” tanya suaminya lagi. Mungkin dia nak pastikan bukan dia berimaginasi sendiri.

“Aha, perasan…abang bawak slow.”

“Kejap je kat situ tadi, lepas tu hilang. Menumpang kot.”

Kemudian mereka diam. Selang beberapa minit isterinya pandang muka si suami.

Dalam hati si isteri, isterinya bersyukur sangat-sangat, suami tenang menghadapi situasi tu. Dia tak melatah dan hilang kawalan.

Fikir isterinya, kalau lah dia yang memandu, apa agaknya yang akan isterinya buat? Boleh ke jadi setenang si suami? Ada hikmahnya Allah tukarkan giliran memandu kat Machap. Subhanallah!

Si isteri masih bimbang. Si isteri fikir lebih baik dirinya yang memandu.

Suaminya dah mengantuk dan penat, ditambah dengan apa yang dah berlaku.

Tapi dirinya sendiri rasa takut dan gerun kalau-kalau ada lagi gangguan lain. Ya Allah, bertawakkal saja lah, Allah Maha Berkuasa. Dia yang lebih patut kita takuti berbanding segala makhluk di muka bumi.

“Abang ok tak?”, tanya si isteri.

Suaminya menggeleng kepala. “Masih terbayang-bayang muka dia.”

“Takut tak muka dia?”

“Seram gila.” Kesian si suami. Dia geleng-gelengkan kepala laju-laju seolah-olah nak hilangkan bayangan wajah makhluk yang menumpang kereta kami. “Perempuan.”

Si isteri tak bertanya lebih lagi sedangkan dalam hati nak tanya ade darah ke, baju putih ke, rambut panjang ke. Bimbang dalam keadaan suaminya macam tu, soalan-soalan tu buat dia tak dapat hilangkan bayangan makhluk tu.

Bila nampak papan tanda RnR Seremban, suaminya bagi signal untuk masuk ke kiri.

Mereka isi minyak kereta, suaminya pergi tandas, kemudian isterinya mengambil alih memandu kereta.

Dengan lafaz doa naik kenderaan dan tawakkal, mereka menyambung perjalanan hingga selamat sampai ke rumah. Alhamdulillah.

Selepas beberapa hari, suaminya bercerita lebih lanjut dekat si isteri rupa makhluk yang menumpang tu.

Wajahnya pucat putih, nampak segala urat, paling ketara urat pada bibirnya, dia duduk tengah-tengah tempat duduk belakang. Tapi dia hanya diam dan matanya hanya memandang ke bawah.

Dia berpakaian warna merah. Rambutnya tak seserabut macam hantu dalam cerita-cerita seram.

Suaminya tergerak dalam hati mahu menegur dan bertanya, dia hendak ke mana, tetapi tidak terkeluar. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...