Kiriman Mesej Ugutan Rogol, Wanita Ini Terima AirDrop Dari Orang Tidak Dikenali Semasa Menunggu Bas

Kehidupan

Kiriman Mesej Ugutan Rogol, Wanita Ini Terima AirDrop Dari Orang Tidak Dikenali Semasa Menunggu Bas

Baru-baru ini seorang wanita menceritakan pengalaman mendebarkan apabila dia menerima mesej ugutan di telefon pintarnya. Semuanya bermula ketika dia sedang menunggu bas untuk pulang ke rumahnya sekitar jam 11 malam di Newton Exchange, perhentian bas di Kanada.

Robyn Kimberly Dobson berkongsikan pengalaman itu di Facebook dan kini menerima lebih 13,000 perkongsian setakat ini. Pada malam kejadian, dia baru sahaja pulang dari makan malam di rumah rakannya. Selepas itu, dia menunggu bas di perhentian bas biasa yang ditunggunya.

Advertisement

Tidak sampai beberapa minit duduk, Dobson menerima permintaan gambar AirDrop dengan gambar hitam tertulis: “Saya akan merogol anda.”

airdrop

Dobson memberitahu dia menolak permintaan AirDrop dari “iPhone Justin” dan segera memutuskan bahawa dia tidak akan turun di perhentian biasa yang memerlukannya berjalan selama sepuluh minit sahaja. Memandangkan dia hanya bersendirian sahaja pada malam itu.

Tiga kiriman mesej yang sama

“Saya mula memikirkan siapa yang menghantar pesanan ini dan apakah ini serius. Adakah ini satu gurauan? Siapa sebenarnya yang menganggap ini lucu?”

Wanita itu kemudian menghantar paparan skrin permintaan AirDrop itu kepada rakan-rakannya dan salah seorang dari mereka mengatakan bahawa dia akan datang menjemputnya di perhentian bas. Walau bagaimanapun, permintaan AirDrop kedua dengan gambar yang sama muncul tidak lama kemudian. Pada ketika ini, dia mengatakan degup jantungnya semakin laju dan telapak tangannya mula berpeluh.

“Saya melihat jam tangan pintar saya dan degupan jantung saya meningkat kepada 143. Saya cuba mencari semua lelaki di dalam bas untuk melihat siapa yang menghantar ini. Saya pasti seorang wanita tidak akan melakukan sesuatu seperti ini kepada wanita lain.”

bas

Gambar hiasan

Menurutnya, ada seorang lelaki di hadapannya dan merupakan satu-satunya lelaki di bahagian hadapan bas. Di bahagian belakang bas pula, sekumpulan lelaki muda sedang bercakap antara satu sama lain. Dalam masa yang sama, dia menerima permintaan AirDrop yang sama untuk kali ketiga.

Hubungi pihak polis

Dobson menghubungi Polis Transit Metro Vancouver setelah menerima pesanan ketiga. Dia kemudian memerhatikan setiap lelaki yang turun dari bas dan merasa lega ketika dia akhirnya sendirian di dalam bas.

Menurut Apple, AirDrop dapat digunakan ketika orang yang anda kirimi berada di tempat yang berdekatan dan berada dalam jangkauan Bluetooth dan Wi-Fi – dan mereka tidak perlu berada dalam senarai kenalan anda. Oleh itu, Apple menyatakan bahawa pengguna dapat meletakkan tetapan penerimaan AirDrop ke Kenalan Sahaja atau Ditutup pada bila-bila masa untuk mengawal siapa yang dapat melihat peranti dan mengirimkan kandungan di AirDrop.

“Semasa saya turun dari bas itu, saya mahu menangis. Bukan kerana saya takut atau kecewa, tetapi kerana saya marah. Saya masih marah. Saya marah kerana seseorang menggunakan gambar itu untuk mencetuskan rasa takut dalam diri saya. Saya marah kerana ia berjaya dilakukan.”

Wanita ini turut memberitahu dia berkongsikan pengalaman ini kerana mahu wanita lain di luar sana berhati-hati dengan manusia yang berselindung di sebalik kemudahan teknologi ini. Selain menegaskan, mesej mengenai rogol dan gangguan seksual seperti ini bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan gurauan.

“Ia mungkin menggembirakan anda, tetapi boleh mempengaruhi orang lain sepanjang hari/malam. Tolong pertimbangkan akibat dari tindakan anda dan bagaimana ia benar-benar mempengaruhi orang di sekitar anda.”

Pihak polis turut menambah bahawa keadaan di sekitar kejadian ini sangat membimbangkan. Semua orang awam berhak menggunakan pengangkutan awam tanpa rasa takut pada serangan atau gangguan. Mereka yang berada dalam situasi terdesak seperti wanita ini disarankan segera menghubungi pihak berkuasa.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...