Tidak dinafikan, penggiat seni antara mereka yang paling terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara ketika ini gara-gara penularan COVID-19.
Begitu juga yang dialami pelakon Fendy Bakry yang khabarnya memilih untuk mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan dalam bidang seni.
Dia yang ditemui media mengakui banyak kerja tergendala dan tidak dapat menjalani penggambaran seperti biasa, seperti selalunya.
Namun, Fendy berkata bahawa meskipun bergelar artis, mereka haruslah memikirkan alternatif lain dalam mencari pendapatan untuk menampung kehidupan seharian.
View this post on Instagram
“Sejak PKP ini saya akui turut terkesan. Banyak kerja tergendala dan apabila tak boleh menjalani penggambaran seperti biasa, saya fokus kepada perniagaan makanan yang saya usahakan. Sebagai penggiat seni, saya faham yang paling terasa impaknya adalah mereka yang bekerja di belakang tabir. Ada kerja, adalah gaji. Tapi, pada masa yang sama, kita kena fikirkan sesuatu untuk menampung kehidupan dan jana pendapatan dalam tempoh krisis ekonomi seperti sekarang.”
Turut berkongsi mengenai sumber pendapatan yang hilang sepanjang pandemik ini, pelakon drama Mr. Grey itu menegaskan bahawa tidak ada apa yang dapat dilakukan kerana banyak penggambaran dihentikan buat sementara waktu.
View this post on Instagram
Dalam pada itu, Fendy turut menzahirkan harapan agar ada berita gembira dan juga sinar buat penggiat seni dan industri kreatif tanah air dalam menghadapi PKP ini.
Difahamkan, Fendy kini sedang mengusahakan secara kecil-kecilan perniagaan berasaskan makanan seperti daging perap dan sebagainya. Manakala untuk perkembangan seninya yang terbaru, Fendy bakal muncul dalam drama berjudul Tak Sempurna Mencintaimu yang dijangka menemui penonton pada bulan Mac ini.