Pempengaruh Malaysia, Kim Seri menafikan bahawa dia melarikan diri ke Jepun susulan kes penipuan membabitkan pakej pelancongan miliknya yang kini sedang menjadi bualan hangat.
Menerusi Instagram story, pempengaruh berusia 39 tahun itu memaklumkan dia kini masih berada di Korea Selatan.
Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina menegaskan dia sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu.
Saya sudah buat satu kumpulan WhatsApp bagi memulakan proses pemulangan wang untuk perjalanan Disember ini dan seterusnya.
Perjalanan akan datang bukan bermaksud pakej baharu yang akan dibuka. Saya tidak buka mana-mana perjalanan baharu tetapi yang sudah ada, iaitu yang akan berlepas pada Januari dan Februari ini.
Tambahnya, nombor Whatsapp yang digunakannya sebelum ini sudah tidak lagi berfungsi kerana pihaknya terpaksa menyahaktif peranti itu berikutan menerima terlalu banyak mesej.
Polis Malaysia mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dilakukan pempengaruh bernilai hampir RM500,000.
Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri, yang menawarkan pakej selama lima hari, dengan harga kira-kira RM4,000.