Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus sebelum ini mengejutkan ramai dengan keputusannya mahu melelong Kasut Emas yang dimilikinya. Keputusan itu dibuat bagi meneruskan hidupnya yang semakin terkesan selepas kehilangan sumber pendapatan.
Di dalam perkongsian terbarunya di laman Instagram, Khalid memberitahu hari ini merupakan hari terakhir Kasut Emas itu menjadi miliknya. Bermaksud, bermula esok trofi berharga itu akan bertukar milik menjadi pembida yang berjaya membidanya dengan harga yang masih belum diumumkan secara rasmi.
“Hari ini adalah hari terakhir. Esok saya mesti mengucapkan selamat tinggal.”
Sebelum ini, Khalid jelas tidak berganjak dengan keputusannya apabila tetap mahu melepaskan trofi Kasut Emas yang dimenangi bersama Perak pada 18 tahun lalu. Walaupun dikhabarkan mendapat khabar baik selepas pertemuannya bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Bekas pemain berusia 43 tahun itu menegaskan Kasut Emas itu tetap perlu dilepaskan demi kelangsungan hidupnya. Namun, hala tuju Kasut Emas itu masih menjadi misteri apabila Khalid dilihat cuba menunggu tawaran terbaik untuk anugerah berprestij itu.
Menurutnya sebelum ini, ada bidaan dari Sabah dan Pantai Timur dan dia juga menunggu sekiranya ada pihak yang mahu mengambilnya untuk muzium di Perak. Setakat ini, difahamkan bidaan Kasut Emas itu sudah mencecah RM50,000 walaupun pada mulanya ia dibida pada harga RM10,500.