Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan telah menyerahkan surat rayuan bagi kembali menyertai UMNO selepas sebelum ini dipecat daripada parti tersebut.
Rayuan berkenaan diserahkan sendiri oleh Khairy kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau telah menerima permohonan tersebut dan perkara itu akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diteliti serta dipertimbangkan.
Menurutnya, usaha penyatuan menjadi keutamaan dalam perjuangan parti bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.
“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” katanya.
Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada tahun 2023. Selepas itu, beliau secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti tersebut melalui agenda Rumah Bangsa.
Langkah itu hadir selepas UMNO membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan, selain mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin bersama memperjuangkan parti tersebut.
Selain itu,kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

