Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bakal kembali menyertai parti itu selepas mengemukakan surat permohonan pembatalan pemecatan pada malam semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan Ahmad Zahid menerusi satu video pendek yang dikongsikan kepada umum.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, pihaknya menerima permohonan yang dikemukakan oleh Khairy dan memilih untuk memaafkan serta tidak lagi membangkitkan kenyataan negatif yang pernah berlaku sebelum ini.
“Saya ingin mengesahkan penerimaan beliau dan kita melupakan semua perkataan-perkataan yang pernah dikeluarkan secara negatif.”
“Dengan ini saya mengesahkan bahawa saudara Khairy Jamaluddin kembali kepada UMNO,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa UMNO membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti berkenaan menerusi inisiatif yang dikenali sebagai ‘Rumah Bangsa’.
Untuk rekod, Khairy Jamaluddin sebelum ini dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

