Ketepikan Ijazah Yang Dimiliki, Wanita Ini Buktikan Cinta Itu Benar-Benar Buta

Trending

Ketepikan Ijazah Yang Dimiliki, Wanita Ini Buktikan Cinta Itu Benar-Benar Buta

Setelah berhempas pulas menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi, sudah tentu kita mengimpikan sebuah pekerjaan yang benar-benar menjamin kelangsungan hidup.

Advertisement

Tetapi berbeza dengan wanita ini yang memiliki segulung ijazah dari sebuah universiti tempatan.

Beliau, Norazliza Mohd Resident, 38, lebih memilih untuk melaksanakan tanggungjawab ke atas suaminya Mohammad Syukrie Sahmad, 42, yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) buta.

Demi kasihnya pada suami, Norazliza tidak pernah sekalipun menyesal atas perkahwinan yang dibina tujuh tahun lalu, malah mengakui bahagia walaupun suaminya Mohammad Syukrie Sahmad, 42, buta.

Norazliza menjadi suri rumah sepenuh masa demi menjaga Mohammad Syukrie yang bekerja sebagai tukang urut refleksologi dan tiga anak Rayyan Ahmadul Azri, 6; Nurzaahirah Samhatul Azrin, 5, dan Rayhan Abharul Azri berusia tiga tahun.

“Pernah saya mahu memberinya sebelah mata supaya kami dapat sama-sama melihat walaupun cuma dengan sebelah mata. Tetapi dia menolak dan meminta saya menjadi ‘matanya’ seumur hidup kerana itu lebih berharga buatnya.

“Alhamdulillah sepanjang melayari rumah tangga, suami tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa meskipun tidak dapat melihat,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Gemas, Tampin.

Ditanya mengenai detik perkenalan, Norazliza mengenali suami ketika menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, kira-kira 17 tahun lalu.

“Rakan saya meminjam telefon bimbit saya untuk menghubungi jirannya (Mohammad Syukrie) untuk bertanya sesuatu. Selepas itu, Mohammad Syukrie menghubungi semula nombor saya dan sejak itu kami mula berkawan.

“Selepas mengenali Mohammad Syukrie, saya kerap mengikuti aktiviti dilakukan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur sebagai sukarelawan. Saya mula tertarik dengannya kerana sikap mengambil berat selain mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang perubatan,” katanya.

Sebaik menamatkan pengajian, Norazliza menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan Mohammad Syukrie yang hanya bekerja sebagai tukang urut refleksologi, tetapi ketika itu keluarga tidak bersetuju membuatkan dia terpaksa menangguhkan hasratnya.

“Selepas 10 tahun, doa saya dan suami dimakbulkan Allah SWT apabila keluarga akhirnya bersetuju dan kami berkahwin pada 27 November 2010. Alhamdulillah, keluarga menerima suami dengan baik dan tidak membezakannya dengan orang lain,” katanya yang menetap di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Katanya, banyak cabaran perlu ditempuhi apabila bersuamikan OKU kerana kerja rumah dan menjaga anak perlu dilakukan sendirian selain perlu memastikan keadaan rumah rapi demi keselamatan suami.

Selain itu, katanya, dia memerlukan kekuatan mental dan fizikal, namun bersyukur suami tidak pernah menyakiti hati dan perasaannya.

Tulusnya kasih seorang isteri sehingga sanggup menggadaikan masa depan yang cerah demi tanggungjawab terhadap suami. Moga rahmat Allah sentiasa melimpahi keluarga ini dan didoakan semoga setiap inci urusan mereka dipermudahkan Allah.

Amin.

Sumber : Harian Metro

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...