Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia tampil mempertahankan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer susulan kontroversi berkaitan pakaian seragam syarikat yang tular baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Pos Malaysia, kesatuan tersebut menegaskan bahawa kenyataan Brewer mengenai isu berkenaan tidak bertujuan untuk merendah-rendahkan atau memperlekehkan mana-mana warga kerja Pos Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak kesatuan telah mendapatkan penjelasan langsung daripada CEO sehari selepas isu tersebut mencetuskan reaksi dalam kalangan orang ramai.
Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan tersebut.
Kesatuan menyeru agar isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau.
Turut dimaklumkan, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Brewer dilihat sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat, termasuk turun padang bagi memahami serta menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh pekerja.
Sehubungan itu, kesatuan menyatakan pendirian mereka untuk terus berdiri teguh menyokong kepimpinannya.
Mengulas lanjut berkenaan isu pakaian seragam, pihak kesatuan menjelaskan bahawa semua kakitangan telah dimaklumkan mengenai penggantian seragam baru.
Namun begitu, proses tersebut mengalami sedikit kelewatan tahun ini susulan usaha penambahbaikan dari segi material dan kualiti bagi memastikan keselesaan dan kesesuaian pemakaian untuk semua kakitangan.
Sebagai langkah interim, pihak Pengurusan Operasi akan mengagihkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota kesatuan yang terlibat, dengan proses pengedaran akan dijalankan secara bersama antara pihak pengurusan dan kesatuan.
Terdahulu, Brewer telah menyampaikan permohonan maaf kepada semua kakitangan yang terkesan, serta kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataannya berhubung isu pakaian seragam tersebut.