Populariti matcha iaitu serbuk teh hijau dari Jepun terus melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi bahan kegemaran dalam pelbagai minuman dan makanan.
Warna hijaunya yang terang, aroma menyegarkan dan rasa unik menjadikan matcha pilihan ramai, terutama dengan sokongan trend di media sosial.
Namun, peminat matcha mungkin bakal berdepan dengan harga yang le bih tinggi dan stok yang semakin terhad tidak lama lagi. Lonjakan permintaan secara global memberi tekanan besar kepada industri matcha Jepun yang masih bergelut untuk memenuhi keperluan pasaran.
Meskipun pengeluaran kini berada pada tahap optimum, proses menghasilkan matcha yang teliti dan memerlukan banyak tenaga kerja menjadikan peningkatan bekalan bukan sesuatu yang mudah.
Kerajaan Jepun sedang berusaha menggalakkan lebih ramai petani menceburi industri ini menerusi subsidi dan pelbagai inisiatif, namun pakar industri memberi amaran bahawa Jepun kini hampir mencapai had maksimum pengeluaran mereka.
Tambahan pula, ancaman tarif baru oleh Amerika Syarikat boleh memburukkan lagi keadaan. Walaupun matcha asli hanya dihasilkan di Jepun, tarif 24% ke atas barangan Jepun yang kini ditangguhkan selama 90 hari tetap mencetuskan kebimbangan, apatah lagi tarif 10% masih dikenakan ke atas banyak negara.
Jika Jepun termasuk dalam senarai tersebut, pengguna di Amerika Syarikat mungkin akan merasai kesan kenaikan harga dengan lebih ketara.
Desas-desus mengenai kekurangan matcha mula timbul sejak musim luruh 2024 dan berlanjutan hingga awal tahun ini. Menurut The Japan Times, industri teh Jepun kini berdepan “tekanan luar biasa” yang dijangka berterusan sepanjang 2025.
Dengan permintaan yang terus meningkat, kekurangan tenaga kerja, serta cabaran dalam pengeluaran, matcha berpotensi menjadi produk premium, menjadikan harga lebih mahal dan lebih sukar didapati.
Buat penggemar teh hijau ini, mungkin sudah tiba masa untuk menyimpan stok atau bersedia untuk membayar lebih.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.