Kesan PKP, Pereka Grafik ‘Lari’ Bidang Usahakan Kebun Timun Untuk Menyara Ibu

COVID-19

Kesan PKP, Pereka Grafik ‘Lari’ Bidang Usahakan Kebun Timun Untuk Menyara Ibu

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, banyak industri perniagaan yang terjejas dan ada sesetengah pihak yang diberhentikan kerja selain mengalami kekangan dari sumber kewangan.

Oleh itu, ramai yang mencari inisiatif baru termasuklah memberanikan diri untuk berkecimpung dalam bidang yang serba baru.

Advertisement

Di Kuantan, seorang pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Rusydan Fikri Mohd Roslan kini mengambil langkah untuk meninggalkan dunia grafiknya buat sementara dek penangan Covid-19 ini.

Walaupun perlu menahan terik matahari, pemuda ini terus komited menguruskan kebun timun yang baru diusahakan selepas terkesan dengan pandemik ini.

Anak jati Kuantan itu mula mengusahakan kebun yang terletak di Pandan di sini sekitar Ogos tahun lepas setelah studio grafik dan pengiklanan yang menjadi punca rezekinya kurang mendapat sambutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.

Keadaan itu menyebabkan Muhammad Rusydan Fikri, 27, hanya sempat berada dalam bidang grafik lebih kurang dua tahun selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Visual, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada tahun 2018.

Meskipun pekerjaan dahulu disapa hawa dingin yang sejuk, dia harus memikirkan alternatif lain kerana bertanggungjawab menjaga ibu sebagai anak lelaki sulung selepas kematian ayahnya.

Menyingkap detik permulaan Fikri, dia berkata bapa saudaranya yang mencadangkan untuk menanam timun kerana menurutnya tanaman itu antara yang senang dijaga dan mudah mendapat pulangan modal.

“Rasa takut pada awalnya memang ada kerana saya tiada pengalaman selain meminjam wang daripada ahli keluarga untuk mendapatkan modal permulaan RM8,000. Ini lebih kepada mencuba kerana saya hanya sempat belajar selama beberapa jam daripada lawatan ke kebun timun di Temerloh”

Sumber : Sinar
Muhammad Rusydan Fikri berkata, beliau menyewa tanah seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) bagi tujuan itu dan buat masa ini, dibantu oleh bapa dan ibu saudaranya serta seorang rakan untuk ‘mengerjakan’ kebun meliputi tugasan menyiram, membaja dan meracun mulai awal pagi hingga 6 petang.

Ujar lelaki yang berusia 27 tahun itu, semua penat lelah itu berbaloi apabila mereka menuai hasil pertama pada Oktober tahun lepas yang mencecah sehingga ratusan kilogram sehari sebelum timun itu diasingkan mengikut gred dan dibungkus untuk ‘ditolak’ kepada penjual pasar borong pada harga 70 sen sekilogram.

“Kali pertama memungut hasil teringat kepada kata-kata rakan yang mempersoalkan niat saya…maklumlah kerja ini tidak popular untuk orang muda. Tapi saya seronok bekerja sendiri dan badan juga lebih sihat kerana banyaktenaga digunakan” 

Menyedari ramai individu lain turut terkesan dengan pelaksanaan PKP, Muhammad Rusydan Fikri turut memberikan timun percuma kepada mereka yang memerlukan khususnya kepada peniaga makanan kecil-kecilan sebagai usaha membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkongsi cerita bahawa pada tuaian pertama, beliau membungkus timun dan ‘berlegar-legar’ di sekitar bandar Kuantan pada sebelah petang untuk bertemu peniaga gerai makanan bagi bertanya jika mereka menggunakan sayuran itu dalam masakan.

Dia turut mengalukan kedatangan sesiapa yang memerlukan timun untuk datang ke kebunnya dengan syarat membawa plastik sendiri dan memakai pelitup muka. Kata pemuda ini yang kian sibuk kerana kekurangan orang di kebun.

“Jika mereka berkeras mahu membayar saya minta mereka memberi seikhlas hati. Untuk yang kurang berkemampuan, jangan segan kerana saya memang berniat untuk memberi secara percuma. Timun yang diberikan adalah yang dipetik setiap hari kerana saya percaya sedekah perlu barangan yang baik,” 

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...