Seorang lelaki berusia 61 tahun telah ditahan selepas disyaki membuat ugutan kepada Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina.
Suspek ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas polis menerima laporan mengenai satu kenyataan di laman Facebook yang berunsur ugutan jenayah.
Menurut, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada Jumaat lalu daripada mangsa.
Polis Sabah turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan hasil semakan awal ke atas gajet itu mendapati bahawa lelaki berkenaan merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’.
Kes kini sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Aktra Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Dalam pada itu, polis turut menasihati orang ramai agar sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
Orang ramai digesa untuk sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan di media sosial, selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.
Terdahulu, Dr Jessie dilaporkan telah membuat laporan poli susulan ugutan diterimanya kerana menjadi saksi dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu tersebut.