Lima remaja telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, lapor Berita Harian.
Mengaku tak bersalah
Ketika prosiding yang dilakukan secara tertutup itu, kesemua remaja berumur bawah 18 tahun berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus.
Berdasarkan pertuduhan, mereka berlima dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan.
Kejadian berkenaan didakwa dilakukan mereka berlima yang identiti tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 itu, di antara kira-kira jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Nor Azizah juga berkata hal lain yang berkaitan prosiding tidak boleh didedahkan kepada umum berikutan perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah.
Mahkamah menetapkan tarikh 25 September depan untuk sebutan semula kes.