Usahawan kosmetik, Nur Sajat enggan membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial dalam tempoh 48 jam seperti yang dituntut oleh seorang wanita dikenali sebagai Yusmiliati Mohamed Yusof atas dakwaan usahawan itu telah menganiaya dirinya kerana gagal menguruskan dokumen menukar maklumat jantina daripada “lelaki” kepada “perempuan” di dalam kad pengenalan.
Sajat mengatakan dirinya tidak bersalah dan tidak pernah membayar bagi mendapatkan pertolongan untuk menukar maklumat jantina seperti yang didakwa
Merepeklah! Saya tak pernah minta tukar jantina. Saya juga tidak akan membuat permohanan maaf atau membayar sebarang pampasan seperti yang dituntut individu tersebut.
Sebab saya pun tidak kenal dan tidak pernah bertemu dengan dia, semua yang didakwa itu juga tidak benar. Saya tidak ada kena mengena pun sebab yang buat laporan polis itu pembantu saya, jadi kenapa pula saya yang kena minta maaf.
Terdahulu, Yusmiliati menerusi satu sidang media memberitahu pembantu peribadi Sajat, iaitu Ashaari Bin Maznan telah menyatakan hasratnya untuk membuat satu permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPNM) bagi menukar jantina pada kad pengenalan yang tertera jantina “lelaki” kepada “perempuan”
Bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditolak atas alasan pemohon gagal untuk melampirkan satu salinan surat daripada doktor mengesahkan Sajat seorang khunsa. Gara-gara itu, Sajat dikatakan tidak berpuas hati dan membuat laporan polis terhadap Yusmiliati menuduhnya menipu duit bayaran bagi proses berkenaan.
Yusmiliati ditahan reman selama empat hari pada 1 Januari lalu di Balai Polis Ampang atas kesalahan jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Malah, Yusmiliati turut dituduh di Mahkamah Majistret Ampang atas dua tuduhan iaitu menipu dan kes masih dalam proses sebutan disebabkan dia mengaku tidak bersalah.