Kes yang mencuri perhatian ramai sejak 2022 akhirnya menemui penamat apabila Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini melepas dan membebaskan bekas diplomat, Datuk Zainal Abidin Alias serta anaknya, Mohamed Rizal daripada semua pertuduhan berkaitan ganja.
Memetik laporan Harian Metro, mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini, dua beranak itu dibicarakan atas pertuduhan mengedar ganja seberat 989.6 gram, menyimpan minyak ganja serta menanam 102 pokok ganja di sebuah rumah di Janda Baik, Bentong.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Roslan Mat Noor selepas meneliti keseluruhan kes pada akhir peringkat pendakwaan.
Menurut peguam Muhammad Farhan Shafee, mahkamah mendapati terdapat beberapa kelemahan ketara dalam siasatan termasuk jurang penyiasatan dan kegagalan mengaitkan tertuduh dengan bahan terlarang yang ditemui di hartanah tersebut.
Hakim turut menjelaskan keadaan muka bumi yang beralun, cerun curam serta dedaunan tropika yang lebat mewujudkan ‘zon bayang’, sekali gus menyukarkan Zainal Abidin yang ketika itu berusia 78 tahun untuk melihat kawasan penanaman tersebut dari rumah atau garaj.
Mahkamah juga menerima hujahan bahawa 102 pokok ganja yang ditemui tidak dapat dilihat secara fizikal dari lokasi beliau ketika serbuan dijalankan.
Selain itu, rumah berkenaan didapati tidak berkunci dan boleh diakses oleh pihak ketiga, selain analisis forensik digital terhadap peranti milik Mohamed Rizal juga tidak menemui bukti komunikasi yang mengaitkan mereka dengan kegiatan tersebut.
Muhammad Farhan memaklumkan mahkamah turut menyatakan bahawa kelakuan Zainal Abidin semasa serbuan polis adalah seperti individu yang memberikan kerjasama dan terkejut serta tidak menunjukkan sebarang tanda ketakutan atau cubaan untuk melarikan diri. – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

