Suspek yang ditahan kerana mengelar isterinya hingga maut di rumahnya di Taman Cahaya, Bukit Gambir dilaporkan beberapa kali bertakbir dan beristighfar ketika dalam tahanan lokap.
Menurut laporan, tindakan tiba-tiba itu dilakukan oleh suspek berusia 33 tahun itu ketika sedang menunggu proses reman pada 8.30 pagi ini.
Sebelum itu, suspek dikatakan kelihatan tenang namun tidak lama kemudian dia didengari meraung dengan kuat selain turut melaungkan takbir ‘Allahuakbar’ dan beberapa zikir lain selama hampir satu minit.

Kredit: Harian Metro
Terdahulu, Mahkamah Majistret Tangkak membenarkan tempoh reman tujuh hari terhadap suspek bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 435 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian ngeri itu, suspek disyaki mengelar isterinya menggunakan pisau pemotong sayur sebelum meninggalkan wanita itu.
Lebih menyedihkan, mangsa ditinggalkan dalam keadaan dibaluti selimut tebal (toto) sebelum suspek meninggalkannya untuk ke rumah ibu mentuanya pada pagi keesokan hari untuk membakar rumah dan kenderaan.
Menurut sumber, selepas kejadian itu suspek telah menghubungi abang iparnya (suami kepada kakak) dan meminta bantuan menghantarnya ke balai polis.
Ketika di balai polis, barulah suspek membuka mulut dan menceritakan kejadian sebenar sebelum kemudian dibawa ke rumahnya untuk menunjukkan mayat isterinya.
Difahamkan, suspek mendirikan rumah tangga dengan mangsa sejak tiga tahun lalu, namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Kejadian itu berlaku tanpa disedari mana-mana jirannya. Sebelum kejadian, suspek memberitahu dia bertengkar dengan mangsa dengan berakhir dengan kematian menyedihkan.
Kata sumber lagi, hubungan suspek dengan mangsa sebelum ini sangat baik namun sejak beberapa bulan lalu berlaku perubahan hingga mereka kerap bergaduh.
Suspek tidak bekerja, manakala isteri kerja di sebuah kilang.