Kontroversi Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman menunaikan umrah dengan berpakaian wanita lengkap bertelekung baru-baru ini, cukup hangat diperkatakan sehingga mendapat perhatian kerajaan. Tindakannya itu telah memberi imej buruk kepada agama dan negara.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata kes berkenaan hanyalah satu isu kecil dan pihaknya enggan mengulas lebih lanjut mengenai tindakan yang akan diambil terhadap Sajat.
Isu Sajat ini sudah jadi isu kecil, tiada komen.
Enggan spekulasi tercetus, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan rasmi berkata, komen Datuk Seri Mujahid jangalah disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Ini kerana menteri dan kementerian sentiasa memandang serius terhadap sebarang isu yang melibatkan umat Islam di negara ini.
Bagi isu melibatkan Sajat, sebarang tindakan yang hendak diambil perlu memenuhi tiga aspek iaitu ia perlu mengurangkan kerisauan orang ramai, kandungan yang dimuatnaik di media sosial perlu diteliti dan perlu memastikan dia menghormati landasan dan syariat Islam di negara ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Mujahid meluahkan rasa kesal dengan tindakan Sajat yang didakwa telah mencemarkan imej Islam dan menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dengan Arab Saudi.
Terdahulu, agensi pelancongan yang membawa usahawan kosmetik itu menunaikan umrah mendakwa Sajat mengaku sebagai lelaki ketika mendaftar. Bagaimanapun, sebaik sahaja berada di Makkah dia menukar penampilannya sebagai jemaah wanita yang lengkap bertelekung.
Selepas dikecam teruk Sajat tampil memohon maaf secara terbuka dan berkata dia tidak mempunyai niat lain untuk ke Makkah selain mahu dekatkan diri dengan agama dan memberi fokus untuk beribadah.