Penyanyi Radhi OAG meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya membebaskannya daripada tuduhan mencederakan bekas isteri, Nur Shahira Ayu Zahiril pada April 2022.
Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 48, berkata keputusan itu memberi kelegaan besar selepas hampir tiga tahun berdepan tekanan dan pandangan negatif masyarakat.
Katanya ketika dihubungi mStar,
Saya anggap ini satu hikmah, Allah nak uji. Bayangkan masa awal kes saya digari sampai masuk lokap, ramai fikir saya kaki pukul perempuan.
Radhi mengakui kehidupannya banyak terjejas apabila tawaran persembahan dibatalkan dan emosinya terganggu. “Bila keluar rumah, perempuan tengok saya macam 50-50. Tapi bila kes digugurkan, saya rasa lega sangat. Kalau betul saya pukul, saya akan mengaku sahaja untuk tutup kes,” ujarnya.
Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie sekali gus membebaskannya serta mengembalikan wang jaminan. Peguamnya juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap bekas isteri kerana kenyataan berlebihan yang didakwa menjejaskan imej Radhi.