Hasrat 47 jemaah warga emas untuk menunaikan haji bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka menjadi mangsa penipuan pakej haji palsu yang dipercayai didalangi oleh seorang individu bergelar ustaz.
Berjaya buat jemaah yakin
Menurut laporan Harian Metro, salah seorang mangsa bernama Syed, 63, memaklumkan bahawa dia, isterinya Sharifah, 64, dan seorang ahli keluarga lain mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM81,000 selepas masing-masing membayar RM27,000 kepada seorang penganjur yang mereka kenali melalui kelas agama di Batu Pahat.
Syed menjelaskan bahawa ustaz tersebut dikenali ramai dan berjaya meyakinkan mereka dengan maklumat lengkap termasuk jadual perjalanan serta dakwaan kononnya jemaah sebelum ini tiada masalah untuk memasuki Makkah.
Mereka anjur dua kali kursus haji. Dalam ceramah, dia tak ada cerita langsung hal kesusahan, hanya bagi tahu mengenai kaedah mengerjakan Haji Tamatuk, jadi kita yakin perkara itu boleh dibuat. Mereka guna nama madrasah, jadi kami yakin.
Tapi sebaik sampai di Jeddah, kami dibahagikan kepada kumpulan kecil dan dipaksa meredah semak, bukit dan kawasan kilang tanpa visa.
Jemaah wanita diasingkan tanpa pengiring lelaki
Katanya, dalam perjalanan ke Makkah, ada jemaah yang menaiki lori, kereta dan bas dengan bantuan penduduk tempatan.
Keadaan bertambah cemas apabila kumpulan jemaah wanita ditempatkan secara berasingan tanpa sebarang pengiring lelaki, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan mereka.
Lebih membimbangkan, sebaik tiba di apartmen di Makkah, para jemaah tidak dibenarkan keluar dan seolah-olah ‘terkurung’ selama 21 hari. Mereka dilarang membuka tingkap, tidak mempunyai akses kepada internet, dan bekalan makanan pula dicatu.
Kalau tahu awal kami akan menempuh pengalaman ngeri seperti ini, tawar RM10,000 pun kami tak mahu.
Bayangkan jika teksi Arab Saudi tidak sampai dan kami dibiarkan, kita nak ke mana, apa lagi dalam keadaan cuaca panas 50 darjah Celsius.
Selain itu, seorang lagi mangsa iaitu Nura, 64, berkata lima hari pertama di Madinah berjalan lancar namun pergerakan ke Makkah mula menjadi sukar selepas pihak ejen gagal menyediakan visa haji.
Perjalanan masuk ke Makkah dibuat secara sembunyi menggunakan laluan dalam bagi mengelak kawalan pihak berkuasa Arab Saudi, membuatkan situasi sukar yang tidak pernah kami jangkakan.
Sebelum ini, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 58 dan 59 tahun, termasuk suspek utama yang dipercayai menipu 47 jemaah warga emas dengan menawarkan pakej haji palsu.
Suspek didakwa menggunakan imej sebagai ustaz dan pemilik madrasah untuk meraih kepercayaan mangsa, selain menerima bayaran terus ke akaun institusi tersebut.
Menurut JSJK Bukit Aman, kedua-dua suspek ditahan di KLIA dan IPD Nilai bagi membantu siasatan.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.