Kes Pembunuhan Ratu Cantik, Anita Cobby Di Australia Pada 1986-Pt 3

Trending

Kes Pembunuhan Ratu Cantik, Anita Cobby Di Australia Pada 1986-Pt 3

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Cik X, ketika ditanya mengapa dia mengkhianati Travers dan membantu polis untuk memerangkap lelaki itu, berkata:

Advertisement

Tidak ada seorang wanita pun yang patut menempuhi apa yang telah dilalui oleh wanita itu (Anita).

Perkara ini akhirnya diketahui oleh Travers yang membuat ugutan akan melepaskan diri dari penjara dan membunuh Cik X ketika berada di mahkamah. Sehingga hari ini, identiti dan keselamatan Cik X dilindungi dalam program perlindungan saksi.

Perbicaraan

Perbicaraan bermula pada 16 Mac 1987, tetapi tidak melibatkan John Travers yang telah menukar pengakuan kepada bersalah. Mahkamah telah membicarakan empat yang lain iaitu Mick Murdoch dan tiga adik-beradik Murphy.

Semasa perbicaraan selama 54 hari, juri mendengar dari berpuluh saksi, tetapi sebenarnya keterangan dan rakaman temubual dari kelima-lima tertuduh sendirilah yang akhirnya membawa kepada hukuman mereka.

Setiap dari mereka tampil dengan kenyataan berbeza tetapi mereka sebulat suara dalam empat perkara: bahawa polis telah memukul dan mengugut bunuh mereka untuk memaksa mereka menandatangani pengakuan, bahawa keterlibatan masing-masing dalam pembunuhan Anita adalah minimal, bahawa rakan-rakan lain (dan bukan mereka) memainkan peranan besar dalam pembunuhan itu serta John Travers ialah anggota kumpulan yang mengelar leher Anita sehingga hampir putus.

Dari keterangan demi keterangan oleh kelima-lima tertuduh, juri telah mendengar tentang apa yang sebenarnya telah berlaku pada malam Ahad, 2 Februari 1986.

Travers dan gengnya menghabiskan keseluruhan Ahad itu minum arak di Hotel Doonside dan mereka semua sangat mabuk. Mereka mengambil keputusan untuk bersiar-siar dengan kereta yang telah dicuri oleh Travers seminggu sebelum itu, tetapi bahan api dalam tangki enjin itu semakin habis.

Jadi mereka sepakat untuk mengisi petrol dengan menggunakan wang yang akan dicuri dari ‘mangsa’ yang mereka pilih dalam perjalanan.

Secara kebetulan, Anita Cobby pula sedang berjalan kaki untuk ke rumahnya setelah tiba di stesen keretapi Blacktown malam itu.

Anita dipercayai tidak dapat menelefon bapanya untuk menjemput dia pulang dari stesen malam itu kerana kesemua telefon awam rosak akibat vandalisme. Dia juga dipercayai tidak menggunakan teksi kerana tiada seorang pemandu teksi pun yang menunggu untuk mengambil penumpang di stesen keretapi Blacktown waktu itu.

Jadi, Anita yang membesar di sekitar kawasan itu mungkin merasakan keadaan cukup selamat untuknya pulang dengan berjalan kaki selama setengah jam ke rumah. Seorang wanita yang berjalan seorang diri di sepanjang Jalan Newton dengan beg di bahu merupakan sasaran yang sempurna untuk Travers dan konco-konconya.

Mereka berhenti di depan Anita. Travers dan Mick Murdoch melompat keluar dan mengheret Anita masuk ke dalam tempat duduk belakang. Mereka tidak ada sebarang sebab khusus memilih Anita:

Cuma dia berada di situ dan John (Travers) mahukan dia.

Sebaik saja berada dalam kereta Anita diperintahkan menanggalkan pakaian, tetapi dia enggan. Dia berkali-kali memberitahu mereka:

Lepaskan saya. Saya sudah berkahwin.

Dia juga memberitahu sedang  haid, tetapi Travers dan Murdoch tidak peduli. Mereka mula merentap pakaian Anita, menumbuk wajahnya dan memukul belakang kepalanya. Les Murphy menumbuk wajah Anita dari tempat duduk hadapan manakala Michael Murphy menamparnya. Anita cuba melawan mereka sekuat hatinya tetapi dia bukan lawan mereka.

Mereka menekan tubuh Anita yang tidak berpakaian ke lantai kereta sementera singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol menggunakan wang yang diambil dari dompet Anita dan menekup mulutnya. Dari stesen, mereka beredar ke Reen Road dan dalam perjalanan, Travers dan Michael Murphy merogol Anita sambil mengacukan pisau kepadanya. Yang lain pula memeriksa kandungan beg wanita itu.

Di pertengahan Jalan Reen, mereka menghentikan kereta. Mereka mengheret Anita dan ketika ini, menyorok di celah-selah semak kerana Paul McGaughey telah sampai dengan kereta ke situ (setelah mendapat maklumat dari adik-adiknya yang menyaksikan penculikan Anita). Paul menggunakan lampu limpah untuk menyuluh di situ tetapi mereka  telah memukul dan menekup mulut Anita supaya dia diam semasa mereka bersembunyi.

Paul kemudian beredar dari situ kerana tidak menemui mereka. Lega,  mereka menghumban Anita ke dalam sebuah parit yang kering. Di situ, Travers, Gary Murphy dan Les Murphy merogol Anita bergilir-gilir. Gary Murphy kemudiannya memaksa Anita melakukan seks oral terhadapnya.

Lima lelaki itu kemudiannya mengangkat Anita yang separuh sedar dan mengheretnya masuk melalui pagar kawat berduri untuk ke kawasan padang ternakan. Ia menyebabkan luka calar yang panjang dan dalam pada badan Anita yang hanya menangis dan sudah tiada tenaga untuk melawan mereka.

Dia sudah teruk dipukul dan ditendang sehingga tidak mampu berjalan lagi. Dia diseret ke bahagian tengah padang ternakan dan dihumban di situ.

Anita merayu untuk dilepaskan, tetapi Mick Murdoch merogolnya sekali lagi sambil Michael Murphy memaksanya untuk melakukan seks oral. Setelah selesai, Michael Murphy telah meliwat Anita.

Selepas itu, semasa Travers merogol Anita sekali lagi, Gary Murphy dan Mick Murdoch cuba untuk memaksa Anita melakukan seks oral kepada mereka berdua serentak, tetapi mereka tidak lagi mendapat ereksi.

Saat Terakhir Anita

Kemudian, Michael Murphy bertindak gila dengan merogol, memukul dan menendang Anita sehingga wanita itu hanya terbaring, hampir tidak sedarkan diri dan nafasnya tersekat-sekat. Les Murphy menendang kepala Anita buat kali terakhir sebelum mereka memutuskan yang mereka sudah puas.

Mereka mula meninggalkan Anita dan kembali ke kereta, tetapi Travers tidak puas hati. Dia berkata, Anita akan dapat mengenal pasti wajah mereka dan dia sudah mendengar mereka memanggil nama satu sama lain. Anita perlu mati.

Aku akan pergi balik untuk bunuh dia. Dia takkan hidup untuk dedahkan kita. Aku akan kelar lehernya.

Rakan-rakannya tidak menghalang, malah menggalakkan Travers untuk membunuh Anita.

Ya, dia akan pastikan kita dipenjara. Pergilah, bunuh dia.

Sebenarnya, Travers tidak perlu diberi galakan. Dia kembali ke lokasi Anita terbaring. Dia meniarapkan tubuh Anita yang sudah dipukul separuh nyawa itu, dan duduk di atasnya.

Kemudiannya, dia menarik rambut Anita untuk mendongakkan kepalanya, sementara tangannya mula mengelar kerongkong wanita malang itu.

Dari laporan koroner, jari-jari Anita patah akibat dipukul dan ada yang terputus. Ini kerana Anita dipercayai kerana cuba menahan pisau Travers dari mengelar lehernya. Beberapa tulang badan Anita juga didapati telah beralih akibat dipukul dan ditendang lima lelaki itu.

Dalam kenyataannya, Travers mengimbas yang dia telah mengelar leher Anita dua kali. Bukti forensik menunjukkan Travers berkata benar.

Travers meninggalkan tubuh Anita di situ, masih hidup tetapi darah memancut dari leher yang hampir bercerai dari badannya. Anita dipercayai masih bernafas tetapi udara tidak dapat lagi melalui kerongkongnya, sehingga dua hingga tiga minit sebelum jantungnya berhenti berdetik.

Apabila Travers kembali ke kereta, tubuhnya bermandi darah Anita Cobby. Travers bercakap besar mengenai apa yang telah dilakukannya. Mick Murdoch telah bertanya, apa rasanya bila telah membunuh seseorang. Dia menjawab:

Rasa macam tak ada apa-apa pun.

Mereka memandu ke rumah ibu Travers untuk membersihkan diri. Dalam perjalanan, Travers bercerita dengan terperinci mengenai pembunuhan yang dilakukan. Mereka semua ketawa dan memuji kepintaran Travers.Tidak seorang dari mereka menunjukkan penyesalan tentang apa yang telah dilakukan, sebaliknya mereka melawak mengenainya sehinggalah tiba di rumah Travers.

Travers memberitahu ibunya dia berlumuran darah kerana membunuh anjing yang menyalak mereka. Mick Murdoch kemudiannya mengumpul semua barang kepunyaan Anita dari kereta. Ahli geng mereka seterusnya berdiri mengelilingi sebuah tong kecil. Barangan Anita dimasukkan ke dalam tong itu, disimbah gasolin, sebelum dibakar.  Lima hari kemudian, mereka membakar kereta curi yang digunakan untuk menculik Anita dalam satu kawasan lapang di sebuah hutan.

Dalam kenyataan tidak bersumpah mereka: Gary, Les dan Michael Murphy serta Mick Murdoch meminimakan peranan mereka dalam sejam terakhir hidup Anita Cobby. Mereka saling menyalahkan antara satu sama lain. Mereka juga mendakwa dipukul dengan lampu suluh dan penumbuk anggota polis yang memaksa mereka mengaku. Sebaik saja Travers membuat pengakuan bersalah, mereka berempat telah cuba untuk meletakkan sebanyak mungkin kesalahan kepada Travers.

Gary Murphy mendakwa dia tidak berada bersama mereka semua malam itu. Dia minum-minum bersama rakannya tetapi tidak pasti di mana. Les Murphy menangis dan meminta Tuhan membuat juri percaya dia tidak memukul dan merogol Anita Cobby. Michael Murphy mendakwa dia hanya ikut menumpang dalam kereta dan dia satu-satunya yang telah cuba menghentikan perbuatan rakan-rakannya. Pada satu tahap, dia menjerit:

Saya tak bersalah. Saya tak tahan lagi dengan semua ini.

Mich Murdoch mendakwa terkejut dengan semua itu dan dia hanya duduk di kereta dan tidak berbuat apa-apa.

Pensabitan

Pada 10 Jun 1987, juri mengambil masa sembilan jam untuk memutuskan mereka berempat bersalah. Mick Murdoch dan tiga adik-beradik Murphy itu tidak menunjukkan sebarang emosi apabila dibawa keluar mahkamah.

Tempoh seminggu yang merupakan jarak antara pensabitan dan penetapan hukuman buat mereka berlima bukan satu tempoh yang baik buat mereka. Para banduan di penjara mempunyai ‘kod maruah’ tersendiri.

Pencabul kanak-kanak dan kumpulan lelaki yang merogol dan membunuh wanita muda adalah sasaran utama untuk ‘dihukum’. Orang seperti ini dirujuk sebagai ‘labah-labah batu’. Setiap orang ahli kumpulan Travers diserang dan dibelasah oleh banduan lain.

Pada 16 Jun 1987, John Travers dan gengnya dijatuhkan hukuman di Mahkamah Supreme. Ratusan orang beratur berjam-jam lamanya untuk mendengar hukuman itu. Hakim Maxwell tidak menyembunyikan rasa bencinya ketika lima pembunuh itu berdiri di hadapannya.

Tiada keraguan lagi.  Rasa malu, pencabulan dan ketakutan yang kamu sebabkan pada wanita muda ini, dia ialah mangsa kepada satu serangan fizikal dan seksual yang sadistik dan berpanjangan, termasuk serangan seksual berulang secara anal, oral dan vaginal.

Hanya binatang liar menyerang dan membunuh mangsa yang bersendirian dan lemah secara berkumpulan.  Tetapi mereka melakukannya untuk kemandirian (survival). Kamu melakukannya untuk memuaskan nafsu kamu.

Ini ialah antara serangan fizikal dan seksual yang paling teruk pernah saya temui dalam kerjaya undang-undang saya sepanjang 40 tahun. Lebih kejam lagi apabila mangsa diberi bayangan pada akhir hidupnya yang dia akan menemui ajal oleh kamu.

Sepanjang perbicaraan ini yang panjang, kecuali banduan Murdoch yang nampak sedikit kesal, kamu yang lain langsung tak menunjukkan rasa sesal atau bersalah. Sebaliknya, kamu dilihat beberapa kali ketawa antara satu sama lain atau ketawa mengejek sambil menutup mulut.

Hakim Maxwell kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada mereka berempat dan menambah:

Disebabkan keadaan pembunuhan Puan Anita Lorraine Cobby, saya mengesyorkan fail rasmi setiap banduan ditandakan “tidak akan dibebaskan.”

Sekiranya pihak Eksekutif merasakan perlu untuk mempertimbangkan semula hukuman mereka di masa hadapan, saya akan mengulang semula syor saya, seperti yang pernah dikatakan oleh seorang Ketua Hakim dalam kes lain yang hampir serupa dengan kes ini, bahawa Eksekutif patut memberikan banduan belas kasihan yang berkadaran dengan belas kasihan yang telah mereka berikan kepada Anita Lorraine Cobby di padang ternakan, Prospect, pada 2 Februari 1986 (tiada belas kasihan).

Saya tidak fikir masyarakat akan meminta mereka dibebaskan.

John Raymond Travers, Michael James Murdoch, Leslie Joseph Murphy, Michael Patrick Murphy dan Gary Steven Murphy kini dipenjarakan di penjara sekuriti maksimum sekitar New South Wales. Mereka akan mati di situ.

Mereka tidak akan dibebaskan sampai bila-bila.

John Cobby

Tahun lepas, genap 30 tahun pembunuhan Anita Cobby. Kesemua pembunuhnya masih hidup dan diberi kawalan ketat di penjara sekuriti maksimum sekitar New South Wales.

Pernah pada tahun 1996, John Travers bersama dua orang banduan lain  cuba melepaskan diri dari penjara dengan berpura-pura sakit dan menggunakan gergaji elektrik untuk lari ketika menaiki van ke hospital. Bagaimanapun, rancangan John gagal kerana pihak penjara sudah syak melihatkan kelakuannya yang mencurigakan.

Travers dan konco-konconya juga sering terlibat dalam pergaduhan dan dibelasah banduan lain, sehingga satu tahap, mereka terpaksa diasingkan ke penjara khas. Mereka tidak dipenjara bersama untuk mengelakkan mereka berkomunikasi dan mengatur rancangan untuk melepaskan diri dari penjara.

Bapa Anita, Garry Lynch, meninggal dunia pada usia 90 tahun kerana sakit tua dan Alzheimer di tahun 2008.

Antara kenyataan Garry kepada polis yang paling diingati sehingga kini sewaktu polis sedang cuba mencari suspek kes pembunuhan Anita:

Saya harap anak perempuan orang lain, bukannya anak perempuan saya yang diperlakukan seperti ini. Tetapi itu tidak baik, kerana ia akan membuat orang itu rasa apa yang saya rasakan saat ini.

Ibu Anita, Grace Lynch, meninggal dunia pada 2013 kerana kanser paru-paru. Ahli keluarga Lynch yang masih hidup ialah adik Anita, Kathryn Szyszka, kini berusia 52 tahun.


Kathryn giat menjalankan kerja-kerja kebajikan atas nama Anita.

John Cobby, suami Anita, akhirnya menceritakan perasaannya tentang kes itu selepas 30 tahun, bahawa dia masih merasa bersalah terhadap apa yang berlaku kepada Anita.

Apa yang menyebabkan John lebih kesal perkara itu berlaku dalam tempoh enam minggu mereka berpisah, dan sudah berbaik semula seminggu sebelum itu dan merancang untuk tinggal bersama.

John yang pada mulanya merupakan suspek utama pembunuhan Anita, telah meninggalkan Australia ke Amerika Syarikat selepas upacara pengebumian Anita kerana mengelakkan publisiti.

Dia tidak dapat menerima tekanan. Dia menukar namanya kepada John Francis supaya tidak dikenali orang dan mengggunakan heroin untuk bertahan kerana mengalami kemurungan selama bertahun-tahun kerana terlalu sedih dan marah dengan apa yang telah dilakukan oleh mereka berlima kepada Anita.

Saya rasa seperti mahu ikut Anita. Saya mahu mati. Tetapi saya tak ada keberanian untuk mencabut nyawa sendiri. Saya hanya berharap tidak akan bangun tidur saja suatu hari.

John bagaimanapun berjaya keluar dari kemurungan itu dan berhenti menggunakan heroin. Dia kembali ke Australia, berkahwin lain dan mempunyai dua anak.

Kini dia masih bekerja sebagai jururawat psikiatri di sebuah hospital di Sydney dan tinggal seorang diri di Bronte. Bagaimanapun, perkahwinan keduanya berakhir dengan perceraian.

Baru kini dia menukar namanya kembali kepada John Cobby dengan galakan anak bujangnya Daniel yang turut menukar nama bersamanya, sebagai penghargaan kepada memorinya bersama Anita dan pertemuan semula dengan adik iparnya, Kathryn.
vlcsnap-2017-03-26-11h35m46s742

vlcsnap-2017-03-26-11h36m07s209

vlcsnap-2017-03-26-11h36m17s948

Menurut anak lelakinya yang mesra dipanggil Dan (Cobby), bapanya tidak harus merasa bersalah.

Bapa patut faham yang dia tidak sepatutnya menyalahkan dirinya untuk apa yang berlaku pada Anita.

Saya faham Anita ialah cinta hatinya dan Anita akan sentiasa memainkan peranan penting dalam hidupnya, tetapi dia perlu menerima hakikat ini.

Kathryn, adik Anita, juga tidak pernah menyalahkan John:

Tiada orang lain yang patut dipersalahkan melainkan penjenayah yang membunuh Anita.

Namun John masih mengambil masa untuk berhenti menyalahkan diri sendiri:

Saya tidak akan maafkan diri saya. Dia isteri saya. Saya sepatutnya ada bersamanya.

Pertemuan semula, John Cobby dan Kathryn (Lynch) Szyszka

-amazingnara.com

Sumber: 2008 TruTv Crime Library, Daily Mail, 7 News: Anita Cobby – You Thought You Knew It All

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...