Kes Pembunuhan Ratu Cantik, Anita Cobby Di Australia Pada 1986-Pt 2

Trending

Kes Pembunuhan Ratu Cantik, Anita Cobby Di Australia Pada 1986-Pt 2

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Satu pasukan khas telah ditubuhkan di Balai Polis Blacktown untuk mengendalikan kes Anita. Wartawan telah melaporkan mengenai kes itu dari pelbagai sudut, tetapi keadaan sebenar mengenai apa yang telah berlaku kepada Anita tidak diceritakan sepenuhnya di dada akhbar.

Advertisement

Wartawan akhbar Mirror, Joe Morris, mengimbas kembali keadaan di sekitar balai polis itu selepas mayat Anita ditemui:

Kami duduk di sekeliling balai, menunggu scoop (berita terkini). Tetapi mereka tak benarkan kami lepas dari meja hadapan untuk bertemu dengan detektif.

Jam berlalu, semakin banyak maklumat yang kami dapat tentang pembunuhan itu, semakin kami rasa tak percaya.

Saya dah buat liputan untuk bermacam-macam kes pembunuhan. Saya fikir saya dah lihat dan dengar semuanya. Tetapi apa yang saya ketahui malam itu akan kekal dalam ingatan saya hingga ke akhir hayat.

Sebenarnya, tidak banyak yang diketahui oleh pihak polis pada mulanya. Pencarian secara menyeluruh di padang ternakan tempat mayat Anita ditemui tidak membuahkan sebarang hasil. Walaupun ditemui dalam keadaan bogel, pakaian Anita tidak ditemui di situ.

Tiada senjata pembunuhan, tiada motif dan tiada sebab untuk Anita berada di padang ternakan itu sewaktu pembunuhan itu berlaku. Anita tiada musuh, tidak terlibat dalam jenayah, mahupun pengedaran dadah.

Dia juga tiada kekasih gelap atau menjalin hubungan rahsia dengan suami orang. Di kalangan masyarakat, Anita Cobby seorang jururawat yang sangat dihormati.

Polis menemui jalan buntu. Mereka menyiasat tentang bunyi bising yang didengari oleh peladang Reen sebelum mayat Anita ditemui, tetapi siasatan itu tidak ke mana. Jalan Reen diketahui ramai dan popular di kalangan pasangan kekasih Blacktown, jadi bunyi itu boleh datang dari apa saja.

Pasukan khas itu mula memeriksa maklumat yang ada tentang ratusan penjenayah tempatan, terutamanya penjenayah seks. Namun begitu, polis masih menemui jalan buntu. Polis menemuramah dua rakan Anita yang keluar bersamanya pada malam kehilangannya. Pada waktu ini, tiada siapa dapat memastikan dengan tepat sama ada Anita sempat menaiki tren balik ke Blacktown pada malam itu.

Kemudian, satu maklumat penting telah disalurkan kepada polis. Penduduk di Jalan Newton, beberapa ratus meter dari stesen keretapi Blacktown telah melaporkan yang mereka menyaksikan seorang gadis diheret masuk ke dalam sebuah kereta pada malam Ahad itu, sambil menjerit ketakutan.

Mereka menelefon polis dan memberi keterangan tentang kereta itu, yang merupakan kereta sedan Holden Kingswood berwarna kelabu dan putih. Malam itu, siasatan telah dijalankan tetapi pihak polis tidak menemui apa-apa yang mencurigakan.

Saksi-saksi itu memberitahu, pada pukul 9.50 malam, mereka terdengar satu jeritan yang kuat lalu berlari keluar rumah. Mereka melihat seorang lelaki mengheret gadis itu masuk ke dalam tempat duduk belakang kereta sambil gadis itu meronta.

Mereka masih terdengar jeritan gadis itu semasa kereta itu beredar dari situ dalam keadaan lampu hadapan dipadamkan. Dua orang saksi itu ialah Linda, 13,  dan John McGaughey,16, remaja adik beradik yang masih bersekolah. Mereka sangat takut melihat kejadian itu.

Apabila abang mereka, Paul, 20, pulang ke rumah beberapa minit kemudian, mereka telah bercerita mengenai kejadian itu dan menerangkan ciri-ciri kereta itu kepadanya. Paul MacGaughey bercerita:

Adik-adik saya seperti terkena histeria bercerita tentang apa yang telah mereka saksikan.

John berkata dia telah berlari ke arah kereta dan menjerit meminta lelaki dalam kereta untuk melepaskan gadis yang menjerit dan meronta.

Namun belum sempat sampai kereta itu telah meluncur laju dan menghilang dalam kegelapan malam.

vlcsnap-2017-03-21-11h18m38s128
vlcsnap-2017-03-21-11h18m49s149

vlcsnap-2017-03-21-11h19m15s004

Lakonan semula: adik-beradik McGaughey menyaksikan penculikan seorang gadis

Kemudian, Paul telah keluar untuk mencari kereta itu sementara adik-adiknya menelefon polis. Salah sebuah tempat yang disiasat oleh Paul ialah Jalan Reen yang terkenal, jaraknya hanya beberapa minit dari tempat gadis itu diculik.

Di pertengahan Jalan Reen, Paul memandu melepasi satu kereta HJ Holden model tahun 1970 warna kelabu yang ditinggalkan di tepi Jalan Reen.

Paul tidak mempedulikan kereta itu kerana maklumat yang diberi oleh adik-adiknya ialah kereta kelabu dan putih jenis Holden Kingswood. Dia menyiasat jalan itu, malah keluar dari kereta dan menyuluh di sebalik pagar padang ternakan Reen menggunakan lampu limpah tetapi tidak menemui apa-apa.

Seterusnya dia menyiasat di lokasi-lokasi lain yang berkemungkinan sebelum pulang ke rumah.

Walaupun penyiasat tidak dapat memastikan bahawa Anita sempat menaiki tren di stesen keretapi Blacktown malam itu, mereka menyimpulkan yang penculikan itu ada kaitan dengan Anita kerana ia berlaku pada masa yang berpadanan dengan masa Anita sepatutnya tiba di stesen keretapi Blacktown. Tetapi mengapa dia tidak menelefon bapanya untuk menjemputnya? Mengapa dia tidak menaiki teksi?

Polis berkerja tanpa henti. Mereka kembali ke padang ternakan Reen di waktu malam untuk mendapatkan ‘feel’ mengenai apa yang mungkin telah berlaku. Ratusan polis kadet dikerah untuk membuat carian di padang itu tetapi tiada hasil.

Sokongan orang ramai sangat padu. Ratusan orang menelefon pasukan khas untuk memberi maklumat. Setiap panggilan dianggap penting, dan diberi tindakan lanjut.

Penemuan yang penting

Dua hari setelah mayat Anita ditemui, kerajaan New Souh Wales menyebarkan bahawa ganjaran AUD 50,000 akan diberikan untuk maklumat yang membawa kepada tertangkapnya pembunuh-pembunuh Anita. Panggilan-panggilan yang diterima menjadi semakin banyak tetapi ia tidak membantu.

Waktu ini, polis sendiri tidak pasti sama ada gadis yang diculik masuk ke dalam kereta ialah Anita Cobby. Mungkin Anita telah mengambil teksi dan kemudiannya dibunuh oleh pemandu teksi. Polis telah memeriksa setiap orang pemandu teksi di daerah itu.

Ahad berikutnya, seminggu selepas pembunuhan itu, seorang anggota polis wanita melakonkan semula pergerakan Anita pada malam terakhir dia hidup, dengan harapan seseorang akan teringat mengenainya. Konstabel Debbie Wallace telah memakai pakaian yang kelihatan serupa dengan Anita malam itu dan telah menaiki tren pukul 9.12 malam dari Sydney ke Blacktown. Debbie berjalan di sepanjang tren manakala para detektif telah menunjukkan gambar Anita kepada semua penumpang untuk mendapatkan maklumat.

Dari stesen Blacktown, Debbie telah berjalan kaki untuk selama setengah jam untuk ke rumah keluarga Anita di Jalan Sullivan. Pasukan polis telah mengekori Debbie menggunakan kereta biasa. Beberapa orang pemandu kereta yang lalu secara kebetulan menawarkan untuk menumpangkan Debbie, tetapi mereka bukan pembunuh Anita. Sekali lagi, polis menemui jalan buntu.

Pada Selasa, 11 Februari, polis telah mendapat maklumat penting yang pertama apabila seorang awam menelefon memberitahu yang dia mewakili empat orang lain yang mempunyai maklumat yang mungkin ada kaitan dengan pembunuhan Anita tetapi mereka takut untuk tampil.

Individu itu, seorang lelaki, telah bertemu polis dan memberitahu seorang lelaki bernama John Travers, 19, dan dua penjenayah lain, Mick Murdoch,19, dan Les Murphy, 22, telah mencuri sebuah kereta beberapa hari sebelum pembunuhan Anita dan telah mengecat kereta itu menjadi warna kelabu. Roda mag kereta yang dicuri itu telah dikeluarkan dan digantikan dengan roda biasa.

Gambar: John Travers

Pemberi maklumat itu juga memberitahu para detektif bahawa Travers memiliki reputasi ganas melampau dan sentiasa membawa pisau. Pemberi maklumat itu takut jika maklumat yang mereka beri tidak membantu siasatan kes Anita, Travers dan rakan-rakan akan mencederakan mereka.

Kebetulan, nama Travers telah beberapa kali ditimbulkan kepada polis sebelum kes pembunuhan Anita. Polis telah diberitahu yang Travers mempunyai kebarangkalian membunuh sebelum ini tetapi mereka masih belum berjaya mengesan Travers.

Pihak polis sebelum ini ingin bercakap dengan Travers mengenai satu kes rogol seorang gadis berdekatan Toongabbie lapan bulan sebelumnya. Mangsa rogol Travers memberitahu yang ketua geng itu memiliki tattoo titisan air mata di bawah mata kirinya, tetapi Travers dan konco-konconya telah menghilangkan diri di kawasan Barat Australia.

Akhirnya, polis percaya mereka berada di landasan yang betul. Secara senyap, mereka mula menyiasat tempat-tempat yang selalu dikunjungi oleh Travers untuk mendapatkan maklumat. Mereka tidak memberitahu sesiapa kerana bimbang Travers dan kumpulannya akan mendapat tahu dan menghilangkan diri.

Pada waktu ini, kerajaan negeri telah menggandakan jumlah ganjaran yang membawa tertangkapnya pembunuh-pembunuh Anita kepada AUD 100,000.

Dengan jumlah terbaru ini, seorang pemberi maklumat telah tampil memberikan beberapa alamat lokasi di mana Travers mungkin berada.

Dalam satu serbuan di sebuah rumah berdekatan Wentworthville, polis menemui John Travers dan Mick Murdoch sedang tidur sekatil.

Mereka mengaku telah mencuri kereta tetapi mendakwa tidak tahu apa-apa mengenai pembunuhan Anita Cobby.

Polis berjaya merampas satu pisau berlumuran darah milik Travers. Apabila ditanya mengenai darah itu, Travers memberitahu yang dia telah melapah kambing biri-biri menggunakan pisau itu.

Gambar: Mick Murdoch

Pada masa yang sama Travers dan Murdoch ditangkap, polis telah menahan Les Murphy,  dalam satu serbuan di sebuah rumah di Doonside, lebih kurang tiga kilometer dari situ.

Dalam Station Wagon jenis Holden milik Murphy, polis menemui roda mag dan sarung tempat duduk dari kulit biri-biri yang dikeluarkan dari kereta yang telah mereka curi. Murphy juga mengaku mencuri kereta bersama Travers dan Murdoch tetapi menafikan terlibat dalam pembunuhan Anita Cobby.

Gambar: Les Murphy

Cik X

Les Murphy dan Mick Murdoch didakwa atas kesalahan mencuri kereta dan dibebaskan dengan ikat jamin. Bagaimanapun, secara rahsia, polis mengekori mereka berdua selepas itu, dengan harapan mereka akan membawa polis kepada lokasi kereta yang telah mereka curi.

Kereta itu ialah barang bukti paling penting kerana ia mungkin membawa kepada pememuan cap jari, sampel darah dan pakaian yang diperlukan untuk mengkaitkan mereka bertiga dengan kes penculikan seorang gadis di Jalan Newton pada malam kehilangan Anita.

John Travers pula ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam beberapa jenayah seksual di kawasan itu, termasuk kes rogol di Toongabbie. Polis mengasak Travers mengenai pembunuhan Anita tetapi dia tidak mengaku apa-apa. Polis tahu tanpa kereta curi itu dan tanpa pengakuan Travers, mereka tidak mempunyai kes.

Ketika dalam tahanan, Travers bertanya jika dia boleh menerima pelawat. Dia memberi polis nombor telefon seorang wanita yang digelar Cik X (mempunyai pertalian persaudaraan dengan Travers dan identiti dilindungi atas sebab keselamatan saksi).

Apabila Detektif Kevin Raue menelefon Cik X dan memberitahu wanita itu yang Travers meminta Cik X untuk membawa beberapa batang rokok berjumpanya, Cik X telah memberitahu detektif itu maklumat-maklumat penting mengenai Travers dan pihak polis kemudiannya telah mengatur pertemuan dengan Cik X tanpa pengetahuan Travers petang itu juga.

Petang itu, Cik X, seorang bekas penagih heroin menerangkan yang dia sangat takut jika Travers tahu dia bercakap dengan polis. Walaupun Travers berada dalam tahanan, dia takut akan kehilangan nyawanya. Cik X menyatakan, Travers pernah memberitahu telah merogol seseorang di Australia Barat dan merogol seorang lagi di tempat lain.

Kata Cik X, dalam kedua-dua kes itu, Travers memberitahu telah menggunakan pisau kepada mangsa-mangsanya dengan cara yang sama seperti yang telah diperlakukan pada Anita Cobby. Cik X tiada keraguan bahawa Travers telah membunuh Anita dan dia bersetuju membantu polis untuk memerangkap Travers.

Pagi berikutnya, Cik X tiba ke lokap membawa rokok untuk John Travers dan dibiarkan bertemu dengan Travers selama setengah jam. Apabila kembali ke bilik menunggu, wajahnya pucat dantubuhnya bergoncang seperti daun yang ditiup angin.

Kata Detektif Raue:

Dia seperti lemah dan terpaksa dipapah menaiki tangga. Kemudian dia menceritakan Travers mengaku membunuh Anita bersama Mick Murdoch, Les Murphy dan dua orang abang Les, iaitu Michael dan Gary.

Namun begitu, pengakuan itu hanya didengar oleh Cik X, jadi untuk mendapatkan bukti yang lebih sukar dicabar di mahkamah, kami meminta Cik X datang semula berjumpa dengan Travers, kali ini membawa bersama alat perakam suara.

Kami meminta Cik X untuk berbual dengan Travers, supaya Travers sendiri secara sukarela memberi lebih maklumat mengenai pembunuhan itu. Cik X telah bersetuju membantu polis.

Dalam pertemuan itu, Travers telah mengaku semuanya dan kesemua ini telah dirakam oleh Cik X tanpa pengetahuannya. Dia bercakap besar mengenai bagaimana mereka menangkap Anita, merogol dan memukulnya sehingga akhirnya, Travers telah mengelar leher wanita malang itu.

vlcsnap-2017-03-21-11h45m00s071
vlcsnap-2017-03-21-11h45m59s369

Lakonan semula: pertemuan Cik X dan John Travers

Cik X mendapati dia sukar untuk mengawal emosinya apabila Travers bercerita mengenai kejadian pada malam 2 Februari itu.

Polis tidak mengalami masalah untuk menangkap semula Mick Murdoch dan Les Murphy. Polis sememangnya mengekori mereka setelah mereka dibebaskan dengan ikat jamin. Murdoch berada di rumahnya. Les Murphy pula ditemui menyorok di celah dua orang wanita dalam selimut di sebuah bilik tidur. Salah seorang wanita itu sedang hamil.

Apabila digertak, Murdoch dan Murphy kalah dengan tekanan dan menjerit-jerit menyalahkan John Travers apabila membuat pengakuan kepada polis.

Travers kemudiannya diheret keluar dari lokap dan apabila bersemuka dan dituduh oleh Murdoch dan Murphy di hadapan polis, Travers terus membuat pengakuan dan menamakan semua yang terlibat termasuk dua orang abang Les, iaitu Michael, 33, dan Gary, 28. Dia langsung tidak menafikan yang dia telah membunuh Anita Cobby.

Malah, dia berbangga.


Gambar: Gary Murphy

Gambar: Michael Murphy

Nota: Bersambung ke Bahagian 3

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

Sumber: 2008 TruTV Crime Library (defunct site) dan CSI Australia: The Murder of Anita Cobby

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...