Melalui laporan Harian Metro, ibu kepada Allahyarham Syamsul Shamsudin, 22, yang merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, menggesa agar bedah siasat terhadap arwah anak dilakukan segera.
Sedia kubur anak digali semula, yakin bukan meninggal sebab sawan
Menurut ibu arwah iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, dia bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian dan telah pun memberikan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar siasatan telus dilakukan tanpa melindungi mana-mana pihak.
Tindakan tersebut diambil susulan Ummu yakin arwah anak bukan menninggal dunia akibat sawan kerana terdapat kecederaan teruk serta pendarahan pada tubuh badan.
Gambar yang sempat diambil jelas menunjukkan kecederaan itu bukan akibat sawan seperti dimaklumkan pihak PALAPES dan perkara itu turut dibincangkan bersama adiknya yang juga seorang doktor.
Kecederaan teruk di badan arwah, ada unsur jenayah?!
Katanya lagi, terdapat kecederaan di badan arwah seperti lebam di mata, pendarahan luar biasa melalui hidung dan mata, luka di mulut serta pendarahan teruk di leher yang ditutup dengan kapas tebal.
Kecederaan itu menyebabkan saya percaya ada dan yakin ada unsur jenayah membabitkan kematian anak saya.
Dalam pada itu, Ummu memaklumkan dirinya hanya dibenarkan untuk melihat mayat anak melalui satu sudut sahaja dan dilarang memusingkan badan untuk periksa keseluruhan badan.
Sekadar info, sebelum ini dilaporkan Ummu memohon siasatan segera dijalankan berhubung kematian anak sewaktu menjalani latihan di PALAPES dan tiada sebab kematian yang jelas, malah kecederaan teruk di badan arwah tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian berpunca daripada sawan.