Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengarahkan kes kematian pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris, diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan rasmi, AGC memaklumkan arahan itu dibuat selepas mendengar taklimat dan meneliti laporan siasatan terperinci yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil laporan siasatan tersebut, AGC mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Kubur Digali Semula Atas Perintah Mahkamah
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan kubur Syamsul Haris digali semula untuk bedah siasat kedua, selepas membenarkan permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Allahyarham sebelum ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet turut menetapkan beberapa perintah yang harus dipatuhi pihak terlibat, termasuk keperluan melaksanakan bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur.
Melalui notis usulnya, Ummu Haiman menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebagai responden.
Beliau memohon:
1. Bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas jenazah digali,
2. Pemeriksaan forensik dibuat dengan kehadiran peguam serta pakar forensik,
3. Laporan bedah siasat dikeluarkan dalam tempoh sebulan,
4. Satu pasukan siasatan baru dari Bukit Aman ditubuhkan seperti dalam kes kematian Zara Qairina,
5. Dan satu inkues rasmi dijalankan bagi menentukan punca kematian anaknya.
Kes Syamsul Haris kini berada di bawah siasatan penuh PDRM selepas diklasifikasikan sebagai kes bunuh, dengan keluarga mangsa berharap kebenaran dapat dirungkai sepenuhnya. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

